Saturday 24 December 2011

Formula Berdoa Memohon Jodoh daripada al-Quran

Formula Berdoa Memohon Jodoh daripada Al-Quran 


Bukan setakat memohon untuk dikurniakan jodoh, peranan doa amat luas dan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang. Baik kehidupan di dunia mahu pun kehidupan di akhirat. Dengan merendah diri dan berdoa seseorang akan dapat mengagungkan kekuasaan tuhan dan menyedari kelemahan diri sendiri. Seterusnya meletakkan satu pengharapan kepada tuhan dalam mencapai cita-cita.

Di dalam surah al-Baqarah, ayat 186, Allah telah berfirman, “..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. ”

Firman Allah lagi di dalam surah Ghafir ayat 55, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Kedua-dua ayat ini menunjukkan Allah menyuruh semua umat Islam berdoa kepadaNya, seterusnya beriman dengan mematuhi perintahNya. Mereka yang tidak memohon sesuatu daripada Allah dikategorikan sebagai orang yang sombong dan takbur.

Menurut An-Nu’man Bin Basyir, Rasulullah pernah berkata , “Doa itu termasuk ibadah,” lalu beliau membaca ayat 55 dari surah Ghafir seperti di atas.[1] Di dalam riwayat lain, Rasulullah telah bersabda, “Tiada sesuatu pun yang lebih mulia di sisi Allah Azza wa Jalla selain daripada doa.” [2]

Di dalam konteks mencari pasangan hidup, amalan berdoa perlu dimulakan sejak awal. Setelah berniat dengan betul, doa diteruskan secara konsisten sepanjang masa. Mudah-mudahan Allah mempertemukan dengan pasangan hidup yang dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Berikut merupakan antara 9 petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab yang sempat saya sertakan :

1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa  antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.” [3]

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya. [4]

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.” [5]

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat  antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.” [6]

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.” [7]

6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan,
Kemudian mengatakan, atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” [8]

7. Ata bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” [9]

8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” [10]

9. Hadis daripada Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.” [11]

Wallahu’alam.
Nota Kaki
======
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3294. bertaraf hassan sahih.
[2] http://haidith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3292.
[3]http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #196.
[4]http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #1077.
[5]http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3522.
[6]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #738.
[7]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #4908.
[8]http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #1086.
[9] Fadhilat Al-Quran (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya, Era Ilmu Sdn. Bhd., 2005, ms 87, hadith riwayat Darimi.
[10]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #4916.
[11]http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim #1406

(Dipetik daripada Petua dan Tips Sebuah Perhubungan, tulisan Zulaikha)

Friday 23 December 2011

Adakah Kita Telah Berbakti kepada Kedua-dua Ibu Bapa?

Monday, April 12, 2010

Adakah Kita Telah Berbakti Kepada Kedua-dua Ibu bapa?



Amalan berbuat baik kepada ibu bapa merupakan satu amalan yang besar dan dititikberatkan dalam Islam. Allah swt telah meletakkan amalan berbakti kepada ibu bapa sebagai amalan yang kedua tertinggi selepas mentauhidkan Allah. Ini disebutkan di dalam banyak ayat-ayat Quran, salah satunya adalah yang bermaksud:


"Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah (beribadah) selain Dia dan HENDAKLAH BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBUBAPA. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya telah sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan "Ah!" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Rabbku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku pada waktu kecil" (Surah al-Isra': 23-24)

Malah, amalan berbakti kepada kedua ibu bapa lebih tinggi darjatnya daripada amalan sunnah yang lain serta berjihad di jalan Allah jika sekiranya jihad tersebut adalah jihad yang bukan fardhu ain, hal ini disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:


"Seseorang datang kepada Nabi sallallahua'alaihiwassalam meminta izin untuk berjihad. Lalu beliau sallallahua'laihiwassalam bertanya: 'Apakah kedua orang tuamu masih hidup?', Orang itu menjawab: "Ya". Maka beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda, "Hendaklah kamu berbakti kepada keduanya" (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'ei)

Dan di dalam hadis lain diceritakan oleh Muawiyyah bin Jahimah r.a:


Bahawasanya Jahimah r.a. datang kepada Rasulullah sallallahua'laihiwassalam dan berkata: 'Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang kepadamu untuk bermusyawarah'. Maka Beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda: "Apakah engkau masih mempunyai ibu?" Ia menjawab, "Ya." Beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda: "Hendaklah engkau tetap berbakti kepada ibumu kerana sesungguhnya syurga berada di bawah telapak kaki ibu" (Hadis Riwayat An-Nasae'i dengan sanad yang hasan)


Kata Ibnu Qudamah r.h di dalam kitabnya al-Mughni membawakan alasan Nabi sallallahua'laihiwassalam menyuruh pemuda itu supaya meminta izin kepada kedua- dua orang tua untuk ikut bersama-sama beliau dalam berjihad, Beliau (Ibnu Qudamah) mengatakan bahawa berbakti kepada kedua ibu bapa adalah fardhu ain, sedangkan jihad adalah fardhu kifayah, dan sedangkan fardhu ain lebih utama berbanding fardhu kifayah.

Sayang sekali pada zaman ini, para pemuda tidak mengetahui darjat amalan berbakti kepada orang tua, lalu mereka lebih suka mengikuti teman-teman mereka kononnya atas alasan berdakwah dan jihad, sedangkan kekadang, pemergian mereka itu tidaklah bersama keredhaan ibubapa mereka. Malah ada  antara mereka yang lebih sanggup berbohong dengan pelbagai helah di hadapan ibu bapa semata-mata mengutamakan amalan yang dikatakan jihad itu, walhal, jika mereka membuka hati dan pemikiran, mereka akan ketahui, jihad yang disebutkan oleh Nabi itu adalah jihad perang! dan  sudah tentu lebih utama berbanding jihad-jihad yang diqiaskan sekarang ini! Oleh itu, mohonlah ampun kepada Allah atas kesilapan kita, semoga Allah menetapkan kita menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa, dan menjadi muslim yang benar-benar mengikuti petunjuk dan sunnah Rasulullah sallallahhuaálaihiwassalam.

Imam Az-Zahabi r.h di dalam kitabnya al-Kabaair telah menulis sebuah puisi tentang pengorbanan seorang ibu kepada anaknya;

1. Ibumu telah mengandungmu di dalam perutnya selama sembilan bulan seolah-olah sembilan tahun,
2. Dia bersusah payah ketika melahirkanmu yang hampir sahaja menghilangkan nyawanya,
3. Dia telah menyusuimu dari putingnya, dan dia hilangkan rasa mengantuknya kerana menjagamu,
4. Dia cuci kotoranmu dengan tangan kirinya, dia utamakan dirimu ke atas dirinya serta atas makanannya,
5. Dia jadikan pangkuannya sebagai ayunan bagimu,
6. Dia telah memberimu semua kebaikan dan apabila kamu sakit atau mengeluh tampak daripadanya kesusahan yang luar biasa dan panjang sekali kesedihannya dan dia keluarkan harta untuk membayar doktor yang mengubatimu,
7. Seandainya dipilih antara kehidupanmu dengan kematiannya dia akan meminta supaya kamu hidup! dengan suaranya yang paling keras.
8. Betapa banyak kebaikan ibu, sedangkan engkau balas dengan akhlak yang tidak baik,
9. Dia selalu mendoakanmu dengan taufik, baik secara sembunyi mahupun terang-terangan,
10. Tatkala ibumu memerlukanmu pada saat dia sudah tua renta, engkau jadikan dia sebagai barang yang tidak berharga disisimu,
11. Engkau kenyang dalam keadaan dia lapar,
12. Engkau puas dalam keadaan dia haus,
13. Engkau mendahulukan berbuat baik kepada isteri dan anakmu daripada ibumu,
14. Engkau lupakan semua kebaikan yang pernah dia perbuat,
15. Berat rasanya atasmu memeliharanya padahal itu adalah urusan yang mudah,
16. Engkau kira ibumu ada disisimu umurnya panjang, padahal umurnya pendek.
17. Engkau tinggalkan padahal dia tidak punya penolong selainmu,

Padahal Allah telah melarangmu berkata "Ah!" dan Allah telah mencelamu dengan celaan yang lembut,
Engkau akan disiksa di dunia dengan derhakanya anak-anakmu kepadamu,
Allah akan membalas di akhirat dengan dijauhkanmu dari Allah Rabbul Álamin.
(Akan dikatakan kepadanya)
"Yang demikian itu adalah disebabkan perbuatan yang dikerjakan oleh kedua tanganmu dahulu, dan sesungguhnya Allah sekali-kali tidak pernah berbuat zalim kepada hamba-hambaNya"- Surah Al-Hajj: 10)

Saudara-saudaraku seagama yang hatinya tetap menginginkan kasih sayang Allah, adakah kita telah benar-benar menggembirakan ibubapa kita? Atau kita lebih banyak mendukacitakan mereka?

Adakah kita lebih banyak bertanya khabar kepada mereka, atau kita lebih banyak bertanya khabar rakan-rakan kita?

Adakah kita lebih banyak menelefon mereka, atau mereka lebih banyak menelefon kita?

Adakah kita lebih gembira bersama ibu bapa atau kita lebih gembira dengan rakan-rakan kita?

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, kerehaan Allah itu letaknya pada keredaan ibubapa, ianya disebutkan didalam sebuah hadis yang bermaksud:


"Reda Allah tergantung kepada keredaan ibubapa dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan ibu bapa" (HR Bukhari di dalam Adabul Mufrad -Sahih)


Semoga kita menjadi anak yang soleh, dan mendapat keredaan ibu bapa kita, dan seterusnya mendapat kerehaan Allah swt. Apakah yang lebih menggembirakan bagi seorang mukmin melainkan dia reda kepada Allah, dan Allah redha kepadanya, lalu dia dimasukkan ke dalam Syurga-Nya di akhirat kelak, seperti firman-Nya yang bermaksud,


"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku" (Surah Al-Fajr: 27-30)

Semoga tulisan ini bermanfaat untuk kita semua. Wallahua'lam.

(Dipetik daripada http://drmindailmu.blogspot.com)

Thursday 22 December 2011

Solat Berjemaah Tawar Ganjaran Pahala Berlipat Kali Ganda

Solat berjemaah tawar ganjaran pahala berlipat kali ganda

Berita Harian,2011/12/22

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Solat berjemaah lebih afdal (utama) daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” – (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pemurahnya Allah SWT yang menawarkan ganjaran berlipat kali ganda menerusi solat berjemaah untuk direbut hamba-Nya. Mukmin yang menginsafi betapa ganjaran bernilai itu adalah antara anugerah Allah yang terbesar, akan sentiasa menghargai dan memburu kesempatan untuk solat fardu berjemaah khususnya di masjid, malah terlepasnya peluang solat berjemaah dirasakannya sebagai satu kerugian.

Diriwayatkan bahawa Ubaidullah bin Umar al-Qawariri iaitu guru kepada Imam Bukhari dan Imam Muslim berkata bahawa dia (Ubaidullah) tidak pernah ketinggalan solat Isyak berjemaah. Tetapi pada satu malam datang seorang tetamu ke rumahnya menyebabkan dia ketinggalan berjemaah Isyak disebabkan sibuk melayani tetamunya.
Sebaik tetamunya pulang, dia pun bergegas ke masjid di Basrah, didapati semua orang telah menunaikan solat Isyak dan masjid telah ditutup, lalu dia balik ke rumah dengan perasaan hampa.

Oleh kerana hadis Nabi SAW menjelaskan bahawa solat berjemaah itu ganjarannya 27 kali ganda, maka beliau pun sembahyang Isyak 27 kali.

Beliau lalu tidur dan bermimpi seolah-olah bersama satu kaum yang sedang mengembara dengan menunggang kuda tetapi dia tidak dapat mengekori orang lain. Salah seorang dari mereka menoleh ke belakang kepadanya, lalu memintanya tidak memenatkan kudanya kerana dia tidak akan mampu mengikuti kaum itu.

Ubaidullah bertanya kenapa. Lelaki itu menjawab kerana mereka solat Isyak berjemaah, sedangkan dia solat bersendirian (ternyata walaupun melakukan 27 kali solat Isyak bersendirian tidak sama nilainya dengan sekali solat Isyak berjemaah). Tidak lama kemudian Ubaidullah terjaga dalam keadaan sedih. Lalu dia memohon pertolongan dan taufik daripada Allah SWT.
Anugerah Allah SWT terhadap orang yang solat berjemaah bermula daripada terpautnya hati seseorang hamba Allah dengan masjid, disusuli dengan langkahnya menuju ke masjid kerana keinginan solat berjemaah hinggalah selesai solat dan kembali ke rumah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa ada tujuh golongan manusia yang Allah akan tempatkan mereka di bawah naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya (pada hari kiamat). Salah satu dari tujuh golongan berkenaan ialah lelaki (termasuk wanita) yang hatinya (sentiasa) terikat dengan masjid.

Imam al-Nawawi ketika menafsirkan sabda Nabi SAW itu menyatakan: “Maksudnya ialah hatinya sentiasa mengingati/merindui masjid dan beristiqamah pergi ke masjid kerana solat berjemaah. Ia bukan bermaksud berterusan duduk di dalam masjid.

Kelebihan yang diperoleh oleh sesiapa yang beristiqamah ke masjid untuk solat berjemaah dikurniakan Allah kerana masjid adalah rumah Allah. Rumah bagi setiap yang bertakwa. Adalah satu kelaziman bagi orang yang diziarahi akan menghormati orang yang bertandang. Maka, cuba bayangkan bagaimana penghormatan yang akan kita peroleh daripada Pencipta alam semesta ini iaitu Allah SWT yang Maha Mulia lagi Maha Besar.

Dalam hadis lain dinyatakan bahawa Allah SWT berasa takjub dengan solat berjemaah seperti sabda Nabi SAW: “Daripada Abdullah bin Umar ra., katanya: Satu hari saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah takjub (kagum) dengan solat yang didirikan secara berjemaah”. – (Hadis riwayat Ahmad).

Beruntung dan berbahagia sungguh seorang mukmin yang melakukan amalan di mana Allah sendiri berasa kagum dan takjub terhadap amalan berkenaan.

Dengan solat berjemaah di masjid, mudah-mudahan pelbagai ganjaran dapat diraih Muslim, bukan cuma ganjaran 27 kali ganda, tetapi ditambah lagi dengan kurniaan Allah yang besar lantaran memakmurkan rumah-Nya seperti Nabi SAW bersabda: “Barang siapa pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang (untuk beribadah/solat berjemaah), Allah akan menyediakan untuknya satu tempat tinggal di syurga setiap kali ia pergi pada waktu pagi atau petang (sentiasa tersedia hal yang sama).” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Penulis ialah Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid, Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Monday 19 December 2011

Majlis Jasamu Dikenang, 22 November 2010

                                           Bergambar bersama Pengarah Pelajaran Kelantan dan
                                           Hj Abdullah Ismail  di  Majlis  Jasamu  dikenang  pada
                                           22  November  2010  di  Hotel  Grand  River  View,
                                           Kota Bharu.

Kelebihan Solat Berjemaah



Kelebihan solat berjemaah



Pengertian solat jemaah
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
1.       Fardhu ain pada solat Jumaat;
2.       Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan
3.       Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,
Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.
Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

(Dipetik daripada Rakan Masjid, Universiti Teknologi Petronas)

Sunday 18 December 2011

Faedah Mengkritik Diri (Dewan Siswa, November 2011)


Faedah Mengkritik Diri


Oleh
Izani Hj Daud


Setiap orang mengidamkan kejayaan dalam setiap usaha yang dilakukan. Walau bagaimanapun tidak semua orang boleh mencapai kejayaan yang dicita-citakan. Hal ini disebabkan, untuk berjaya seseorang itu perlu mempunyai sikap yang boleh membawanya ke puncak jaya.

          Dengan perkataan lain, personaliti yang berjaya biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri-ciri yang positif. Antara ciri tersebut seperti rajin, dedikasi, tidak mudah kecewa, proaktif, dan berkeyakinan dalam apa jua usaha yang dilakukan.

          Satu lagi ciri yang perlu ialah sikap suka mengkritik diri sendiri. Mengkritik diri sendiri bermaksud menegur dan kemudian memperbaiki kelemahan yang ada pada diri sendiri. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada kelemahan dan melakukan kesilapan. Hal ini disebabkan, sifat manusia itu sendiri lemah dan tidak sempurna.

          Secara zahirnya, seseorang itu merasakan dirinya sempurna tetapi sebenarnya dalam dirinya terdapat kekurangan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau oleh orang ramai, tetapi empunya diri mengetahuinya. Justeru setiap kita perlu mencari kekurangan atau kelemahan yang ada. Perlu diingatkan, mengkritik diri bukanlah untuk mengutuk diri atas kelemahan yang ada. Tetapi untuk mengatasi atau membanteras kelemahan yang ada.

          Tidak ramai individu yang sanggup mengkritik diri sendiri. Seorang yang boleh berbuat demikian akan mendapat keuntungan yang besar daripadanya kerana individu seperti ini akan mengetahui daerah-daerah kelemahan dalam diri.

          Pemeriksaan yang dibuat ke atas diri sendiri tentu lebih mudah berbanding dengan orang lain yang mencarinya. Dengan mengetahui kelemahan diri, maka seseorang itu boleh memperbaiki kelemahan yang dilakukan selama ini. Misalnya, dengan mempelajari daripada kesilapan yang pernah dilakukan, seterusnya mengatasi kesilapan tersebut supaya tidak berulang lagi buat kali keduanya.

          Mengkritik diri sendiri dengan menegur diri sendiri tentang kelemahan yang ada akan membolehkan seseorang itu mengawal diri supaya tidak menjadi manusia yang riak. Ramai dalam kalangan kita apabila sudah berjaya dalam hidup seperti menjadi orang kaya atau berpangkat tinggi berubah menjadi angkuh dan takbur lantaran apa yang diidam dan dicitakan sudah dimiliki. Lalu mereka menjadi manusia yang lupa daratan.


(Dewan Siswa, November 2011)

Rasa Kesyukuran (Umrah Jun 2010)



Pada Jun 2010, kami sekeluarga ke tanah suci mengerjakan umrah. Syukur kehadrat Allah s.w.t. kerana berpeluang bersama-sama ibu, anak, isteri,  adik berserta dengan anak-anaknya juga (anak saudara). Kami merasakan suatu anugerah besar dikurniakan kepada kami berpeluang ke tanah suci lebih-lebih lagi  disertai dengan anak-anak, dan merekalah yang paling bertuah kerana dikurniakan rezeki untuk menjejakkan kaki pada usia yang masih muda. Tiada anugerah yang paling istimewa selain diberi hidayah dan rezeki oleh Allah s.w.t. untuk ke tanah suci. Ya Allah  kami panjatkan kesyukuran tidak terhingga atas anugerah-Mu, semoga dimurahkan rezeki dan dapat berkunjung lagi ke tanah suci pada masa hadapan, insyaAllah.

Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan (Dewan Masyarakat, November 2011)


Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan
                                                                    Oleh
Izani Hj Daud

Pembangunan sesebuah negara berkait rapat dengan tahap pendidikan negara, justeru bidang pendidikan menjadi nadi penggerak ke arah menjana dan meningkatkan temadun sesuatu bangsa. Hal ini kerana maju mundur sesebuah negara itu berhubung rapat dengan tahap pencapaian rakyatnya dalam sektor pendidikan.

            Lazimnya, apabila berbicara tentang pendidikan, maka akan tergambarlah  kepada kita akan tuga dan tanggungjawab guru  dalam mendidik murid-murid untuk melahirkan warganegara yang berguna. Namun jarang diperkatakan tentang pihak lain dalam hubungan dengan pendidikan atau sekolah. Bertitik tolak dari sinilah maka dianjurkan supaya diadakan kerjasama atau permuafakatan dalam pendidikan. Salah satu pihak yang boleh memberikan kerjasama ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

            Peranan PIBG termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Menurut perkara 4 ceraian 1 (d), Kaedah-kaedah PIBG 1974, akta ini, penubuhan PIBG adalah “untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa di sekolah atau institui itu berunding antara satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pelajaran anak-anak mereka pada amnya”.

            Secara lebih khusus, penubuhan PIBG bertujuan menentukan supaya murid-murid di sekolah itu memperoleh faedah maksimum daripada kemudahan-kemudahan pelajaran mereka. Selain itu, untuk memastikan supaya murid-murid dibekali dengan sumber-sumber perlu untuk membuat kerja-kerja sekolah mereka, baik di rumah mahupun di sekolah, di samping mewujudkan suasana persekitaran yang sebaik mungkin bagi membolehkan murid-murid mencapai perkembangan kerohanian, keakhlakan, otak, dan jasmani.

            Objektif penubuhan PIBG ini menjelaskan kepada kita akan kepentingan PIBG. Masyarakat pula telah dapat menerimanya sebagai sebuah institusi yang boleh menyumbang kepada sistem pendidikan negara. PIBG membolehkan ibu bapa dan guru menjalin kerjasama dan permuafakatan dalam usaha meningkatkan mutu pelajaran di sekolah.

            Memandangkan PIBG telah diasaskan setengah abad yang lampau, maka persoalan yang timbul dan menjadi tanda tanya ialah sejauh manakah PIBG telah melaksanakan fungsinya? Isu ini telah lama diperkatakan kerana majoriti PIBG yang ditubuhkan di negara ini tidak menampilkan peranan atau fungsinya yang sebenar dalam usaha meningkatkan pencapaian sesebuah sekolah.

            Di pihak guru, yang merupakan sebahagian daripada anggota dalam PIBG, setakat ini menunjukkan keaktifan mereka. Mungkin ada yang mengatakan kerana mereka (guru) adalah sebahagian daripada agen pembelajaran atau terlibat secara langsung dengan sekolah, maka mereka aktif, tetapi perlu diingat bahawa kegiatan mereka dalam PIBG bukanlah merupakan suatu kewajipan sepertima kewajipan mereka di dalam bilik darjah.. Untuk kepentingan sekolah, para guru sanggup membuat kerja sukarela demi kebaikan murid-muridnya. Hal ini merupakan suatu keunikan yang terdapat dalam profesion perguruan jika dibandingkan dengan profesion lain.

            Sambutan ibu bapa terhadap kegiatan atau program-program yang dianjurkan oleh PIBG adalah menyedihkan. Berapa keratkan dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang menghadirkan diri dalam Mesyuarat Agung PIBG yang diadakan pada setiap tahun? Tidak banyak yang sanggup meluangkan masa untuk menghidiri perhimpunan tersebut, sedangkan perhimpunan inilah yang akan menemukan ibu bapa dan guru. Ibu bapa juga dapat berbincang atau bertukar-tukar fikiran sesama mereka tentang cara-cara meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pembelajaran.

            Seandainya, perhimpunan atau mesyuarat yang diadakan setahun sekali tidak mendapat sambutan, apa lagi untuk menyertai program-program yang dijalankan dari semasa ke semasa oleh PIBG. Adalah suatu yang amat malang bagi anak-anak yang mempunyai ibu bapa atau penjaga yang bersikap acuh tidak acuh terhadap soal pelajaran anak-anak dan menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada guru atau pihak sekolah untuk bertungkus-lumus memastikan kejayaan anak-anak.

            Sekiranya ibu bapa yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat peka atau prihatin terhadap perkembangan pendidikan di sekolah, mereka akan dapat menyumbangkan kepakaran yang ada pada diri mereka sepertimana yang diamalkan di negara-negara Barat. Kerjasama semua pihak adalah penting dalam usaha memantapkan peranan untuk menyampaikan ilmu, maklumat, kemahiran, pengalaman dan nilai kepada murid-murid. Sekiranya masyarakat, khususnya para ibu bapa dapat memberi sumbangan, maka sudah tentulah akan dapat memberi manfaat yang besar kepada sistem pendidikan negara.

            Isu ketidakcaknaan ibu bapa bersangkutan dengan PIBG ini telah banyak diperkatakan. Walaupun PIBG merupakan sebahagian daripada sekolah atau jambatan antara sekolah dan ibu bapa, tetapi tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan pelajaran anak-anak. Banyak ibu bapa yang lebih mementingkan kerja-kerja lain daripada membincangkan soal pelajaran dan masa depan anak-anak mereka. Sekalipun ada usaha yang dijalankan oleh pihak PIBG untuk kemajuan sekolah tetapi dipandang sepi dan tiada sokongan yang bersungguh-sungguh diberikan kepada projek atau program yang digerakkan oleh PIBG.

            Antara faktor yang dikenal pasti sebagai penghalang kerjasama tersebut ialah sikap ibu bapa, faktor masa, jarak di antara rumah dan sekolah, halangan bahasa dan lain-lain. Kebanyakan ibu bapa yang berpendapatan rendah pula menyerahkan segala-galanya yang berhubung dengan pelajaran anak-anak mereka kepada guru dan sekolah.

            Tegasnya, PIBG tidak akan dapat menjalankan fungsinya secara berkesan seandainya tidak mendapat sokongan, terutamanya dalam kalangan ibu bapa. Demi kepentingan kejayaan anak-anak, maka sudah sampailah masanya seluruh ibu bapa mengorak langkah untuk sama-sama menggemblengkan tenaga dalam usaha mempertingkatkan taraf pencapaian akademik anak-anak, dan bukan hanya menyerahkan bulat-bulat tugas yang berat ini kepada pihak guru dan sekolah sahaja.

(Dewan Masyarakat, November 2011)

Friday 16 December 2011

Kepentingan Penanda Wacana dalam Karangan (Pelita Bahasa, Februari 2006)


Kepentingan Penanda Wacana dalam Karangan

Oleh
 Izani Hj. Daud


Memang tidak dapat dinafikan sebuah penulisan karangan yang baik adalah yang mempunyai isi yang banyak dan bertepatan dengan tajuk. Tetapi sekiranya karangan itu tidak mempunyai penanda kata wacana yang berkesan maka sudah tentu sebuah karangan menjadi tidak sempurna disebabkan binaan ayatnya tidak gramatis.

            Penanda kata wacana adalah perangkai ayat untuk menentukan perkaitan atau kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenggan. Antara penanda wacana yang sering digunakan ialah,

Selain itu,                               Pertama,                                Pada umumnya
Keadaan ini,                          Seterusnya,                           Keseluruhannya,
Juga,                                      Apa yang dimaksudkan,      Jadi,
Akibatnya,                              Sementara,                            Dalam nada berbeza
Begitu jua,                              Kalau demikian,                    Kedu
Sebalikya,                              Walau bagaimanapun,        Sejajar dengan itu,
Walaupun,                             Sebelumnya,                         Meskipun demikian,
Tegasnya,                             Kini,                                         Oleh hal yang demikian,
Pada amnya,                         Khususnya,                           Dengan perkataan lain,
Pada keseluruhannya,        Ringkasnya,                          Jelaslah
Akhirnaya,                              Namun begitu,                       Justeru,
Jika dibandingkan,   dan banyak lagi.      
            Penanda kata ini  perlu diberikan perhatian dalam semua bahagian karangan, daripada bahagian pendahuluan, isi, huraian isi, contoh dalam huraian hinggalah kepada bahagian penutup. Dalam perbincangan ini akan dilihat bagaimana penanda kata wacana digunakan dalam kesemua bahagian yang disebutkan.

Penanda Kata Wacana yang Sesuai untuk Bahagaian Pendahuluan

1.    Sejak akhir-akhir ini masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja
       menjadi  isu yang hangat diperkatakan .

2.    Dalam alaf moden ini penggunaan  komputer menjadi satu keperluan dalam   
       kehidupan manusia .                                                                             

3     Sebelum saya membicarakan tajuk ini dengan lebih lanjut , eloklah saya
       menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan iklan .

4.    Semasa cuti sekolah yang lalu,aku telah dijemput oleh bapa saudaraku
       untuk bercuti di rumahnya.

5.    Memang tidak dinafikan kegawatan ekonomi yang melanda sekarang ini 
       menghimpit kehidupan rakyat,terutamanya golongan bawahan.

6.    Isu pendatang asing sudah menjadi suatu isu yang serius yang perlu
       ditangani segera.


       Pengunaan frasa kata dalam contoh ayat di atas membentuk pola ayat yang sesuai dalam usaha memulakan sesebuah karangan.

Bahagian Isi

1.         Pelbagai punca yang dikenal pasti  mengakibatkan berlakunya  masalah   ini.
            antaranya termasuklah…

2.         Faktor ibu bapa menjadi punca utama menyebabkan berlakunya 
            kemerosotan displin dalam kalangan remaja masa kini.

3.        Selain itu,faktor…

4.         Di samping itu,sikap remaja juga…
    
 5.        Terdapat berbagai-bagai langkah yang dapat dijalankan untuk mengatasi
            masalah ini,seperti…
    
  6.       Salah satu langkah yang paling berkesan bagi mengatasi masalah ini adalah
            dengan penguatkuasaan undang-undang. Undang-undang yang tegas
             hendaklah dilaksanakan supaya…

 7.        Selain itu kerajaan juga…

 8.        Langkah lain yang boleh diambil termasuklah…

 9       .Peranan ibu bapa juga penting dalam usaha mengatasi masalah ini.Ibu bapa
          boleh memainkan peranannya dengan…

  10.   Semua pihak hendaklah bertanggungjawab dan bekerjasama bagi mengatasi
          masalah ini.

              Dalam bahagian ini  pengunaan frasa kata seperti “Pelbagai punca…”,
“Selain itu…”,dan lain-lain telah mewujudkan suatu variasi atau keragaman daripada    
segi pembendaharaan kata yang sangat diperlukan dalam penulisan sesebuah  karangan.


Bahagian Huraian Isi

1.       Hal ini berlaku kerana tiadanya pengawasan ibu bapa di rumah sehingga
          menyebabkan anak-anak terlepas bebas melakukan apa-apa sahaja yang
          disukainya.
    
 2.        Adakah kita ingin melihat anak bangsa hanyut dalam dunianya,sedangkan
            merekalah nantinya bakal mengambil alih teraju pimpinan negara.

3.         Walaupun begitu,masih ramai yang tidak menginsafi masalah yang berlaku.

4.         Dengan kata lain,kita tidak seharusnya berpeluk tubuh dengan hanya
            membiarkan gejala yang merosakkan ini tersebar luas.

 5.        Seharusnya kita sebagai anggota masyarakat peka dengan keadaan
            persekitaran.

  6.       Sungguhpun kerajaan telah menjalankan pelbagai langkah tetapi langkah
             tersebut tidak akan berkesan seandainya tidak mendapat kerjasama semua
             pihak.
   
7.         Oleh itu,kita sebagai warganegara tentunya tidak mahu melihat negara ini
            hancur akibat campur tangan pihak luar.

    8.     Bak kata pepatah “Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing”.

              Dalam huraian isi, penanda kata wacana dan pola ayat perlu diberikan perhatian juga. Pengunaan kata yang sesuai penting supaya huraian pada isi pokok itu tidak kelihatan terpisah antara satu sama lain.


Contoh dalam Huraian

 1.        Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh…kes penderaan kanak-kanak
             meningkat ke angka…pada tahun 1997.

 2.        Masyarakat boleh membantu dalam usaha mengatasi kegawatan ini,
            misalnya, dengan cara mengurangkan perbelanjaan harian…
    
 3         .Penderaan kanak-kanak semakin serius.Kes terbaru ialah…
     
4.         Sebagai contoh…

             Dalam usaha mengemukakan contoh dalam huraian,penggunaan frasa kata
yang sesuai diperlukan juga dan hendaklah mengikut kesesuaian konteks ayat.


Contoh Penutup

1.         Tegasnya,banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala sosial .                     Oleh itu…

2.         Kesimpulannya, pendisiplinan diri adalah menjadi kunci kepada kejayaan
            seseorang individu kerana…

3.         Akhir kata,sambutllah salam anakanda dari kejauhan dan semoga ayahanda…
     
4.         Sebelum mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada kami…
           
5.         Saya sudahi ucapan ini dengan…

              Jelaslah,aspek penanda kata wacana akan mempengaruhi pengolahan ,
struktur ayat, pemerengganan, kosa kata,dan bahasa secara keseluruhannya  yang sangat diperlukan dalam usaha menghasilkan sebuah karangan yang baik.Contoh-contoh yang dipaparkan di atas diharapkan dapat dijadikan  garis panduan kepada pelajar dalam menghasilkan sebuah karangan yang bermutu
   

(Pelita Bahasa, Februari 2006)

Cuti Persekolahan


CUTI PERSEKOLAHAN
ISIKAN DENGAN AKTIVITI BERFAEDAH


Oleh
 Izani Haji Daud


            Cuti akhir tahun persekolahan telah pun bermula. Pada hari terakhir persekolahan jelas tergambar kegembiraan pelajar-pelajar menyambut cuti penghujung tahun.

            Dalam tempoh ini mereka tidak terikat dengan sekolah. Dengan perkataan lain mereka tidak dibebankan dengan kerja-kerja sekolah (akademik), peraturan persekolahan dan lain-lain yang berkaitan dengan sekolah. Mereka seolah-olah ‘terputus’ hubungan dengan sekolah.
          
 Sebagai seorang pelajar, cuti selama hampir enam minggu ini tidak seharusnya dipersiakan.  Aktiviti-aktiviti yang bermanfaat sewajarnya diatur supaya masa yang banyak ini tidak akan terlepas begitu sahaja.
         
   Bagi pelajar-pelajar yang mempunyai kesedaran yang tinggi, mereka   sudah   pun   mula   membuka   buku-buku    yang    bakal
dipelajari pada tahun hadapan. Langkah proaktif ini seharusnya diamalkan oleh semua pelajar, terutamanya mereka yang akan menduduki peperiksaan PMR, SPM, dan STPM pada tahun  hadapan. Melaui cara ini pelajar-pelajar akan dapat memahami isi pelajaran lebih awal atau mempunyai sedikit pengetahuan dan tidak menimbulkan masalah dalam pembelajaran yang akan ditempoh nanti.
  
kemampuan dan kebolehan pelajar terhadap subjek-subjek yang terdapat dalam pakej yang ditawarkan. Sekiranya pelajar silap membuat keputusan impaknya akan dirasai oleh pelajar sendiri.

            Untuk menghidupkan suasana pembelajaran dalam cuti ini, para pelajar bolehlah juga membentuk kumpulan belajar atau “study group” dalam kalangan mereka mulai sekarang. Pertemuan boleh
diadakan satu atau dua kali seminggu.  Cara ini membolehkan
anggota kumpulan berkongsi pendapat atau sekurang-kurangnya menyedarkan mereka terhadap tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Belajar secara kumpulan juga akan memudahkan pelajar mengenal pasti kelemahan diri berbanding belajar sendirian. Hal ini kerana melalui perbincangan pelajar akan senang mengesan kekurangan diri. Input pembelajaran pula mudah diperoleh hasil daripada perbincangan yang dibuat.

             Selain itu terdapat juga pelajar yang mengikuti kelas-kelas tuisyen di pusat-pusat tuisyen. Walaupun tuisyen lebih merupakan
pembelajaran secara latih tubi dengan bimbingan guru tetapi langkah
ini juga adalah baik untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pelajaran yang bakal dipelajari apabila sekolah bermula pada tahun hadapan.

            Dalam pada itu pelajar adalah digalakkan supaya memberikan tumpuan  kepada mata pelajaran bahasa Inggeris.  Hal ini mustahak memandangkan dewasa ini institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) mensyaratkan kelulusan bahasa Inggeris untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan.  Menguasai bahasa Inggeris bukan setakat untuk melayakkan seseorang pelajar itu memasuki pusat-pusat pengajian tetapi penting untuk kerjaya masa depan, kerana urusan kerja ada ketikanya memerlukan penggunaan bahasa Inggeris terutama dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, perniagaan dan lain-lain lagi.
       
 Satu lagi aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada pelajar semasa cuti panjang ini ialah kemahiran menggunakan komputer. Dalam menuju alaf baru ini komputer  memainkan peranan yang
penting dalam kehidupan kerana dalam menempuh era pemodenan abad ke-21, kita tidak dapat lari daripada penggunaan alat canggih ini.

            Penguasaan kemahiran menggunakan komputer ini sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar apabila mereka melanjutkan pelajaran di IPT seperti mengerjakan tugasan, tesis dan sebagainya lagi.

           Pada musim cuti ini juga pelajar boleh mengambil kesempatan untuk bekerja.  Selain dapat membantu keluarga untuk mendapat sedikit pendapatan , mereka juga dapat menimba pengalaman dalam
kehidupan bermasyarakat. Pergaulan dengan masyarakat luar akan
mendedahkan pelajar dengan dunia realiti dan mematangkan pemikiran.   Kematangan berfikir penting kerana kita inginkan pelajar yang cemerlang dalam segala aspek iaitu menjadi modal insan yang serba boleh yang dapat memberi sumbangan kepada negara.
         
           Tegasnya, pada musim cuti panjang ini pelbagai aktiviti  berfaedah boleh dilakukan pelajar.  Peluang keemasan seperti ini tidak seharusnya dipersiakan dan hendaklah dipergunakan sebaik mungkin supaya pelajar mendapat manfaat yang besar daripadanya.