Friday 27 January 2012

 Isu Semasa Membantu Pelajar Menulis
Karangan Jenis Perbincangan

Oleh
Izani Hj. Daud

Karangan jenis perbincangan merupakan salah satu jenis karangan yang kerap ditanya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Karangan jenis ini boleh membawa markah yang baik jika calon dapat memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.


    Antara ciri karangan jenis perbincangan termasuklah:
•    Isi yang logik.
•    Fakta yang tepat.
•    Hujahan yang matang.
•    Fakta yang berkaitan antara satu sama lain.
•    Setiap perenggan mempunyai satu fakta dengan huraian dan contoh yang 
     sesuai.
•    Bahasa yang mudah.
•    Kesimpulan berdasarkan hujah yang dikemukakan.


Soalan karangan jenis ini biasanya mempunyai hubung kait dengan isu semasa atau topik hangat yang diperkatakan dalam media massa. Oleh itu, dalam penulisan karangan jenis perbincangan, isu yang dikemukakan mestilah logik atau munasabah yang disokong oleh bukti atau contoh yang sesuai. Untuk mendapatkan fakta, pelajar hendaklah sentiasa membaca akhbar atau majalah. Selain mencatat fakta penting daripada media massa, pelajar boleh juga mencatat perangkaan atau statistik yang terdapat dalam isu yang diperkatakan.


        Contohnya, untuk membincangkan isu berkaitan dengan kerosakan akhlak dalam kalangan remaja masa kini, pelajar perlu membuat catatan perangkaan atau statistik tentang jumlah yang terlibat dengan salah laku pelajar, seperti ponteng sekolah, lari dari rumah, lumba haram, kes-kes jenayah, dan lain-lain. Perangkaan tentang keterlibatan remaja dalam gejala sosial ini dapat menyokong huraian dan isi penting dalam sesebuah karangan jenis perbincangan.

Isi pokok / fakta utama



Isi sampingan / huraian lanjut

Contoh / bukti / statistik
yang boleh menyokong


       Perbincangan hendaklah meluas dan lebih terperinci . Fakta yang dikemukakan bukan setakat pernyataan umum, tetapi hendaklah dibincangkan secara mendalam, di samping memberikan cadangan untuk mengatasinya.





        Misalnya, ketika menulis perihal gejala sosial dalam kalangan remaja, pelajar tidak seharusnya hanya mengemukakan punca keruntuhan akhlak sahaja. Pelajar perlu juga memberikan syor tentang cara-cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini.


       Oleh kerana soalan karangan jenis perbincangan ini popular, pelajar perlu  bersedia lebih awal. Satu cara paraktikal yang dapat dilakukan adalah dengan membuat keratan akhbar. Misalnya, mengumpul rencana pengarang akhbar setiap hari.


Keratan akhbar
                       

Tampal di dalam buku khas


Pelajar membentang isu / fakta di depan kelas


Perbincangan terbuka (komen / pandangan)


Mengumpul semua fakta hasil perbincangan




Menulis karangan

        Untuk mengurangkan beban pelajar, aktiviti ini dapat dilakukan secara kumpulan. Guru mengambil inisiatif mewajibkan setiap pelajar membuat keratan rencana pengarang akhbar secara bergilir-gilir. Keratan tersebut hendaklah ditampalkan di dalam buku khas untuk memudahkan rujukan. Kemudian pelajar diminta untuk tampil ke hadapan bagi menerangkan isu atau fakta berdasarkan keratan akhbar yang diperoleh. Setelah itu, guru membuka peluang kepada pelajar untuk memberikan komen atau pandangan berdasarkan isu tersebut. Sambil itu, pelajar lain membuat catatan daripada idea yang disampaikan.




        Kaedah ini dapat merangsang minat pelajar dan menjimatkan masa kerana dengan adanya kerjasama membolehkan fakta yang diperoleh dikongsi bersama-sama. Guru-guru dapat membina soalan karangan berdasarkan isu yang terdapat  dalam keratan akhbar tersebut untuk mengalakkan perbincangan di dalam kelas atau sebagai latihan bertulis.


        Tegasnya, karangan jenis perbincangan dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Di samping itu juga, karangan jenis ini akan mendorong pelajar untuk berfikir dan memberikan pandangan yang logik dan kritis. Selain itu, pelajar akan menjadi prihatin terhadap isu semasa yang akan mempercepat tahap kematangan pelajar.

Wednesday 18 January 2012

Kaedah STRONIM : Cara Mudah Menulis Ringkasan Karangan PMR


Kaedah STRONIM
Cara Mudah Menulis Ringkasan Karangan PMR
Oleh
Izani Hj Daud

Ringkasan karangan adalah soalan yang dikemukakan di bahagian A(i)  Bahasa Melayu kertas 2 PMR. Bahagian ini diperuntukkan sebanyak 20 markah. Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 24 minit untuk menyiapkannya dengan jumlah perkataan yang dihadkan kepada 80 patah perkataan. Isi yang diperlukan sekurang-kurangnya 5.
            Dalam membuat ringkasan karangan, calon-calon dikehendaki menggunakan isi atau fakta yang tersedia dalam petikan tetapi calon-calon mesti menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah fakta asal yang terdapat dalam petikan. Menyalin bulat-bulat daripada petikan akan menyebabkan calon tidak lulus dalam bahagian ini. Hal ini berlaku disebabkan dalam suasana peperiksaan para calon tertekan yang menyebabkan mereka menulis  dengan cara menyalin terus daripada petikan asal.
            Makalah ini cuba memberi sedikit panduan kepada pelajar dan calon PMR untuk menulis ringkasan karangan dengan menggunakan kaedah STRONIM.
            Sebagaimana yang pelajar-pelajar sedia mengetahui, penulisan ringkasan karangan tidak boleh dilakukan dengan cara meniru atau menyalin bulat-bulat fakta daripada petikan asal. Pengalaman di bilik darjah menemui dua cara untuk menulis ringkasan karangan dengan menggunakan ayat sendiri. Pertama dengan mengubah struktur ayat dan kedua, penggunaan perkataan bersinonim, iaitu menggantikan perkataan yang sama erti dengan perkataan yang terdapat dalam petikan.
            Contohnya, jika  petikan yang diberikan berkaitan dengan isu jerebu yang menghendaki calon menulis ringkasan berkaitan dengan langkah-langkah menangani masalah jerebu. Apa yang perlu dilakukan oleh calon ialah menyenaraikan lima isi berkaitan yang terkandung dalam petikan. Katakan isi-isi yang diperoleh daripada petikan seperti berikut;
Langkah-langkah menangani masalah jerebu (isi-isi yang disalin daripada petikan)
1)    Jabatan Alam Sekitar perlu melakukan pemantauan secara berterusan.
2)    Sikap mausia hanya akan mematuhi sesuatu tindakan apabila denda dikenakan ke atas mereka.
3)    Pihak media massa seperti akhbar dan televisyen boleh menjalankan kempen mencegah kebakaran terbuka.
4)    Orang ramai boleh melaporkan sesuatu aktiviti pembakaran secara terbuka dengan segera.
5)    Kerjasama semua pihak akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik.


Mengubah struktur ayat    
1)    Jabatan Alam Sekitar perlu melakukan pemantauan secara berterusan.
Pemantauan secara berterusan oleh Jabatan Alam Sekitar perlu dilakukan.

2)    Sikap manusia hanya akan mematuhi sesuatu tindakan apabila denda dikenakan ke atas mereka.
Denda yang dikenakan boleh mengubah sikap manusia untuk mematuhi sesuatu tindakan.

3)    Pihak media massa seperti akhbar dan televisyen boleh menjalankan kempen mencegah kebakaran terbuka.
Kempen mencegah kebakaran boleh dijalankan oleh pihak media massa.

4)    Orang ramai boleh melaporkan sesuatu aktiviti pembakaran secara terbuka dengan segera.
Laporan segera oleh orang ramai tentang aktiviti pembakaran secara terbuka boleh membantu.

5)    Kerjasama semua pihak akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik.
Masalah ini dapat diselesaikan dengan baik jika mendapat kerjasama semua pihak.

Dengan cara mengubah struktur ayat telah menghasilkan ayat baru yakni yang berlainan daripada ayat yang dipetik daripada petikan. Pelajar mesti bijaksana dalam menyusun struktur ayat supaya tidak menampakkan peniruan bulat-bulat daripada ayat yang asal.

Penggunaan perkataan bersinonim    
1)    Jabatan Alam Sekitar perlu melakukan pemantauan secara berterusan.
Pihak berwajib hendaklah menjalankan pemeriksaan sepanjang masa.

2)    Sikap manusia hanya akan mematuhi sesuatu tindakan apabila denda dikenakan ke atas mereka.
Tabiat manusia hanya akan akur terhadap sesuatu tindakan apabila denda dikenakan ke atas mereka.

3)    Pihak media massa seperti akhbar dan televisyen boleh menjalankan kempen mencegah kebakaran terbuka.
Pihak media cetak dan elektronik boleh melaksnakan kempen mencegah kebakaran.

4)    Orang ramai boleh melaporkan sesuatu aktiviti pembakaran secara terbuka dengan segera.
Anggota masyarakat boleh membuat aduan sesuatu kegiatan pembakaran secara terbuka dengan segera.


5)    Kerjasama semua pihak akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik.
Kesepakatan semua pihak akan dapat merungkaikan masalah ini dengan baik.

Penggunaan perkataan yang sinonim untuk menggantikan perkataan yang terdapat dalam petikan  digunakan untuk ringkasan karangan bagi menggelakkan penyalinan bulat-bulat ayat yang terdapat dalam petikan.  Cara kedua ini lebih mencabar bagi mereka yang `miskin’ kosa kata. Walau bagaimanapun jika latihan berterusan dibuat kaedah ini lebih menyeronokkan kerana dapat menambahkan perbendaharaan kata para pelajar.

Kedua-dua kaedah yang digunakan ini bukan sahaja memudahkan pelajar menulis ringkasan karangan, tetapi dalam masa yang sama dapat member kemahiran kepada pelajar untuk membina ayat dan menambahkan kosa kata. Diperhatikan juga kaedah ini dapat menarik perhatian pelajar kerana aktiviti ini seolah-olah seperti permainan bahasa yang menyeronokkan.

Thursday 12 January 2012

Jiwa yang Tenteram


Jiwa yang Tenteram

JIWA yang sihat dan tenteram memiliki beberapa tanda, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah di dalam kitab ‘Ighatsatul Lahfan min Mashayid asy-Syaithan’. Antara tanda-tanda tersebut adalah mampu memilih segala sesuatu yang bermanfaat dan memberikan ketenteraman kepada jiwanya. Dia tidak memilih perkara-perkara yang berbahaya atau  yang menjadikan jiwanya sakit atau menderita. Tanda jiwa yang sakit adalah sebaliknya.

Santapan jiwa yang paling bermanfaat adalah keimanan dan ubat yang paling mujarab adalah al-Quran. Selain itu, jiwa yang sihat memiliki sifat sebagaimana berikut :
  • Matlamatnya Akhirat
Jiwa yang sihat bergerak dari dunia menuju ke akhirat dan seakan-akan telah sampai di sana. Sehingga dia berasa seperti telah menjadi penghuni akhirat dan putera-puteri akhirat. Dia datang dan berada di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing, yang mengambil sekadar keperluannya, untuk segera kembali ke negeri asalnya. Nabi  s.a.w bersabda,
Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau (musafir) yang melalui suatu jalan.” (HR. al-Bukhari)
Apabila jiwa seseorang itu sihat, dia akan mengembara menuju akhirat dan menghampirinya, sehingga seakan-akan dia telah menjadi penghuninya. Sedangkan bila jiwa tersebut sakit, maka dia akan terlena dengan dunia dan menganggapnya sebagai negerinya yang kekal, sehingga jadilah dia hamba kepadanya.
  • Keinginan Menuju Allah s.w.t.
Antara tanda tenteramnya jiwa ialah selalu mendorong seseorang  untuk kembali kepada Allah s.w.t. dan tunduk kepada-Nya. Dia bergantung hanya kepada Allah, mencintai-Nya sebagaimana seseorang mencintai kekasihnya. Tidak ada kehidupan, kebahagiaan, kenikmatan, kesenangan kecuali hanya dengan reda Allah, berasa dekat dan rasa jinak terhadap-Nya. Berasa tenang dan tenteram dengan Allah, berlindung kepada-Nya, bahagia bersama-Nya, bertawakkal hanya kepada-Nya, yakin, berharap dan takut hanya kepada Allah.
Maka jiwa tersebut akan selalu mengajak dan mendorong pemiliknya untuk mecari  ketenangan dan ketenteraman bersama Ilah sembahannya. Tatkala itulah roh benar-benar berasa kehidupan dan kenikmatan dan menjadikan hidupnya lain daripada yang lain, bukan kehidupan yang penuh dengan kelalaian dan berpaling dari tujuan penciptaan manusia. Untuk tujuan menghamba kepada Allah s.w.t  inilah syurga dan neraka diciptakan, para rasul diutus dan kitab-kitab diturunkan.
Abul Husain al-Warraq berkata, “Hidupnya jiwa adalah dengan mengingat Zat Yang Maha Hidup dan Tidak Pernah Mati, dan kehidupan yang nikmat adalah kehidupan bersama Allah, bukan selain-Nya.”
Oleh kerana itu terputusnya hubungan seseorang dengan Allah s.w.t. adalah lebih dahsyat kepada  orang-orang arif yang mengenal Allah daripada kematian, kerana terputus dari Allah adalah terputus dari al-Haq, sedang kematian adalah terputus dari sesama manusia.
  • Tidak Bosan Berzikir
Antara tanda sihatnya jiwa adalah tidak pernah bosan untuk berzikir mengingat Allah s.w.t. Tidak pernah berasa jemu untuk mengabdi kepada-Nya, tidak terlena dan asyik dengan selain dari Nya, kecuali kepada orang yang menunjukkan  jalan kepada Nya, orang yang mengingatkan dia kepada Allah s.w.t.  atau saling mengingatkan dalam kerangka berzikir kepada-Nya.
  • Menyesal jika Tertinggal dari Berzikir
Jiwa yang sihat akan rasa menyesal, berasa sedih dan sakit melebihi sedihnya seorang bakhil yang kehilangan hartanya jika tertinggal atau terlupa berzikir.
  • Rindu Untuk Beribadah
Jiwa yang sihat selalu rindu untuk menghamba dan mengabdi kepada Allah  s.w.t. , sebagaimana rindunya seorang yang lapar terhadap makanan dan minuman.
  • Khusyu’ Dalam Solat
Jiwa yang sihat akan meninggalkan segala keinginan dan sesuatu yang bersifat keduniaan ketika sedang menunaikan solat. Sangat berhati-hati dalam masalah solat dan bersegera melakukannya, serta memperolehi ketenangan dan kenikmatan  dalam solat tersebut. Baginya solat merupakan kebahagiaan dan penyejuk hati dan jiwa.
  • Keinginannya Hanya kepada Allah
Jiwa yang sihat, keinginannya hanya satu,  iaitu kepada segala sesuatu yang diredhai Allah s.w.t..
  • Menjaga Waktu
Antara tanda sihatnya jiwa adalah berasa sayang jika waktunya hilang dengan sia-sia, melebihi sayang seorang yang kikir terhadap hartanya.
  • Muhasabah dan Memperbaiki Diri
Jiwa yang sihat senantiasa memberi perhatian untuk terus memperbaiki amal, melebihi perhatian terhadap amal itu sendiri. Dia terus bersemangat untuk meningkatkan keikhlasan dalam beramal, mengharap nasihat, mutaba’ah dan ihsan (seakan-akan melihat Allah s.w.t. dalam beribadah, atau selalu merasa dilihat Allah). Di samping itu dia selalu memperhatikan pemberian dan nikmat dari Allah s.w.t. serta kekurangan dirinya  dalam memenuhi hak-hak-Nya.
Demikian  antara beberapa tanda yang menunjukkan sihatnya jiwa seseorang.
Dapat disimpulkan bahwa jiwa yang sihat dan tenteram adalah qalbu yang himmah (keinginannya) kepada sesuatu yang menuju Allah s.w.t. , mencintai-Nya dengan sepenuhnya, menjadikan-Nya sebagai matlamat. Jiwa raganya untuk Allah, amalan, tidur, bangun dan bicaranya hanyalah untuk-Nya. Dan ucapan tentang segala yang diredai Allah lebih dia sukai daripada segala pembicaraan yang lain, fikirannya selalu tertuju kepada apa sahaja yang diredhai dan dicintai-Nya.
Berkhalwah (menyendiri) untuk mengingat Allah s.w.t lebih dia sukai daripada bergaul dengan orang, kecuali dalam pergaulan yang dicintai dan diredai-Nya. Kebahagiaan dan ketenangannya adalah bersama Allah, dan ketika dia mendapati dirinya berpaling kepada selain Allah, maka dia segera mengingat firman-Nya,
Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.¨ (QS. 89:27-28)
Dia selalu mengulang-ulang ayat tersebut, dengan harapan dia akan mendengarnya nanti pada hari Kiamat dari Rabbnya. Maka akhirnya jiwa tersebut di hadapan Ilah dan Sesembahannya yang Haq akan terwarna dengan sibghah (celupan) sifat kehambaan. Sehingga jadilah dia  abdi sejati sebagai di segi sifat dan karakternya, ibadah adalah nikmat bukannya  beban yang memberatkan. Dia melakukan ibadah dengan rasa gembira, cinta dan rasa dekat kepada Rabbnya.
Ketika diajukan kepadanya perintah atau larangan dari Rabbnya, maka hatinya berkata, “Aku sambut  panggilan-Mu, aku penuhi dengan suka cita, sesungguhnya aku mendengar, taat dan akan melaksanakannya. Engkau berhak dan layak mendapat  semua itu, dan segala puji kembali hanya kepada-Mu.
Apabila ada takdir menimpanya maka dia mengatakan, ” Ya Allah, aku adalah hamba-Mu, miskin dan memerlukan-Mu, aku hamba-Mu yang fakir, lemah tidak berdaya. Engkau adalah Rabbku yang Maha Mulia dan Maha Penyayang. Aku tidak  mampu untuk bersabar  jika Engkau tidak menolongku untuk bersabar, tidak ada kekuatan bagiku jika Engkau tidak membantuku  dan memberiku kekuatan. Tidak ada tempat bersandar bagiku kecuali hanya kepada-Mu, tidak ada yang dapat memberikan pertolongan kepadaku kecuali hanya Engkau. Tidak ada tempat berpaling bagiku dari pintu-Mu, dan tidak ada tempat untuk lari dari-Mu.
Dia mempersembahkan segalanya hanya untuk Allah s.w.t, dan dia hanya bersandar kepada-Nya. Apabila ditimpa sesuatu yang tidak disukai maka dia berkata, “Rahmat telah dihadiahkan untukku, ubat yang sangat bermanfaat dari Zat Pemberi Kesembuhan yang mengasihiku.” Jika dia kehilangan sesuatu yang dia sukai, maka dia berkata, “Telah disingkirkan keburukan dari sisiku.
Semoga Allah s.w.t memperbaiki jiwa kita semua, dan menjaganya dari penyakit-penyakit yang merosak dan membinasakan, Amin.
Sumber Asal : Mawaridul Aman al Muntaqa min Ighatsatil Lahfan fi Mashayid asy-Syaithan, penyusun Syaikh Ali bin Hasan bin Ali al-Halabi.

Tuesday 10 January 2012

Dewan Siswa, Januari 2012


Yakin Diri Membawa Jaya
Oleh:Izani Hj Daud
                                                                                                                  
Tidak semua orang mempunyai keyakinan dalam diri  sendiri, yakni tidak percaya kebolehan yang ada pada diri sendiri. Keadaan inilah yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk berjaya dalam hidup atau dalam sesuatu perkara yang diceburinya.

          Terdapat banyak faktor yang menyumbangkan kejayaan seseorang seperti faktor usaha, kebolehan, sokongan, kewangan dan sebagainya. Tetapi yang menjadi tonggak kepada kejayaan adalah keyakinan yang ada pada diri seseorang itu.

          Apakah yang dimaksudkan dengan keyakinan ? Secara lebih khusus, keyakinan bermaksud betul-betul percaya akan sesuatu. Contohnya, seorang yang berhasrat untuk menjadi jutawan. Jika seorang itu yakin pada dirinya, maka beliau benar-benar percaya suatu masa nanti dia akan mendapat apa yang dicitakannya. Adakah dengan mempunyai keyakinan atau kepercayaan penuh untuk memiliki sesuatu perkara itu sudah cukup untuk menjamin bahawa seorang itu akan berjaya ?

          Sebenarnya seorang yang berkeyakinan adalah memiliki amalan atau ciri-ciri tertentu dalam dirinya seperti bercita-cita tinggi, berazam, tidak mudah putus asa, sentiasa mengejar peluang, bertindak cepat dan kreatif.

          Bercita-cita tinggi merupakan ciri yang paling utama yang seharusnya ada pada seorang yang berkeyakinan. Hal ini kerana cita-cita yang menggunung tinggi itu akan menyebabkan keinginan dan hasratnya sentiasa berkobar-kobar untuk mendapatkan apa yang dicitakannya. Selagi apa yang dikehendakinya tidak tercapai maka selagi itulah dia akan berusaha. Mempunyai cita-cita adalah penting dalam kehidupan seseorang. Misalnya, seorang pelajar seharusnya mempunyai cita-cita yang jelas apabila tamat pengajian nanti. Dengan adanya cita-cita membolehkan seseorang individu itu merancang masa depannya.

          Cita-cita mempunyai pengaruh yang besar pada diri seorang pelajar tidak kira sama ada pelajar itu seorang yang cerdas atau seorang yang lemah. Bagi seorang pelajar yang lemah sekalipun jika dia mempunyai cita-cita dia boleh berjaya. Hal ini disebabkan walaupun dia seorang yang lemah tetapi dengan sikap yakin diri, sekali gagal tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus belajar dan menduduki peperiksaan. Buktinya jelas, ramai pelajar yang lemah semasa di bangku sekolah berjaya dalam pelajaran mereka kerana berkat cita-cita yang tidak pernah padam dalam dirinya sehingga dia terus berusaha mencapai kejayaan.

          Keazaman yang tinggi juga merupakan ciri seorang yang yakin pada diri. Keazaman yang tinggi atau yang sangat kuat akan menjadi penggerak bagi seseorang itu untuk melakukan sesuatu pekarjaan. Unsur-unsur keazaman akan dapat dilihat melalui kesungguhan seseorang itu bekerja dan percakapannya sentiasa bersemangat. Walaupun ada pendapat mengatakan keazaman tidak boleh diukur menerusi percakapan tetapi bagi seorang yang bermaruah atau yang mempunyai harga diri, dia akan mengotakan apa yang dikatakannya.  
          Seorang yang berkeyakinan juga tidak pernah kecewa atau putus asa. Perasaan kecewa tidak pernah ada dalam kamus kehidupan orang yang yakin akan dirinya. Misalnya, kita biasa mendengar orang yang berjaya dalam bidang perniagaan sehingga menjadi jutawan. Adakah semudah itu mereka berjaya ke puncak kegemilangan yang diidamkan semua ? Sebenarnya mereka ini mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran sebelum berjaya. Mereka pernah jatuh dan bangun sebelum berjaya. Ramai yang kecundang apabila mengalami kerugian, tetapi bagi mereka yang berkeyakinan tidak akan mudah kecewa, malah mereka akan bangun semula dan mengambil pengalaman dan iktibar daripada apa yang telah berlaku ke atas dirinya untuk dijadikan panduan pada masa hadapan. Hal ini menunjukkan bahawa seorang yang mempunyai keyakinan akan selamanya tidak putus asa.

           Selain itu seorang yang berkeyakinan sentiasa mencari peluang untuk mencuba. Mereka berani menceburkan diri mereka dalam sesuatu perkara yang baru. Contohnya, dalam bidang perniagaan seperti memasarkan produk baru, sudah tentu banyak cabaran yang akan dihadapi. Tetapi jika usahanya itu berjaya maka dia akan mendapat pulangan yang besar. Jadi keyakinan yang ada membolehkan seseorang itu merebut peluang keemasan dengan mudah.

          Amalan lain bagi orang yang mempunyai keyakinan diri ialah bertindak segera dalam sesuatu pekerjaaan atau urusan yang dilakukannya. Keyakinan yang ada pada dirinya menyebabkan dia tidak ragu-ragu dan tidak syak untuk bertindak atau membuat sesuatu keputusan. Dia percaya apa yang dilakukannya itu betul dan akan mendatangkan hasil yang baik. Bagi mereka yang tidak mempunyai keyakinan tentunya tidak akan cepat bertindak, teragak-agak dan lebih mengambil sikap tunggu dan lihat. Akhirnya pekerjaan yang hendak dilakukannya terbengkalai.

          Akhir sekali orang yang berkeyakinan diri adalah seorang yang kreatif. Kekreatifan yang ada pada dirinya menyebabkan dia sentiasa mempunyai pilihan atau alternatif dalam hidupnya. Umpamanya dalam melakukan sesuatu dia mempunyai banyak alternatif atau pilihan dalam usaha menuju ke destinasi jayanya. Dengan perkataan lain dia akan mencari atau menggunakan pelbagai cara dan pendekatan untuk mencapai hasratnya.

          Tegasnya, orang yang berkeyakinan diri mempunyai amalan atau ciri-ciri positif dalam dirinya. Kesepaduan komponen ciri-ciri positif inilah menyebabkan ia menjadi seorang yang yakin akan dirinya seterusnya berjaya dalam hidup.       

(Dewan Siswa, Januari 2012)

Wednesday 4 January 2012

Sistem Bahasa (Pelita Bahasa, Mei 2011)

Sistem Bahasa

 Oleh
Izani Hj Daud


Dalam peperiksaan Bahasa Melayu PMR terdapat dua kertas yang perlu dijawab oleh calon. Kertas 1 merupakan bentuk penulisan merangkumi ringkasan karangan, pemahaman, karangan berdasarkan bahan rangsangan, karangan respons terbuka dan KOMSAS (novel). Manakala kertas  2 pula adalah soalan objektif anika pilihan.

            Bahagian kertas 2 telah banyak dibincangkan. Oleh itu dalam penulisan ini akan dibicarakan bahagian kertas 1 yang banyak memfokuskan kepada aspek tatabahasa. Daripada 40 soalan anika pilihan yang disoal dalam kertas 1, pencerakinkan adalah seperti berikut;

  Soalan 1-7   :    Pemilihan dan penggunaan kata yang tepat  (isi tempat kosong)   
  Soalan 8-14   :  Kesalahan umum tatabahasa (menanda kesalahan)                    
  Soalan 15-17 :  Kata banyak makna (kata berhuruf condong)
  Soalan 18-17 :  Kesalahan umum tatabahasa (ayat bergaris)
  Soalan 22-24 :  Menentukan maksud ayat (ayat dicetak tebal)
  Soalan 25-27 :  Kesalahan umum tatabahasa (memilih ayat betul)
  Soalan 28-30 :  Peribahasa
  Soalan 31-35 :  Petikan cerpen/drama/prosa tradisional
  Soalan 36-40 :  Petikan sajak/pantun/syair

            Berdasarkan pencerakinan kandungan soalan Bahasa Melayu di atas, adalah jelas 27 soalan daripada 40 merupakan soalan berkaitan dengan sistem bahasa yang terdapat dalam tatabahasa Melayu dan yang selebihnya adalah soalan KOMSAS dan peribahasa.

            Untuk membolehkan seorang calon itu menjawab soalan berkaitan dengan sistem bahasa, maka calon hendaklah sekurang-kurangnya menguasai empat golongan kata iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja dan kata tugas. Hal ini disebabkan kesemua 27 soalan yang ditanya berkaitan dengan sistem bahasa ada kaitan dengan kefahaman empat golongan kata tersebut. Oleh itu kefahaman atau penguasaan calon dalam keempat-empat golongan kata di atas dapat membantu calon menjawab soalan.

            Seterusnya, ikuti contoh soalan yang yang dipetik daripada setiap soalan.

Soalan berkaitan pemilihan dan penggunaan kata (mengisi tempat kosong)

Soalan contoh:
Fatin tidak dapat menumpukan perhatiannya terhadap
pelajaran kerana dia benar-benar bimbang __________ kesihatan ibunya.
A oleh                                     C  pada
B akan                                    D  dengan

Jawapan yang betul ialah akan.
Untuk menjawab soalan ini pelajar perlu memahami tentang fungsi kata sendi nama akan. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Dalam ayat di atas perkataan benar-benar merupakan kata adjektif bersifat emotif. Oleh itu sekiranya pelajar tidak mengetahui tentang penggunaan sendi nama akan, maka sudah tentu pelajar akan terkeliru untuk memilih jawapan yang betul.

Soalan  kesalahan umum tatabahasa (menanda kesalahan)

Soalan contoh:

Bila diberitahu tentang kemalangan yang menimpa anaknya,
  A                         B
Pak Jais bergegas ke hospital. Tiada kesalahan.
                      C                                     D

  Dalam ayat di atas penggunaan kata bila tidak tepat kerana bila ialah kata tanya.
Perkataan yang betul ialah kata hubung apabila. Kata hubung apabila tergolong dalam kata hubung pancangan keterangan atau disebut juga kata keterangan, berfungsi sebagai menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Pelajar-pelajar seharusnya dapat membezakan antara kata tanya bila dengan kata hubung apabila dengan mengenal funsi antara keduanya.
  
Soalan kata banyak makna (kata berhuruf condong)

Soalan contoh:

I   Baru dua malam yang lalu Badrul kemalangan jalan raya.

II   Kereta yang membawa Menteri Pelajaran sudah pun 
     sampai lalu terus ke hadapan Bangunan Dewan Wawasan.

III  Faiz duduk di kerusi lalu mencapai surat khabar di 
    hadapannya.
  
IV  Oleh sebab tidak lalu tidur, kakak kelihatan pucat dan tidak
      bermaya.
A   I dan III sahaja
B   II dan IV sahaja
C   I, II dan III sahaja
  I, II dan IV sahaja

  Jawapan yang betul I, II dan III sahaja.
  Perkataan lalu bermaksud peristiwa lepas, untuk menunjukkan
  sesuatu perbuatan yang dilakukan serentak atau pada masa
  yang sama.dan bersinonim dengan berjalan, melintas atau
  melewati. Jawapan IV tidak tepat kerana perkataan `lalu tidak
  sesuai untuk digandingkan atau dipadankan dengan 
  perkataan `tidur'.


Soalan kesalahan umum tatabahasa (ayat bergaris)

Soalan contoh:

Surat ini saya tulis untuk ibu saya yang berada di kampung.
A  Saya tulisan surat ini
B  Saya tulis ini surat
C  Surat ini ditulis oleh saya
D  Surat ini saya tulis

Ayat bergaris dalam soalan adalah betul.
Ayat di atas merupakan ayat pasif kata ganti nama diri pertama. Saya tulis  ialah bentuk kata kerja pasif. Kefahaman tentang kata kerja pasif membolehkan pelajar menjawab soalan ini dengan mudah. Pelajar perlu faham kata kerja pasif ialah kata kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif.

Soalan menentukan maksud ayat (ayat dicetak tebal)

Soalan contoh:

Persatuan Penduduk Taman Salor telah mengadakan aktiviti
gotong-royong membersihkan kawasan masjid pada 28 Februari
yang lalu.
A  Aktiviti gotong-royong telah diadakan di kawasan
    masjid pada 28 Februari yang lalu.
B  Kegiatan membersihkan kawasan masjid telah di-
     jalankan secara gotong royong oleh Persatuan
     Penduduk Taman Salor pada 28 Februari yang lalu.
C  Pada 28 Februari yang lepas, Persatuan Penduduk
     Taman Salor telah bergotong royong.
D  Persatuan Penduduk telah mengadakan aktiviti
     gotong-royong untuk membersihkan kawasan masjid
     di Taman Salor. 
    Jawapan yang betul ialah B         
     A salah disebabkan tidak menyatakan nama persatuan.
     Jawapan C juga salah kerana tidak menyatakan tempat
     kawasan. Manakala D juga salah kerana tidak menyatakan
     dengan lengkap nama persatuan. Untuk soalan bahagian ini,
     pelajar perlu berhati-hati memilih jawapan supaya jawapan
     yang dipilih mempunyai maksud yang sama atau paling hampir
     dengan ayat yang dicetak tebal.

Soalan kesalahan umum tatabahasa (memilih ayat betul)

Soalan contoh:

l    Yang akan merasmikan Bulan 1 Malaysia pada bulan
     hadapan adalah Perdana Menteri kita
ll    Mujurlah abang sempat berpaut pada dahan pokok
      sebelum dia jatuh ke tanah
lll   Ashraf meminjamkan buku yang baru dibelinya kepada
      Kashfi.
lV   Hiasan dalaman rumah Datuk Farhan teramat cantik
      pada pandangan saya.
A    l dan ll sahaja
B    lll dan lV sahaja
C    l, ll dan lll sahaja
D    ll. lll dan lV sahaja

Jawapan yang betul ialah D, iaitu ll, lll dan IV
Pilihan l salah kerana sepatutnya menggunakan
kata pemeri ialah. Pelajar perlu memahami dan dapat
membezakan anatara kata pemeri ialah dan adalah.
Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama sedangkan
kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan
frasa sendi nama.

Soalan peribahasa

Hanya terdapat tiga soalan berkaitan peribahasa yang akan diuji
dalam peperiksaan. Biasanya soalan ini  tidak sangat mencabar dan berupa
`bonus’ untuk pelajar. Walau bagaimanapun pelajar perlu membuat hafalan
tentang peribahasa.                   

Soalan petikan cerpen/drama/prosa tradisional/
sajak/pantun/syair

Soalan bahagian ini juga tidak sesukar mana. Walaupun hanya terdapat
10 soalan sahaja untuk bahagian ini, tetapi soalan yang dikemukakan
akan dikutip daripada tiga buah antologi iaitu antologi di tingkatan 1, 2 dan 3.
Pelajar-pelajar perlu membaca kesemua antologi yang dipelajari di ketiga-tiga
tingkatan.

Perbincangan ringkas ini menjelaskan bahawa kefahaman pelajar tentang  tatabahasa, terutamanya golongan kata, sangat penting untuk membolehkan pelajar menjawab soalan Bahasa Melayu PMR Kertas 1. Apa yang berlaku di bilik darjah, pelajar-pelajar dilonggokkan dengan latih tubi tanpa kefahaman yang jelas tentang aspek tatabahasa. Mereka hanya membuat latih tubi berterusan untuk menjadikan mereka `serasi’ dengan soalan yang kebiasaannya disoal dalam peperiksaan tanpa mempunyai kefahaman yang mendalam.

Oleh itu guru-guru bahasa Melayu hendaklah mengambil inisiatif yang bersungguh-sungguh supaya anak-anak didik mendapat kefahaman yang  mantap dalam aspek tatabahasa sejak di peringkat menengah rendah lagi.  Maka apabila mereka meneruskan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat lebih tinggi, akan tiada lagi masalah yang dihadapi kerana mereka telah mempunyai asas yang kukuh dalam aspek tatabahasa.

( Pelita Bahasa, Mei 2011 )