Thursday 22 November 2012

Remaja dan Aspirasi Negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Dewan Siswa,November 2012)



Oleh
Izani Haji Daud

Dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara, tidak dapat dinafikan peranan guru adalah paling utama. Hal ini demikian kerana guru merupakan golongan yang berada di barisan hadapan. Dengan perkataan lain guru yang akan menjalankan segala dasar yang telah ditetapkan. Transformasi sistem pendidikan  bertujuan melahirkan generasi masa depan yang menjadi aset kepada negara. Antara ciri pelajar atau remaja yang diperlukan untuk memenuhi keperluan misi negara ini ialah berkeperibadian tinggi, intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat.

    Selain usaha kerajaan dan guru yang bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat dasar tersebut, para pelajar sendiri juga hendaklah mempunyai keiltizaman yang tinggi untuk memajukan diri. Para pelajar hendaklah peka terhadap hasrat murni kerajaan dan harapan masyarakat kepada mereka.

    Sebagai seorang pelajar yang akan menjadi aset kepada negara, mereka hendaklah mempunyai keperibadian yang tinggi. Asas kejayaan seseorang individu pelajar ialah berdisiplin. Mereka perlu mempunyai kesedaran mendisiplinkan diri, mematuhi semua peraturan yang ditetapkan di sekolah, mengawal diri daripada terjebak dengan masalah-masalah disiplin dan mengelakkan diri daripada berkawan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin  kerana dikhuatiri akan dipengaruhi tingkah laku yang tidak baik yang boleh merosakkan.

    Untuk menjadi seorang pelajar yang intelek, para pelajar hendaklah melengkapkan diri dengan input ilmu yang mencukupi. Pelajar hendaklah belajar bukan setakat untuk cemerlang dalam peperiksaan tetapi berkemampuan untuk merealisasikan ilmu yang diperoleh. Contohnya, seorang pelajar sekolah menengah yang mempelajari karangan jenis wawancara hendaklah bukan sahaja boleh menulis skrip wawancara itu dalam bentuk penulisan sahaja, tetapi boleh melakonkan wawancara, yakni menjalankan aktiviti temu ramah sesama mereka (pelajar), supaya ilmu yang dipelajari itu dapat diaplikasikan dalam dunia sebenar.

    Selain itu, pelajar juga hendaklah mempunyai jati diri yang kukuh. Dalam dunia yang semakin canggih dan dipenuhi dengan pelbagai ilmu teknologi, kekuatan diri amatlah diperlukan khususnya dalam kalangan pelajar bagi menepis unsur dan pengaruh luar yang boleh menyesat dan merosakkan pemikiran. Para pelajar seharusnya memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran bukannya melibatkan diri dengan kegiatan yang tidak berfaedah yang hanya merugikan diri sendiri, keluarga dan negara.
   
Hal ini penting kerana remaja adalah aset negara, seperti yang dikatakan oleh Datuk Rohani Abdul Kadir,Timbalan Menteri Perdagangan Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa kecemerlangan sesebuah negara sebenarnya terletak kepada sumber tenaga manusia bukannya pembangunan fizikal semata-mata. Menurut beliau lagi, pelajar dapat melakukan yang terbaik untuk masyarakat, negara dan agama seandainya mempunyai sikap yang positif dan wawasan yang jelas.     Dalam pada itu, para pelajar juga diingatkan, dalam dunia yang semakin canggih dan dipenuhi dengan pelbagai ilmu teknologi moden, kekuatan diri amatlah dituntut bagi menepis pengaruh luar yang mampu menyesatkan golongan pelajar

    Pelajar sebagai modal insan bukan sahaja diperlukan untuk menyerlahkan diri di peringkat tempatan atau kebangsaan sahaja tetapi juga di peringkat antarabangsa. Para pelajar hendaklah menyediakan diri secara lebih global. Mereka mesti menguasai dunia teknologi yang sangat pantas dewasa ini. Pelajar-pelajar di sekolah hendaklah menyahut misi nasional negara iaitu berkemampuan  menggunakan ilmu secara kreatif dan berimaginasi untuk  menghasilkan inovasi dan ciptaan bernilai tinggi dengan memiliki kemahiran yang mudah dilentur dan mudah diubahsuai serta mampu meningkatkan pengetahuan dan menambah baik kemahiran.
Sebagai seorang muda belia yang bakal mengambil alih teraju pimpinan negara pada masa hadapan, para pelajar hendaklah mempunyai jati diri yang utuh. Pelajar-pelajar yang berada di bangku sekolah sekarang ini mestilah mempunyai keazaman yang kuat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dengan berusaha bersungguh-sungguh dan berstrategik, yakni membuat perancangan yang rapi bagi merealisasikan apa yang dicitakan.

   Pelajar-pelajar hendaklah tahan diuji dalam segala cabaran yang dihadapi. Mereka hendaklah tidak mudah mengalah dan putus harapan apabila berhadapan dengan kepayahan dan kesusahan. Sikap negatif yang ada dalam diri seperti tidak yakin diri, malu bertanya dan perasaan rendah diri hendaklah dihindari. Sebaliknya, pelajar hendaklah menanam sikap sentiasa tidak puas hati akan kejayaan sedikit atau sederhana, justeru hendaklah berusaha habis-habisan dengan menggunakan segala kemampuan diri yang ada untuk mencapai kecemerlangan. Ungkapan `kecemerlangan milik semua’ hendaklah terpahat di jiwa pelajar. Ungkapan ini penting kerana terdapat dalam kalangan pelajar yang merasakan kejayaan atau kecemerlangan itu milik mereka (pelajar) tertentu sahaja, menyebabkan mereka hanya berpuas hati setakat yang ada sahaja.

    Selain mempunyai jati diri yang kukuh,  dalam berdepan dengan cabaran alaf baru ini, para pelajar hendaklah berpegang teguh kepada agama. Setiap agama menyeru kepada kebaikan. Seseorang yang mempunyai pegangan agama akan sedaya upaya mentaati apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang oleh agama. Penghayatan terhadap agama akan memudahkan seseorang itu mengamalkan sikap, perbuatan, tutur kata yang baik sebagaimana yang dianjurkan oleh agama mereka. Justeru, dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang mempunyai pegangan agama yang teguh, maka mulai dari sekarang lagi para pelajar seharusnya membiasakan diri dengan sikap, percakapan dan tingkah laku yang baik dan menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang agama agar para pelajar mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara.

    Jelaslah, Transformasi Pendidikan Negara merupakan salah satu usaha  untuk mencapai misi nasional negara. Usaha ini memerlukan pengemblenggan tenaga yang bersungguh-sungguh bukan sahaja daripada organisasi pendidikan dan para guru tetapi yang lebih utama daripada pelajar itu sendiri supaya mereka mempunyai hala tuju yang jelas. Pelajar-pelajar hendaklah diberi kesedaran akan peranan yang harus dimainkan di peringkat sekolah untuk bersama-sama mencapai aspirasi negara seterusnya mencapai misi nasional negara menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. 

Thursday 11 October 2012

Padah Menanti Menyakiti Hati Ibu


* Sekadar renungan bersama...
Akibat menyakiti hati ibu
Jenazah terbiar lama (Disalin daripada e-mail yang kuterima suatu masa dulu)

 SETIAP kali ke selatan tanah air, saya sukar melupakan suatu peristiwa yang berlaku semasa saya berkhidmat di sana kira-kira 20 tahun lalu.

Saya masih ingat, bulan Mac 1980, kira-kira pukul 10.30 malam, saya mendapat panggilan telefon mengatakan ada kematian di kawasan perumahan berhampiran tempat kediaman saya.

Saya tidak begitu mengenali Allahyarham. Apa yang diberitahu beliau seorang wanita yang masih muda dan belum berumahtangga. Bagaimanapun saya memang kenal baik dengan ibunya. Orangnya baik dan lemah lembut, senang dibawa berbincang malah tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.

Keesokannya, kira-kira pukul 8.00 pagi saya pun bergegas ke rumah Allahyarham. Niat hati hanya untuk berziarah saja kerana kebetulan waktu itu saya sedang hamil. Lagipun di situ terdapat seorang pengurus jenazah yang memang saya kenali.

Sebaik tiba di sana orang ramai telah memenuhi ruang tamu.Segala persiapan telah di-buat. Kain kapan, kemenyan, kapur barus dan sebagainya siap sedia di sisi jenazah.

Saya lihat semua tetamu sedang khusyuk membaca surah Yasin. Hati saya tertanya-tanya di mana pengurus jenazah? Dia tidak kelihatan, sedangkan rumahnya hanya selang beberapa pintu dari rumah Allahyarham.
Masa terus berlalu, pengurus jenazah yang bernama Mak Siti itu tidak muncul-muncul. Jam di dinding menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.

Hati mula tertanya-tanya, siapa akan menguruskan jenazah ini? Kesian... Sudah lebih 12 jam jenazah terbiar. Saya menghampiri ibu Allahyarham. "Mak cik, mana Mak Siti? Hari dah tinggi. Dia tak sampai lagi?" saya bertanya.

"Entahlah ustazah, mak cik telefon dia tadi. Katanya dia datang lewat sikit, ada hal mustahak," kata ibu Allahyarham separuh kesal.

"Jenazah tak elok dibiarkan lama-lama. Saya bukan tak nak tolong tapi mak cik tengoklah keadaan saya ni..." kata saya kepadanya sambil menunjuk ke arah perut.

"Tak apa ustazah, makcik faham. Mak cik akan cuba minta tolong orang kampung sebelah," jawab ibu Allahyarham lagi.

Salah seorang waris keluarga itu terus ke kampung sebelah, meminta pertolongan. Lebih kurang setengah jam kemudian dia muncul kembali. "Macam mana? Ada tak orangnya?" tanya ibu Allahyarham.

"Tak ada. Dia ke Kuala Lumpur semalam... ke rumah anaknya," kata lelaki itu.

"Macam mana ni ustazah?" katanya kepada saya dengan wajah sedih. Lantas dia memeluk saya sambil menahan sedu.

"Bersabar mak cik. Semua yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya. Kita tunggulah Mak Siti, kalau tak ada juga baru kita cari ikhtiar lain," kata saya cuba mententeramkannya.

Kami mengambil keputusan menunggu saja kedatangan Mak Siti. Hari semakin petang. Jarum jam terus berputar daripada pukul 1.00 ke pukul 2.00 dan akhirnya mencecah 3.00. Seorang demi seorang yang berada di ruang tamu meninggalkan rumah Allahyarham. Semakin lama semakin ramai yang meminta diri untuk pulang.

Melihat keadaan yang semakin lengang, ibu Allahyarham kelihatan serba tak kena. Tentulah dia sedih memikirkan tiada siapa untuk menguruskan jenazah anak kesayangannya.

"Macam mana ni ustazah, jam dah hampir 4.00 petang. Bayang Mak Siti pun tak nampak," rintih ibu Allahyarham sambil air matanya berlinangan.

"Kesian saya tengok mak cik. Tak ada siapa yang nak uruskan. Macam nilah mak cik... saya bukanlah nak ambil tahu hal keluarga mak cik, tapi ada tak apa-apa kelakuan Allahyarham yang mengecilkan hati mak cik?" tanya saya spontan. Sebenarnya saya sendiri tak tahu bagaimana saya dapat mengeluarkan perkataan demikian pada waktu itu.

"Kenapa ustazah tanya macam ni?" katanya agak terperanjat.

"Tak ada apa-apa. Cuma... kalau ada perilaku Allahyarham semasa hayatnya membuat mak cik kecil hati, maafkan ajalah dia. Mungkin Itu akan dapat meringankan bebannya," kata saya bersungguh-sungguh.
Mendengar kata-kata itu, ibu Allahyarham terus menangis teresak-esak lantas memeluk saya. Saya tergamam seketika. Mulut saya terkunci.

"Memang mak cik merasa kecil hati dengannya. Dia tu suka melawan, sepatah yang mak cik cakap, sepuluh dia balas. Puas adik-beradik nasihatkan dia. Tapi dia tetap macam tu.

"Lagipun dia ni degil, tak pernah langsung mendengar nasihat mak cik. Apa yang mak cik cakap semuanya dibangkang," katanya dengan linangan air mata.

Menurut ibu Allahyarham lagi, walaupun demikian anaknya amat bersopan santun dan mesra dengan orang lain. Tidak pernah dia meninggikan suara jika berbual dengan sahabat atau saudara-mara.
"Dengan mak cik saja dia begitu.. Itu yang mak cik kecil hati. Kadangkala mak cik terfikir di mana silap mak cik," tambahnya dalam esak tangis.

Malah kata ibu Allahyarham, anaknya seorang yang taat kepada suruhan Allah. Segala amal ibadat sama ada yang wajib atau sunat tidak pernah ditinggalkan.

"Sampai sekarang mak cik kecil hati dengan dia. Sebab ni ke, tak ada orang nak sempurnakan jenazahnya, ustazah?" tanya ibu Allahyarham sambil mengesat mata.

"Yang sudah tu sudahlah. Sekarang mak cik maafkanlah segala kesalahan dan kesilapan itu. Insya-Allah segalanya akan berjalan lancar dan jenazahnya akan disempurnakan dengan cepat," kata saya lagi. Sebaik saja saya berkata demikian, ibu Allahyarham terus mengangkat tangan berdoa sambil berkata, "Ya Allah, ya Tuhanku. Aku ampunkan segala kesalahan, kesilapan dan dosa anakku ini. Lapangkanlah anakku dari segala seksaan." Dia kemudian terus membuka kain penutup jenazah. Ditenung wajah anaknya agak lama.

Lebih kurang lima minit kemudian, tiba-tiba terdengar suara Mak Siti memberi salam di muka pintu.
''Maaflahhhh, terlambat. Saya ke pekan, ada hal sikit tadi. Tak sangka pula susah benar dapat teksi, tak macam selalu," kata Mak Siti sambil bersalaman dengan tetamu-tetamu yang ada. Saya pandang wajah ibu Allahyarham. Jauh di sudut hati, saya berbisik: "Alangkah besarnya keagunganMu, ya Allah. Enam belas jam jenazah terbiar tetapi selepas dosanya diampunkan ibu, mudah saja Allah lorongkan kebaikan."

Memandangkan semua sudah tersedia, Mak Siti terus memulakan tugasnya. Saya juga turut membantu serba sedikit. Tidak sampai satu jam, segala-galanya — daripada mandi, kapan dan sembahyang jenazah siap disempurnakan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran selepas azan Asar pada hari itu juga.

Semoga kita mendapat iktibar daripada kejadian ini ...

**Ada juga anak menipu dan membohongi ibu yang menyebabkan ibu memendam rasa kerana hati yang terluka.  Seorang ibu yang beriman akan tetap menyembunyikan rahsia hatinya, tetapi hati kecilnya menanggung derita yang tiada siapa mengetahuinya...

Sumber: http://pimpintangan.blogspot.com/2010/07/akibat-menyakiti-hati-ibu.html (dengan izin)

Tuesday 9 October 2012

Orang Jitra yang Baik Hati


Pada tanggal 6 Oktober 2012, lebih kurang jam 8 malam, di tepi jalan sekitar Hospital Besar Jitra, Kedah (berhadapan Kedai Dobi Sayang), tayar kereta saya di bahagian depan sebelah kiri (Naza Citra) telah tergelincir ke dalam longkang besar. Tayar kereta kami tersangkut pada kedua-dua tebing longkang. Saya, isteri dan anak-anak agak panik kerana tidak mengenali sesiapa di kawasan kejadian itu, lebih-lebih lagi inilah kali pertama kami menjejak kaki di Jitra. Pada mulanya kami sekeluarga cuba mengangkat tayar itu, tapi tidak berdaya. Tanpa melengahkan masa, kami meminta pertolongan seorang haji lingkungan umur 60an yang berada berhampiran Restoran Sri Impian di situ. Haji itu secara spontan memanggil rakan-rakannya yang lain untuk membantu, katanya, “Sahabat.sahabat mari kita pakat tolong”. Haji meminta persetujuan saya untuk membenarkan seorang pemuda India masuk ke dalam kereta, sambil kami semua menolak kereta ke belakang. Alhamdulillah, tayar kereta yang tergelincir ke dalam longkang dapat ditarik keluar. Saya sangat bersyukur dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang menolong. Semoga budi baik kalian, Allah s.w.t. jua yang akan membalasnya. Setelah bersalam-salaman kami pun meneruskan perjalanan.

Monday 1 October 2012

Unsur Bunyi


debik        -    bunyi orang menepuk sesuatu
debing       -    bunyi gendang (beduk)
debuk        -    bunyi orang meninju (menampar dengan kuat,barang jatuh
                      ke tanah, pukulan (tumbukan yang kuat (di badan)
debum       -    bunyi benda besar jatuh
debup        -    bunyi barang (besar atau berat) jatuh   
debur        -    bunyi barang besar jatuh ke air
debus        -    bunyi hembusan angin, burung mengibaskan kepaknya
debut        -    bunyi angin keluar dari lubang yang sempit
decap        -    bunyi orang mengecap makanan
decing        -    bunyi duit syiling dijatuhkan ke batu
decip        -    bunyi unggas
decit        -    bunyi anak burung, ayam, tikus
decuh        -    bunyi air (cecair) berkocak
decup        -    bunyi benda kecil yang padat jatuh ke air
decur        -    bunyi air memancar
decut        -    bunyi anak kecil menghisap botol susu
dedas        -    bunyi letusan yang kecil
dembam    -    bunyi buah nyiur jatuh
demberang    -    bunyi tembakan senapang (bedil)
dembun    -    bunyi benda berat jatuh (bunyi menepuk tilam)
dempang    -    bunyi benda kosong (tong) jatuh
dempir    -    bunyi yang nyaring seperti canang
dempung    -    bunyi benda jatuh ke air
dencang    -    bunyi yang bergemerencang
dengih    -    bunyi orang menahan kesakitan (biasanya senak perut),
                   bunyi orang sesak nafas
denging    -    bunyi dengung yang halus
dengkang    -    bunyi seperti katak
dengking    -    bunyi seperti salakan anjing kesakitan (kerana dipukul)
dengkus    -    bunyi menarik (menghembuskan) nafas dengan hidung
dengung    -    bunyi kumbang, kapal terbang, gong yang dipalu
dengus    -    bunyi hembusan nafas yang kuat (seperti bunyi hembusan
                    nafas lembu, kerbau)
dengut    -    bunyi yang bergema memanjang (seperti burung puyuh,
                   gong yang dipalu)
dentam    -    bunyi besi dipukul (pinyu ditutup dengan kuat, mercun
                    dibakar)
denting    -    bunyi duit syiling jatuh ke batu
dentum    -    bunyi meriam atau bom (lebih besar daripada dentam)
dentung    -    bunyi guruh (tong atau gendang dipalu)
dentur        -    bunyi letupan kecil
depak        -    bunyi hentakan kaki kuda berjalan (buku jatuh ke lantai)
depus        -    bunyi hembusan angin
derai        -    bunyi air hujan jatuh menitik
derak        -    bunyi dahan patah (buluh dibelah,daun pintu bersanggit)
deram        -    bunyi yang kuat menggegar seperti bunyi gendang besar
                        (aum harimau, guruh)
derang      -    bunyi gendang besar,tambur atau pinggan mangkuk jatuh
derap        -    bunyi orang berjalan serentak
derau        -    bunyi hujan dibawa angin
derik        -    bunyi papan bersanggit (lebih kecil daripada derak)
dering        -    bunyi giring-giring (loceng kecil,loceng basikal, telefon)
deris        -    bunyi kain koyak (rumput kering dipijak)
derit        -    bunyi lantai pelupuh dipijak (engsel yang tidak berminyak)
dersik        -    bunyi angin, desir
deru        -    bunyi tiupan angin yang kuat (ribut, guruh)
derus        -    bunyi barang digesek (daging disayak)
desah        -    bunyi benda digosok (air hujan jatuh ke dedahun,nafas orang sakit lelah)
           
detar        -    bunyi benda yang bergeatar (bergegar,bergentar)
detas        -    bunyi benang putus (kulit telur pecah,air hujan menitik ke 
                     atap


Rujukan: Kamus Dewan, Edisi Ketiga

Thursday 27 September 2012

Bahasa Istana

Petikan Sebahagian Bahasa Istana
Bil      Perkataan    Bahasa Istana            Bahasa Awam
1     Anak                Paduka anakanda      Pacal didik
2     Ayah/Bapa      Paduka ayahanda      Hamba Tua ayah
3     Adik                 Paduka adinda           Pacal didik
4     Abang/Kakak Paduka kekanda        Pacal kakak
5     Berlepas         Berangkat lepas                  -
6     Buang air        Ke sungai                    Ke bilik air
7     Beri                  Kurnia/anugerah                  -
8     Berjumpa        Bertemu                       Menghadap
9     Tinggal            Semayam                             -
10   Hendak tahu   Ingin mengetahui        Mohon periksa
11   Jemput/sila      Ajak                             Mempersilakan
1     Mandi               Bersiram                     Mandi
13   Makan              Santap                        Ayap
14   Marah               Murka                          Dukacita
15   Merasmikan    Menyempurnakan               -
16   Pergi                Berangkat                            -
17   Rumah             Istana                            Pondok
18   Sakit                Gering                          Sakit
19   Sampai            Berangkat tiba            Sampai
20   Saya                Beta/kita                       Patik
21   Sudi mengunjungi  Mencemar duli             -
22   Setuju              Berkenan                      Bersetuju
23   Tidur                Beradu                          Tidur
24   Terima kasih   Berima kasih               Junjung kasih/junjung kurnia
25   Tidak tahu      Tidak pasti/tidak tahu   Kurang periksa/kurang pasti
26   Suami             Tuanku Agong/Tuanku  Hamba tua suami
                                Sultan/Tuanku    

 http://www.istananegara.gov.my/istananegara2/index.php/protokol-diraja/bahasa-istana/156-petikan-sebahagian-dari-bahasa-istana.html

Sunday 23 September 2012

Perbezaan antara `kami' dan `kita'

Perbezaan antara `kami' dan `kita'

 Kami

Kami biasanya diucapkan apabila kita bercakap kepada orang lain tetapi merujuk kepada kumpulan kita.

Contoh: "Kami hendak ke Kuala Lumpur pagi esok mak cik"

 Kita

Kita akan diucapkan apabila kita sedang merujuk atau bercakap dengan kumpulan kita sendiri.

Contoh: "Kita akan bertolak ke Kuala Lumpur pagi esok"

Thursday 13 September 2012

Perihal "kerana" dan "sebab"

                       Perihal “kerana” dan “sebab”

Banyak orang keliru dengan penggunaan perkataan “kerana”. Sebagai contoh, banyak yang bertanya tentang ayat yang bermula begini: ”Ini kerana ...” seperti dalam ayat ”Ini kerana ibunya sakit.” Bolehkah ayat seperti ini digunakan? Jikalau tidak boleh, mengapa, dan bagaimanakah penggunaan yang betul?
   Sekali imbas binaan ayat yang berbentuk ”Ini kerana ...” jelas merupakan terjemahan literal bagi ayat dalam bahasa Inggeris yang berbunyi, ”This is because ...” Oleh itu, sebenarnya binaan ini bukan binaan bahasa Melayu sejati. Hanya dalam bahasa lisan, atau bahasa basahan, penggunaan bentuk ini digunakan dan memang hal ini kerap berlaku.
“Kerana” ialah kata hubung yang mencantumkan dua ayat. Misalnya ayat “Dia tidak datang kerana ibunya sakit.” Dalam ayat ini, “kerana” menghubungkan ayat induk (Dia tidak datang) dengan ayat kecil keterangan (ibunya sakit). Dalam ayat ini, “kerana” ialah kata hubung ke-terangan.
   Ayat yang bermula dengan “Ini kerana ...”, seperti dalam ayat: “Ini kerana ibunya sakit”, adalah tidak tepat, disebabkan perkataan “kerana” tidak boleh berfungsi sebagai predikat kepada subjek “ini”. Maka binaan ayat ini patut diubah supaya “kerana” benar-benar berfungsi sebagai kata hubung. Contohnya: “Hal ini demikian kerana ibu-nya sakit”. Dalam ayat ini, ayat induk ialah “Hal ini demikian”, dan “kerana” yang mengikutinya kini berfungsi sebagai kata hubung.
   Soal binaan ayat begini memang mengelirukan kerana banyak orang kurang faham tentang golongan kata sesuatu perkataan, lantas berlaku kesalahan dalam menggunakan perkataan tersebut. Dalam contoh di atas, “kerana” yang tergolong sebagai kata hubung telah digunakan sebagai predikat ayat. Hal ini berlaku kerana pengaruh binaan bahasa Inggeris.
Satu lagi persoalan yang berkait dengan perkataan “kera-na” ialah dalam konteks penggunaan “oleh kerana”. “Oleh kerana” kerap digunakan bertukar ganti dengan “oleh sebab” yang berfungsi sebagai frasa sendi nama.
   Dalam binaan frasa sendi nama, frasa yang bermula de-ngan kata sendi nama mesti diikuti oleh kata nama. Kata sendi nama dalam frasa “oleh kerana” dan “oleh sebab”, ialah “oleh”. Yang menjadi persoalan ialah, apakah golongan kata “kerana” dan “sebab”?
“Kerana” dan “sebab” tergolong sebagai kata hubung. Ayat “Dia tidak datang kerana ibu-nya sakit”, misalnya, boleh juga menjadi “Dia tidak datang sebab ibunya sakit”. Ini membuktikan bahawa kedua-dua perkataan “kerana” dan “sebab” ialah kata hubung.
   Dalam bahasa Melayu terdapat perkataan yang boleh menduduki lebih daripada satu golongan kata, bergantung pada penggunaannya dalam ayat. Perkataan “dalam”, misalnya, berfungsi sebagai kata adjektif dalam ayat “Perigi itu sangat dalam”, dan berfungsi sebagai kata arah dalam ayat “Bukunya tersimpan di dalam almari”.
   Demikian juga halnya dengan perkataan “sebab”. Dalam ayat “Dia tidak datang sebab ibunya sakit”, kata “sebab” berfungsi sebagai kata hubung. Tetapi dalam ayat “Nyatakan empat sebab mengapa kamu tidak datang”, kata “sebab” berfungsi sebagai kata nama dan bukannya kata hubung.
   Penggunaan frasa nama “oleh sebab” adalah lebih tepat dalam bahasa Melayu kerana “sebab” boleh berfungsi sebagai kata nama, sedangkan “kerana” tidak tergolong sebagai kata nama. Misalnya kita tidak pernah menyatakan: “Nyatakan empat kerana mengapa kamu tidak datang”; melainkan “Nyatakan empat sebab mengapa kamu tidak datang”. Jelas, penggunaan “oleh kerana” tidak mematuhi hukum nahu bahasa Melayu.

(Sumber: Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim,
  Berita Harian 16 Ogos 2006
)

Kreativiti Guru dalam Pengajaran Bahasa (Pelita Bahasa, September 2012)

                      Kreativiti Guru dalam Pengajaran Bahasa


                                                                           Oleh
                                                                    Izani Hj Daud


Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini tidak lagi dibelenggu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata.  Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti pembelajaran. Mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam pengajaran sebagai rempah hidup di bilik darjah akan dapat mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya keberkesanan pembelajaran kepada pelajar itu sendiri . 
      Dalam penulisan ini, pemfokusan akan diberi kepada usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dalam proses P & P di bilik darjah untuk menarik minat pelajar untuk belajar.
Pemikiran kreatif adalah kebolehan mengambil kira maklumat tanpa mengasingkan ke dalam kotak-kotak tertentu. Satu kaedah berfikir yang memaksa kita mengenal pasti kaitan-kaitan baru antara fakta-fakta yang dilihat yang dapat menerbitkan idea yang menyimpang jauh daripada idea sedia ada (Pellegrino dan Politis, 1999). Manakala pemikiran inovatif pula adalah kebolehan mengubah suai kepada benda yang sedia ada untuk menjadi lebih baik dan berguna iaitu, sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru (Kamus Dewan, Edisi Ketiga, 1994).
         Guru berperanan menyampaikan  pengajaran kepada muridnya. Sejauh mana tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian guru itu sendiri . Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam ilmu pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah dan  teknik pengajaran yang berkesan . Antara   kaedah  dan  teknik  pengajaran  bahasa Melayu yang dikenal pasti sesuai untuk menarik minat pelajar ialah penggunaan keratan akhbar dalam pengajaran,  kerja kumpulan membina soalan, kaedah hafalan sifir bahasa, aktiviti minda kreatif dan bimbingan khusus pelajar lemah.

Penggunaan Keratan Akhbar dalam Pengajaran
Satu daripada kaedah yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah melalui penggunaan bahan bantu mengajar. Penggunaaannya bertujuan menarik perhatian pelajar supaya meminati pelajaran yang diajarkan. Hal itu dikatakan demikian kerana pengajaran secara langsung yang berterusan akan membosankan pelajar dan mampu menghilangkan semangat untuk belajar.      
 
Rasional penggunaan keratan akhbar sebagai bahan bantu mengajar disandarkan kepada pendapat seorang pakar pendidikan, Edgar Dale (1978) yang menggariskan tujuh kepentingan penggunaan BBM:
i.    merangsang minat yang tinggi dalam kalangan pelajar.
ii.    menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman serta corak pemikiran dan oleh itu mengurangkan pelbagai gerak lisan daripada pelajar.
iii.    membekalkan satu dasar untuk perkembangan pemelajaran pelajar dan oleh itu menjadikan pelajaran mereka lebih kekal.
iv.    menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperoleh dengan mudahnya melalui cara-cara lain.
v.    Menolong pelajar dalam kefahaman dan oleh itu mempercepat perkembangan perbendaharaan kata.
vi.    menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan kegiatan seorang pelajar.
vii.    mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikian menambahkan bacaan sukarela.
                                                  
      Berdasarkan hal yang diperkatakan oleh Dale,  nyatalah bahawa bahan bantu mengajar berupaya menanam minat dan mengembangkan kreativiti pelajar. Selain itu, bahan bantu mengajar dapat juga memberikan keseronokan kepada pelajar kerana dengan penggunaannya,  pelajar akan mengalami  situasi 
yang terkeluar daripada suasana pemelajaran biasa dan seterusnya dapat menghindarkan mereka daripada berasa bosan untuk belajar.

 Penggunaan keratan akhbar boleh dijalankan dengan membuat perancangan pada awal tahun lagi. Setiap pelajar akan diberi tugas secara bergilir-gilir untuk membuat keratan akhbar, berupa keratan rencana pengarang akhbar. Tarikh giliran itu ditetapkan oleh guru untuk satu tahun iaitu, satu sesi pengajian. Keratan akhbar tersebut akan ditampal pada setiap hari di dalam buku khas yang akan disimpan oleh setiausaha kelas.


                              
             Keratan rencana pengarang akhbar dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pelajar dalam aspek pengucapan lisan, terutama pelajar tingkatan  3 untuk ujian Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Aktiviti tersebut dapat dijadikan sebagai latihan sebelum mereka diuji untuk PLBS.

            Untuk aktiviti lisan, guru hendaklah memastikan setiap pelajar sentiasa bersedia dengan keratan rencana pengarang akhbar masing-masing. Pada setiap  hari,  iaitu  pada  sepuluh  minit   pertama  masa  pengajaran,  guru  akan 
meminta pelajar tampil ke hadapan bagi memperkatakan topik atau fakta yang terkandung dalam keratan rencana pengarang akhbar yang dibacanya. Fakta tersebut hendaklah diucapkan secara lisan tanpa merujuk keratan tersebut.

              Dengan cara itu, pelajar dapat dilatih menggunakan kreativiti sendiri untuk berucap di khalayak atau  pengucapan awam yang juga dapat menolong pelajar dalam ujian lisan. Selain itu, cara ini juga dapat melahirkan pelajar yang petah bercakap.
                       
       Keratan rencana pengarang akhbar juga dapat membantu pelajar dalam penulisan  karangan.  Melaluinya,  guru hendaklah  meminta  pelajar  menyenaraikan isi-isi  penting yang terdapat dalam keratan tersebut di dalam buku latihan sebelum ditampal di dalam buku khas yang disediakan. Semasa pelajar membentangkan keratan rencana pengarang akhbar di kelas, pelajar yang lain hendaklah membuat catatan di dalam buku latihan. Kaedah tersebut tentunya menjimatkan masa kerana dalam setahun, setiap pelajar hanya dikehendaki membuat tujuh hingga lapan keratan sahaja. Hasil daripada perkongsian antara pelajar, mereka berjaya mengumpul semua tajuk keratan rencana pengarang akhbar untuk setahun (365 buah keratan akhbar).

         Sepanjang sesi pengajian berlangsung, guru akan memilih tajuk yang tertentu daripada keratan rencana pengarang akhbar yang dikira penting untuk perbincangan di kelas bagi aktiviti penulisan karangan. Aktiviti tersebut akan memberikan keseronokan kepada pelajar kerana mereka dapat berkongsi bahan dan idea, serta dapat berbincang bersama-sama.
           
         
Kerja Kumpulan Membina Soalan
         Kerja kumpulan membina soalan boleh dipraktikkan dalam pembelajaran  komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Aktiviti ini memerlukan kreativiti dan mencabar minda pelajar.        
Untuk aktiviti ini para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan dibekalkan sebuah karya sastera yang terdapat dalam teks KOMSAS. Setiap anggota dalam kumpulan akan menyumbangkan idea untuk membina soalan dan menyediakan jawapan bagi setiap soalan yang dibina. Rasional  aktiviti ini dijalankan adalah untuk memastikan pelajar-pelajar membaca karya berkenaan dengan teliti. Hal ini kerana untuk membina soalan memerlukan `penggubal soalan’ itu benar-benar memahami jalan cerita dan setiap aspek sastera yang terkandung di dalamnya. Soalan yang akan dibina pula sudah tentulah aspek yang penting yang terkandung dalam karya sastera berkenaan, yakni soalan yang mencabar minda.

Menelaah teks komsas untuk aktiviti membina soalan
         Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal  pasti bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan. Pengalaman di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil daripada perbincangan dalam kumpulan.
       
Selepas aktiviti membina soalan dijalankan, sesi kuiz pula  diadakan. Guru akan mengumpul soalan-soalan yang dibina oleh pelajar dan memilih soalan-soalan yang sesuai untuk dijadikan soalan kuiz dengan sedikit pengubahsuaian. Selain dapat mencungkil kreativiti pelajar melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar-pelajar juga akan berasa bangga apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih. Manakala bagi mereka yang soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada sesi pembelajaran lain supaya soalan yang dibina akan terpilih. Suasana pembelajaran seperti ini akan mewujudkan iklim pembelajaran yang sihat kerana masing-masing pelajar bersaing antara satu sama lain membina soalan yang berkualiti untuk dipilih sebagai soalan kuiz.

               
Kaedah Hafalan Sifir Bahasa 
         Dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, khususnya dalam  tatabahasa yang rata-ratanya pelajar lemah dalam aspek ini, kaedah hafalan boleh diperkenalkan.
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana hafalan sifir dalam matematik, mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam bahasa. Hal ini demikian kerana terdapat banyak pelajar yang tidak mampu menggunakan kata dengan tepat. Dalam penulisan, penggunaan kata sendi nama dan kata hubung banyak digunakan. Maka, pelajar mesti cekap dalam kedua-dua penggunaan kata itu bagi menghasilkan penulisan yang baik, terutamanya dari segi penggunaan kata dalam ayat. Kata sendi dan kata hubung biasa sangat digunakan dalam penulisan sebagai perangkai kata atau penanda wacana. Perangkai kata digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, ayat dengan ayat dan perenggan dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak menguasai perangkai-perangkai kata itu,  sukar untuk mereka menggunakannya dalam penulisan.          
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan kata yang terdapat dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, tetapi kerap kali pelajar lupa akan fungsi kata bagi setiap kata atau bertukar antara satu sama lain. Contohnya, antara sendi nama dari dan daripada. Berdasarkan pengalaman penulis, diperhatikan bahawa pelajar kerap bertukar antara kedua-duanyanya. Contohnya;
        1)    *Ahmad menerima surat dari kawannya.
        2)    *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.

    Kedua-dua perkataan sendi nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1) sepatutnya menggunakan kata sendi daripada  manakala bagi ayat (2), kata sendi yang betul ialah dari. Hal itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak benar-benar faham akan fungsi atau penggunaan kata sendi berkenaan. Kata sendi dari hanya boleh digunakan untuk arah datangnya sesuatu dan untuk menyatakan permulaan masa. Kata sendi daripada pula digunakan  untuk hal-hal lain, seperti orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak dan untuk menunjukkan keanggotaan.

     Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku inilah memerlukan suatu perkaedahan dalam pengajaran dijalankan di dalam bilik darjah, salah satunya melalui aktiviti sifir bahasa.

Operasi Aktiviti Sifir Bahasa

1)    Kaedah hafalan atau Sifir Bahasa ini  digunakan
    untuk  mengajarkan kesemua jenis golongan kata.
2)    Fokus  diberikan kepada kata sendi nama dan kata hubung terlebih
dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap digunakan dalam penulisan sebagai penanda wacana atau perangkai kata.  Kemudian diikuti dengan golongan kata yang lain pula.
3)        Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata hubung  berserta
           dengan fungsi atau cara penggunaannya untuk dihafal di rumah.         
4)    Semasa di  bilik darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan hingga 10 minit pertama sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir bahasa. Guru akan meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan soalan terbuka menanyakan fungsi kata sendi nama atau kata hubung. 
5)    Pelajar yang tidak berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu membuat  kerja  rumah.  Pelajar  dikehendaki  merujuk  kepada  lima  kata
sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan fungsi setiap kata tersebut.
6)    Pada hari-hari yang berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini di  bilik darjah hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama dan kata hubung.
7)    Pada hari-hari seterusnya aktiviti golongan kata yang     lain pula dijadikan sebagai aktiviti seperti sebelumnya.
8)        Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Setelah kesemua golongan   
kata telah dijalankan, guru akan membuat ulangan untuk memantapkan   lagi ingatan dan kefahaman pelajar. 

   Kaedah  ini sangat berfaedah kepada pelajar.  Suasana yang menyeronok di  bilik darjah dengan sedikit `tekanan’ (denda) dapat membantu pelajar menguasai tatabahasa,  terutama   golongan kata. Dengan  menggunakan  sifir bahasa   pelajar akan bersedia sebelum memulakan sesi pembelajaran. Lebih daripada itu, aktiviti ini akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka akan membuat hafalan sebagaimana mereka menghafal sifir (kalian) untuk matematik.


Aktiviti Minda Kreatif

Kreativiti pelajar dapat dicungkil seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang boleh merangsang minda pelajar. Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran secara biasa tidak mampu menajamkan kreativiti pelajar.

   Pelajar yang dikategorikan sebagai remaja merupakan golongan yang mempunyai tingkat sensitiviti yang tinggi. Sensitiviti yang ada pada para remaja membolehkan mereka mengungkapkan kata-kata yang menghasilkan pelahiran perasaan dan membangkitkan rasa keindahan bahasa.  Kalangan   pelajar   atau            
remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 15 tahun berupaya merumuskan kata yang berkesan sehingga terbentuk satu rangkai kata yang boleh memberikan maksud dan kesan mendalam berupa kata-kata hikmat. Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk penulisan karangan kerana markah bonus ada diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang mampu memasukkan kata hikmat dalam penulisan karangan.

   Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam bilik darjah. Para pelajar diminta secara spontan menghasilkan ungkapan penarik atau kata-kata hikmat secara spontan dalam sesi pembelajaran. Pelajar-pelajar diberikan masa selama lebih kurang 25 minit untuk berfikir dan mengungkapkan kata. Pengalaman penulis mendapati hasilnya sangat mengagumkan apabila majoriti pelajar dapat menghasilkan kata-kata hikmat sendiri. Diperturunkan beberapa contoh kata hikmat yang dihasilkan oleh pelajar.
         

i.    Jadikan hari ini sebagai permulaan
dan hari esok sebagai penentuan hidup
anda.                              


ii.    Orang yang berjaya dengan cemerlang
dalam hidupnya ialah orang yang tidak
pernah memikirkan tentang kegagalan.
                                             
iii.    Setitis air tidak boleh menjadi selautan
air, tetapi sedikit ilmu boleh menjadi
selautan ilmu.

iv.    Latihan berterusan telusnya kemahiran.

v.    Setiap langkah adalah permulaan yang
akan menyelesaikan permasalahan.

vi.    Menyeru manusia kepada kebaikan adalah
sukar berbanding mengajak manusia ke
arah keburukan.

vii.    Pengalaman lalu tidak boleh dijadikan
pengalaman yang abadi untuk dicontohi.

viii.    Semalam merupakan kenangan manakala
hari esok merupakan harapan dan pastikan
harapan itu akan menjadi kenyataan.
          

        Aktiviti ini menjelaskan bahawa, pelajar peringkat sekolah pun mampu berfalsafah jika mereka diberi peluang.     Pembaharuan dalam P & P dapat menggalakkan pelajar untuk menulis kata-kata hikmatnya sendiri yang sudah tentulah akan dapat membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.


Bimbingan Khusus Pelajar Lemah

    Guru juga tidak seharusnya melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas yang diajar. Mereka tidak boleh diabaikan dan usaha hendaklah diambil menangani kelemahan pelajar. Untuk aspek penulisan umpamanya, guru boleh meminta pelajar menulis karangan dengan bimbingan guru. Misalnya, dalam penulisan ringkasan karangan, guru boleh membimbing pelajar menulis ringkasan karangan dengan cara menulis karangan yang tidak lengkap pada papan kapur. Dua kaedah boleh dijalankan oleh guru seperti di bawah.

        1)  Mengosongkan bahagian isi dalam karangan
             yang perlu dilengkapkan oleh pelajar.

        2)  Mengosongkan bahagian pangkal ayat untuk
             pelajar memasukkan penanda wacana yang
             sesuai dalam ayat.

    Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh pelajar tanpa jemu-jemu oleh guru. Pengalaman penulis dalam pengajaran kaedah ini sangat menakjubkan apabila didapati pelajar mampu menulis karangan dengan baik setelah menjalani latihan buat beberapa ketika.
    
Kesimpulan
         Kepelbagaian perkaedahan dalam mengajar adalah penting. Kaedah-kaedah yang telah diutarakan semuanya adalah berpusat kepada pelajar dan guru sebagai fasilitator, yang lebih menjurus kepada pembudayaan pemikiran pelajar yang kreatif dan inovatif.
Para pelajar akan seronok belajar apabila guru menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran. Keseronokan dalam menjalankan aktiviti  akan  menyebabkan  mereka  minat  untuk  belajar dan guru dapat menerapkan input-input berkaitan dengan kreativiti dan inovasi dalam P & P,  supaya nanti institusi sekolah bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi seorang pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan dalam usaha membangun modal insan minda kelas pertama sejajar dengan teras kedua yang terdapat dalam PIPP. Seterusnya, memenuhi keperluan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. 
           

Bibliografi

Edgar Dale 1978. The Good Mind : Phi Delta Kappa Educational
    Foundation.

Izani Hj Daud 2010. “Belajar Bahasa dengan Keratan Akhbar”. dlm.
    Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 05: 5 Mei. hlm. 24-25.
   
__________  2009. “Sifir Bahasa”. dlm. Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 04:
     4 April, hlm. 38-39.

Kamus Dewan 1994(Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.   

Pellegrino,Richard & Politis,Michael 1999. Improving Your IQ..New York :
    A Simon & Schuster Macmillan Company.

Wednesday 12 September 2012

Karangan Pelajar SMK Salor


                           Pemupukan Semangat Patriotik dalam Kalangan Remaja
                                                                            Oleh
                                                  Quistien bt. Muhammad Jauhari
                                                                Tingkatan 2 Alpha
                                                          SMK. Salor, Kota Bharu

Semangat patriotik bermaksud semangat cinta akan tanah air. Semangat ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Banyak pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memupuk semangat patriotik yang semakin menipis dalam kalangan remaja masa kini.

       Bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja, setiap remaja itu hendaklah mempunyai kesedaran diri. Remaja itu sendiri berperanan penting dalam memupuk semangat patriotik dalam diri mereka. Terdapat banyak cara bagi memupuk semangat patriotik ini.

       Antaranya ialah, mereka mestilah muhasabah diri mereka sendiri. Mereka hendaklah bersyukur dengan nikmat yang diberikan selama ini. Nikmat keharmonian dan keamanan adalah daripada titik peluh tokoh-tokoh yang telah berjaya mempertahankan kedaulatan dan martabat bangsa kita iaitu bangsa Melayu daripada terus dijajah oleh kuasa asing. Jika tiada pengorbanan dan perjuangan tokoh-tokoh pada zaman sebelum kemerdekaan, tidak mungkin kita akan hidup aman dan sentosa kerana kita berada di bawah kekuasaan penjajahan British.

       Selain itu, setiap remaja perlulah mengetahui peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah berlaku kepada tanah air mereka. Bagi mendapatkan maklumat serta informasi tentang peristiwa tersebut, remaja mestilah melayari internet, membaca buku-buku, mendengar pengalaman ahli keluarga yang sempat merasai kesusahan zaman sebelum kemerdekaan dan sebagainya. Hal demikian dapat memberi contoh dan gambaran kepada remaja bahawa mereka perlu mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa tersebut.

       Pihak seterusnya yang berperanan dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja ialah ibu bapa. Ibu bapa berperanan penting dalam memupuk semangat patriotik dalam diri anak mereka. Banyak langkah yang perlu dipraktikkan oleh setiap ibu bapa bagi memupuk semangat patriotik ini.

       Antara langkah tersebut ialah, ibu bapa mestilah kerap menyelitkan unsur-unsur patriotik dalam setiap nasihat yang diberikan kepada anak-anak yakni para remaja. Sebagai contoh, apabila anak-anak membazirkan makanan, ibu bapa hendaklah menasihatinya dengan menceritakan tentang kehidupan masyarakat pada zaman dahulu yang susah dan seringkali tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Dengan ini, anak-anak dapat menginsafi dan menjadikan pengalaman menyedihkan masyarakat terdahulu sebagai contoh dalam meneruskan kehidupan.
       Dalam pada itu, pembelian bahan bacaan haruslah turut dilakukan oleh setiap ibu bapa. Bahan bacaan itu mestilah berunsurkan patriotisme dan mengandungi pelbagai maklumat dan informasi tentang sejarah-sejarah terdahulu serta peristiwa yang pernah berlaku dalam negara kita. Kekerapan membeli bahan bacaan berunsurkan patriotisme kepada anak-anak dapat menambahkan ilmu pengetahuan serta minat membaca dan secara tidak langsung dapat menerapkan nila-nilai patriotik dalam diri mereka.

       Pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan remaja. Selain ibu bapa, pihak sekolah adalah pihak yang paling dekat dengan remaja. Pihak sekolah wajib menerapkan serta menyemai semangat patriotik dalam diri remaja.

       Cara-cara yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah ialah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat sekolah pada setiap tahun. Dalam pada itu, pihak sekolah hendaklah menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang menarik bagi menarik minat para pelajar untuk menyertainya. Dengan adanya penyertaan para pelajar ini, mereka dapat menghayati setiap pertandingan yang diadakan. Semakin banyak pertandingan yang berunsurkan patriotisme, semakin banyak input dan maklumat yang dapat diperolehi oleh setiap pelajar.Hal ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan para pelajar  khususnya ilmu yang berunsurkan patriotisme.

       Seterusnya, inisiatif lain yang perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik ialah, memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sejarah di sekolah. Dengan ini, setiap pelajar dapat memahami dan mengenal pasti sejarah negara, pelajar-pelajar dapat memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah. Maklumat yang diperolehi secara tidak langsung dapat menginsafi para pelajar.

       Sebagai kesimpulan, semangat patriotik adalah sangat penting bagi setiap remaja. Banyak langkah dan cara serta inisiatif yang perlu dilakukan oleh remaja, ibu bapa dan pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik ini. Mereka semua memainkan peranan yang penting dalam menyemai serta menanam semangat agar mencintai tanah air. 

Tuesday 11 September 2012

Perbezaan Perkataan `banyak’ dan `ramai’


Banyak pengguna bahasa yang mengalami kekeliruan tentang penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai’ dalam ayat. Lihat penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai dalam ayat yang di bawah ini.



1. Ramai orang di stadium yang menonton perlawanan itu.

2. Banyak orang di stadium yang menonton perlawanan itu.



Persoalan yang hendak dikemukakan di sini ialah ayat manakah yang betul dan tepat. Oleh sebab kedua-dua perkataan ini kelihatan hampir sama, kedua-dua perkataan tersebut seakan-akan dapat bertukar ganti tanpa mengubah maksud. Namun demikian, kedua-dua perkataan itu membawa makna yang berbeza apabila menerima apitan ke-....-an. Perkataan yang terbentuk, iaitu keramaian dan kebanyakan sungguh berbeza makna dan penggunaannya dalam ayat. Sebagai contohnya, frasa `majlis keramaian’ tidak boleh digantikan dengan frasa `majlis kebanyakan’. Lihat ayat yang di bawah ini:



3(a). Penyanyi lagu asli itu sering diundang untuk membuat persembahan di majlis keramaian. [Betul]

3(b). Penyanyi lagu asli itu sering diundang untuk membuat persembahan di majlis kebanyakan. [Salah]



Dalam hal ini, frasa nama `majlis keramaian’ menunjukkan suasana sama ada rasmi atau tidak rasmi. Oleh itu, frasa nama `majlis kebanyakan' tidak tepat.

Frasa `orang kebanyakan’ pula tidak boleh bertukar ganti dengan frasa `orang keramaian’. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:



4(a). Putera raja negeri itu berkahwin dengan orang kebanyakan. [Betul]

4(b). Putera raja negeri itu berkahwin dengan orang keramaian. [Salah]



Selain itu, perkataan `kebanyakan’ dan `keramaian’ memperlihatkan perbezaan yang nyata seperti yang terdapat dalam ayat yang di bawah ini:



5(a). Kebanyakan murid sekolah ini berasal dari kawasan pedalaman. [ Betul]

5(b). Keramaian murid sekolah ini berasal dari kawasan pedalaman. [Salah]



Ayat (3) hingga (5) di atas membuktikan bahawa maksud dan pengunaan perkataa `ramai’ dengan `banyak’ berbeza. Sila lihat pantun dua kerat yang di bawah ini pula:



Banyak udang, banyak garam.

Banyak orang, banyak ragam.



Sila lihat pantun tersebut apabila menggunakan perkataan `ramai’:



Ramai udang, ramai garam.

Ramai orang, ramai ragam.



Hal ini juga menunjukkan bahawa perkataan `banyak’ dan `ramai’ berbeza maksud dan penggunaannya.



Hal ini membuktikan bahawa perkataan `ramai’ lebih sesuai digunakan untuk menggambarkan suasana. Jika suasana di stadium itu riuh rendah, perkataan atau frasa yang sesuai ialah `ramai orang’. Jika suasananya senyap sunyi (contohnya, semua orang di dalam stadium sedang bertafakur), perkataan atau frasa’ yang sesuai digunakan ialah `ramai orang’ juga.



Walaupun keadaannya sunyi, perkataan `ramai' juga digunakan. Penggunaan perkataan `banyak' memerlukan kita ingin mengetahui jumlahnya. Sebagai contohnya:



6. Banyak penyokong Kelantan yang akan menyaksikan perlawanan pada malam ini.

Namun demikian, Kamus Dewan Edisi Keempat pula tidak membezakan penggunaan perkataan `ramai’ dengan `banyak’. Semua pengguna bahasa perlulah memahami bahawa Kamus Dewan merakamkan apa-apa sahaja yang dituturkan oleh pengguna termasuk bahasa yang baku dengan bahasa yang tidak baku. Maksud yang baku bagi perkataan `banyak’ ialah jumlah yang merujuk bilangan yang melebihi satu atau seorang. Jumlahnya dapat diketahui jika dibilang atau dikira. Ayat contoh:



7. Banyak murid yang ponteng sekolah pada hari ini.

8. Saya telah menyemak banyak buku latihan murid pada hari ini.

9. Murid itu membeli pelbagai barang kerana banyak duit.

10.Guru bahasa Melayu itu bimbang kerana masih banyak murid di kelasnya yang lemah dalam penulisan karangan.

11. Kita mestilah banyak membaca buku atau majalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri.



Maksud yang baku bagi perkataan `ramai’ pula ialah jumlah yang melebihi seorang berdasarkan suasana. Jumlahnya pula tidak perlu diketahui. Ayat contoh:



12. Ramai penonton yang memenuihi stadium ketika Selangor menentang pasukan Kelantan pada malam tadi.

13. Pada pagi itu, ramai orang yang bersesak-sesak di stesen komuter itu untuk pergi ke tempat kerja.

14. Semasa perhimpunan itu, ramai orang yang bertempiaran lari apabila pihak polis menyemburkan gas pemedih mata.

15. Dalam kejohanan olahraga sekolah itu, ramai ibu bapa yang hadir untuk menyaksikan anak masing-masing mengambil bahagian.

16. Semasa pertunjukan akrobatik itu, ramai penonton yang hadir bersama-sama anak kecil mereka.



Sila teliti ayat yang di bawah ini:



17(a). Keramaian murid yang ponteng sekolah pada hari ini daripada kelas tingkatan 5.[Salah]

17(b). Kebanyakan murid yang ponteng sekolah pada hari ini daripada kelas tingkatan 5.[Betul]



18(a). Ramai kasut diletakkan di halaman rumah.[Salah]

18(b). Banyak kasut diletakkan di halaman rumah.[Betul]



Apakah perbezaan antara frasa `ramai orang' dengan `orang ramai'?

Frasa `ramai orang’ menunjukkan suasana, iaitu orang yang berada di sesuatu tempat kerana sesuatu aktiviti, program atau kejadian.



Ayat contoh:



19.Ramai orang yang menyaksikan kemalangan ngeri itu.

Frasa nama `orang ramai’ pula bermaksud masyarakat atau orang awam.



20. Perdana Menteri mempersilakan orang ramai untuk menghadiri majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Aidifitri.



Berkaitan dengan hal ini pula, banyak pelajar yang mengalami kekeliruan tentang ejaan perkataan `kebanyakan sama ada ditulis dengan satu `k’(kebanyakan) atau dua `k’ (kebanyakkan).



Oleh sebab perkataan `kebanyakan' kata nama, perkataan ini hendaklah ditulis dengan satu `k’. Bagi perkataan yang digolongkan sebagai kata kerja seperti `membanyakkan', dua `k’ diperlukan.



Persoalan lain yang timbul tentang isu ini ialah bolehkah kata bilangan tak tentu seperti banyak, sedikit, ramai, sebilangan, dan sebagainya digunakan untuk orang ramai?



Jika anda telah memahami penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai’, sila kenal pasti penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai’ yang tepat di bawah ini:



21. Banyak kasut yang hilang di masjid pada setiap hari Jumaat.

22. Ramai bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan sekolah kita.

23. Ramai orang yang menyaksikan pertunjukan itu.

24. Orang banyak dinasihati supaya menjimatkan penggunaan air.

25. Majlis keramaian itu diadakan bersempena dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Pelajaran.

26. Orang kebanyakan menjadi pilihan putera raja itu sebagai isteri.



Sila teliti ayat yang di bawah ini pula:

27. Tidak ramai orang yang hadir menyaksikan pertunjukan itu.(Berdasarkan majlis/aktiviti pada masa tersebut)

28. Tidak banyak orang yang akan hadir menyaksikan pertunjukan itu.(Berdasarkan senarai pengunjung)

29. Sedikit orang yang hadir menyaksikan pertunjukkan itu.(suasana)

30. Hanya sebilangan orang yang tidak makan makanan ini. (Bilangan yang kecil jumlahnya)



Sebagai kesimpulannya, perkataan `banyak’ dan `ramai’ memperlihatkan pelbagai penggunaan sama ada pembentukan frasa atau pengimbuhan seperti banyak orang, ramai orang, majlis keramaian dan juga keramaian dan kebanyakan. Perkataan `ramai' hanya digunakan untuk merujuk manusia dan menunjukkan suasana. Perkataan `banyak' pula digunakan untuk merujuk manusia dan bukan manusia dari segi bilangan atau jumlah.



(Sumber: Minda Berita Harian, 27 Mac 2012)
Perbezaan antara `boleh’ dengan `dapat’
 
Kata ‘boleh’ dan ‘dapat’ kedua-duanya tergolong sebagai kata bantu yang hadir sebelum frasa, yang bertugas membantu frasa kerja dan frasa sendi nama. Kata ‘boleh’ membawa unsur keizinan atau kebenaran dan tidak menyalahi peraturan. Manakala kata dapat membawa unsur upaya. Contoh penggunaan bagi kedua-dua kata tersebut adalah seperti yang berikut:

a. Kamu boleh menyertai rombongan itu kalau diizinkan ayah.
b. Permit yang diberi boleh ditarik balik.
c. Zainal begitu gembira dapat melakonkan watak Hang Tuah.
d. Saadiah masih belum dapat melelapkan matanya.

Kata ‘dapat’ sering disalahgunakan dengan ‘boleh’.
Contoh:
Puisi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis (salah).
Puisi dapat dibahagikan kepada beberapa jenis (betul).

Kadang-kadang kata ‘boleh’ itu sebenarnya bermaksud ‘mungkin’.
Contoh:
Perkara ini boleh berlaku apabila kita hilang tumpuan (salah).
Perkara ini mungkin berlaku apabila kita hilang tumpuan (betul).
 

Sumber:  http://cikguariff.blogspot.com/2008/09/perbezaan-antara-boleh-dengan-dapat.html

Puisi Selepas `Haji' (Majalah Jelita, Februari 2011)

Puisi

Selepas `Haji' 
( Buat Diri & Rakan )
   

Selepas Haji
murninya jiwa sanubari
sucinya hati nurani
ibadah dikerja seikhlas hati
bagaikan lahirnya anak kecil
belum dijamah noda


Selepas Haji
bulat tekad buah keimanan
berlilit takwa amalan
keberkatan dan kerahmatan
melimpahi laman


Selepas Haji
jauhi maksiat kemungkaran melingkari
hindari mazmumah bisa mencemari
moga terpelihara ibadah suci
Haji mabrur anugerah diidami.


IZANI   H . D .
Darul Naim.

Sunday 9 September 2012

Penggunaan Kata `pun'



Penggunaan 'pun' yang ditulis bergabung dengan perkataan sebelumnya merupakan golongan kata pangkal ayat, kata hubung, dan sebagainya. 

Terdapat sejumlah perkataan yang berbentuk demikian seperti 'adapun', 'ataupun', 'andaipun', 'bagaimanapun', 'biarpun', 'kendatipun', 'kalaupun', 'lagipun', 'mahupun', 'meskipun', 'sekalipun', 'sungguhpun', dan 'walaupun'.

Penggunaan 'pun' yang ditulis terpisah pula membawa maksud 'juga', 'bahkan', serta 'biar' dan membentuk perkataan yang tergolong dalam kata penegas, atau disebut partikel.  Perkataan-perkataan lain ialah 'sudah pun', 'apa pun', 'apa-apa pun', 'dia pun', 'mereka pun' dan sebagainya.

Perhatikan dua ayat berikut :

1)  Adapun istana raja itu terletak di puncak Bukit Seguntang.
2)  Kedua-dua adik-beradik kembar itu ada pun di majlis itu. 

'Pun' dalam ayat (1) merupakan kata pangkal ayat dan 'pun' dalam ayat (2) ditulis terpisah kerana bermaksud 'juga'.

Sumber : Murninya Bahasaku

Friday 17 August 2012

Masyarakat Membaca (Pelita Bahasa, Ogos 2012)

                     Masyarakat Membaca
                Aset yang Tidak Dapat dinilai dengan Harga

                                                             oleh
                                                                      Izani Hj Daud

Atan Long (1984), menyatakan bahawa 74 peratus daripada rakyat Malaysia sudah boleh membaca, tetapi hanya 0.028 peratus atau 28 daripada setiap 100,000 orang menjadi ahli mana-mana perpustakaan. 27 peratus daripada mereka tidak mempunyai sebarang buku di rumah, 30 peratus daripada mereka tidak memiliki majalah, 10 peratus tidak memiliki surat khabar dalam  tempoh enam bulan. Dilaporkan juga pada setiap tahun, purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat dalam masa setahun.

Data terkini yang dibuat oleh Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula mendapati kadar literasi rakyat Malaysia masih berada di belakang negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Jerman yang kadar literasi di negara-negara tersebut adalah amat tinggi sehingga 99 peratus. Kenyataan ini menjelaskan betapa masyarakat Malaysia tidak berminat untuk membaca.

    Mengapakah pentingnya membaca? Bagi para pelajar membaca penting untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bagi orang dewasa atau orang awam juga penting kerana daripada membaca pelbagai maklumat, pengalaman akan diperoleh. Manakala bagi negara, memiliki rakyat yang suka membaca adalah suatu aset yang tidak dapat dinilai dengan harga.

    Amalam membaca dalam kalangan masyarakat akan menentukan maju atau mundurnya sesebuah negara. Negara yang maju dan bertamadun tinggi adalah negara yang didiami oleh anggota masyarakat yang berpengetahuan dan sentiasa meneroka pelbagai ilmu. Dengan ilmu, manusia akan menemui sesuatu yang baru dinamakan sebagai pembaharuan atau kemajuan. Sebaliknya, bangsa yang tidak membaca atau tidak meneroka ilmu akan menjadi terkebelakang dan mundur.

    Dengan kata lain, kurangnya minat membaca dalam kalangan anggota masyarakat menjadi faktor penghalang sesebuah negara untuk mencapai kemajuan atau pembangunan. Negara-negara yang maju seperti Amerika, Britain, dan Jepun memiliki rakyat yang rajin membaca. Ke mana sahaja mereka pergi, bahan bacaan sentiasa dibawa bersama, dan apabila mempunyai ruang masa, mereka akan membaca. Mereka sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Inilah yang dikatakan ciri-ciri bangsa yang maju.

    Apa yang mendukacitakan di negara kita pula dewasa ini didapati generasi muda, terutamanya golongan pelajar yang masih di bangku sekolah juga liat untuk membaca. Jika mereka membaca pun hanyalah sekadar untuk lulus dalam peperiksaan. Pelajar-pelajar juga lebih suka membaca topik-topik penting yang terdapat dalam sukatan peperiksaan. Tidak ramai pelajar yang membuat rujukan lebih lanjut untuk mendalami sesuatu topik. Mereka lebih selesa membaca buku teks atau nota-nota dan ‘handout’ yang diberikan oleh guru. Sindrom ini menyebabkan pelajar tidak mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan yang diduduki.

    Sikap tidak suka membaca ini sangat merugikan, baik kepada individu mahupun negara, kerana tentunya sikap seperti ini tidak dapt melahirkan golongan cendekiawan negara. Pelajar-pelajar aliran sastera misalnya, sangat memerlukan bacaan yang luas, bukan setakat membaca buku teks kerana dengan banyak membaca  buku-buku tambahan (rujukan lain) akan menambahkan lagi fakta untuk dianalisis bagi membolehkan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

    Sebagai contoh, tinjauan yang dibuat terhadap pelajar tingkatan lima yang mengambil mata pelajaran Sastera, menunjukkan tidak sampai separuh daripada pelajar yang membaca habis kesemua teks karya sastera yang akan diuji dalam peperiksaan SPM. Jadi, jika teks tidak dibaca, maka sudah tentulah pelajar-pelajar tidak mempunyai fakta untuk dikemukan dalam peperiksaan. Apatah lagi untuk mendapat markah yang baik, kerana dalam menjawab soalan peperiksaan seperti mata pelajaran Sastera bukan  saja fakta (cerita) yang perlu diketahui, tetapi juga jawapan yang diberikan hendaklah matang dan menunjukkan pemahaman yang tinggi terhadap sesuatu persoalan yang dikemukakan.

    Selain  itu, jawapan juga hendaklah kritis, iaitu dapat memberi komentar dan ulasan yang mendalam, agar jawapan yang dipaparkan dapat menunjukkan keupayaan intelektual yang tinggi. Justeru, untuk mencapai kecemerlangan, maka sudah tentulah para pelajar memerlukan pembacaan yang luas, iaitu bukan sahaja membaca teks sastera itu sahaja tetapi dengan membaca bahan-bahan rujukan lain yang berkaitan bagi mendapat fakta yang lebih banyak. Pelajar-pelajar seharusnya menyedari tidak ada jalan pintas  untuk berjaya melainkan dengan bertungkus-lumus menelaah pelajaran.

    Sebenarnya minat membaca hendaklah dipupuk semenjak anak masih kecil lagi atau pun sebelum mereka masuk alam persekolahan. Ini bermakna, menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa untuk menyemai tabiat membaca.

    Ibu bapa hendaklah memberi galakan, dengan membeli buku-buku kepada anak-anak. Malah, anak-anak yang baru setahun jagung iaitu dalam lingkungan usia satu hingga dua tahun pun boleh diperkenalkan dengan buku-buku. Walaupun mereka masih lagi mentah, tetapi dengan cara ini konsep membaca dapat ditanam lebih awal lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebung, supaya apabila mereka meningkat usia dan memasuki alam persekolahan nanti, tabiat membaca sudah pun menyubur dalam diri anak-anak.

    Sekiranya semua ibu bapa dapat mengambil inisiatif dan menjadi suri teladan untuk turut sama membudayakan amalan membaca, maka negara akan dapat melahirkan generasi yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

    Kerajaan boleh memainkan peranan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan minat dalam kalangan masyarakat, salah satunya dengan cara  membangunkan perpustakaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi. Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu diperbanyak supaya bahan bacaan dapat sampai ke seluruh ceruk rantau.

    Program membaca buku secara besar-besaran juga hendaklah dijalankan supaya rakyat mengamalkan budaya membaca. Malaysia boleh mengambil contoh negara Britain, yang pada tahun 2004 telah mengadakan program Bigread, iaitu suatu program untuk mencari 100 buah buku paling popular di United Kingdom. Untuk tujuan itu televisyen United Kingdom menyiarkan program mengulas 100 buah buku pada setiap minggu dan orang ramai akan mengundi buku-buku kegemaran mereka menerusi internet, manakala toko-toko buku pula akan menjual buku yang tersenarai itu dengan melabelkannya pada rak-rak khas yang tercetak Bigread pada muka depannya. Adalah diyakini cara yang telah dibuat di United Kingdom boleh dilakasanakan di negara ini dan akan mendapat sokongan dan sambutan daripada semua lapisan masyarakat.

   

Selain kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian juga boleh membangunkan perpustakaan. Di Amerika Syarikat, lending library atau circulating library  dibangunkan dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar. Usaha yang di pelopori oleh William Rind sejak tahun 1762 ini telah mendatangkan impak yang amat besar terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan rakyat Amerika selepas itu.


Isu berkaitan dengan sindrom kurang minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia sudah lama diperkatakan, justeru masyarakat hendaklah mengubah sikap bermula dari sekarang. Seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, When I have money, I buy books. If any is left, I buy food, maknanya, Erasmus mengutamakan buku sedangkan kepentingan makanan dikemudiankan. Hal ini menunjukkan Eramus dan majoriti masyarkat maju yang lain menjadikan membaca sebagai keutamaan sebagai santapan minda.

Sudah sampai masanya masyarakat Malaysia mengorak langkah, jaga daripada mimpi yang memanjang untuk turut serta bersama-sama bangsa lain membudayakan diri dengan  mencintai ilmu melalui budaya membaca. Kalaulah selama ini kita sanggup memperuntukkan wang untuk membeli pelbagai keperluan diri, mengapa tidaknya sebahagian kecil wang yang ada disediakan untuk membeli buku baik untuk diri mahu pun keluarga, supaya dengan cara ini akan menjadi tapak mula melahirkan modal insan minda kelas pertama, seterusnya memacu negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020.