Thursday 22 November 2012

Remaja dan Aspirasi Negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Dewan Siswa,November 2012)



Oleh
Izani Haji Daud

Dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara, tidak dapat dinafikan peranan guru adalah paling utama. Hal ini demikian kerana guru merupakan golongan yang berada di barisan hadapan. Dengan perkataan lain guru yang akan menjalankan segala dasar yang telah ditetapkan. Transformasi sistem pendidikan  bertujuan melahirkan generasi masa depan yang menjadi aset kepada negara. Antara ciri pelajar atau remaja yang diperlukan untuk memenuhi keperluan misi negara ini ialah berkeperibadian tinggi, intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat.

    Selain usaha kerajaan dan guru yang bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat dasar tersebut, para pelajar sendiri juga hendaklah mempunyai keiltizaman yang tinggi untuk memajukan diri. Para pelajar hendaklah peka terhadap hasrat murni kerajaan dan harapan masyarakat kepada mereka.

    Sebagai seorang pelajar yang akan menjadi aset kepada negara, mereka hendaklah mempunyai keperibadian yang tinggi. Asas kejayaan seseorang individu pelajar ialah berdisiplin. Mereka perlu mempunyai kesedaran mendisiplinkan diri, mematuhi semua peraturan yang ditetapkan di sekolah, mengawal diri daripada terjebak dengan masalah-masalah disiplin dan mengelakkan diri daripada berkawan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin  kerana dikhuatiri akan dipengaruhi tingkah laku yang tidak baik yang boleh merosakkan.

    Untuk menjadi seorang pelajar yang intelek, para pelajar hendaklah melengkapkan diri dengan input ilmu yang mencukupi. Pelajar hendaklah belajar bukan setakat untuk cemerlang dalam peperiksaan tetapi berkemampuan untuk merealisasikan ilmu yang diperoleh. Contohnya, seorang pelajar sekolah menengah yang mempelajari karangan jenis wawancara hendaklah bukan sahaja boleh menulis skrip wawancara itu dalam bentuk penulisan sahaja, tetapi boleh melakonkan wawancara, yakni menjalankan aktiviti temu ramah sesama mereka (pelajar), supaya ilmu yang dipelajari itu dapat diaplikasikan dalam dunia sebenar.

    Selain itu, pelajar juga hendaklah mempunyai jati diri yang kukuh. Dalam dunia yang semakin canggih dan dipenuhi dengan pelbagai ilmu teknologi, kekuatan diri amatlah diperlukan khususnya dalam kalangan pelajar bagi menepis unsur dan pengaruh luar yang boleh menyesat dan merosakkan pemikiran. Para pelajar seharusnya memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran bukannya melibatkan diri dengan kegiatan yang tidak berfaedah yang hanya merugikan diri sendiri, keluarga dan negara.
   
Hal ini penting kerana remaja adalah aset negara, seperti yang dikatakan oleh Datuk Rohani Abdul Kadir,Timbalan Menteri Perdagangan Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa kecemerlangan sesebuah negara sebenarnya terletak kepada sumber tenaga manusia bukannya pembangunan fizikal semata-mata. Menurut beliau lagi, pelajar dapat melakukan yang terbaik untuk masyarakat, negara dan agama seandainya mempunyai sikap yang positif dan wawasan yang jelas.     Dalam pada itu, para pelajar juga diingatkan, dalam dunia yang semakin canggih dan dipenuhi dengan pelbagai ilmu teknologi moden, kekuatan diri amatlah dituntut bagi menepis pengaruh luar yang mampu menyesatkan golongan pelajar

    Pelajar sebagai modal insan bukan sahaja diperlukan untuk menyerlahkan diri di peringkat tempatan atau kebangsaan sahaja tetapi juga di peringkat antarabangsa. Para pelajar hendaklah menyediakan diri secara lebih global. Mereka mesti menguasai dunia teknologi yang sangat pantas dewasa ini. Pelajar-pelajar di sekolah hendaklah menyahut misi nasional negara iaitu berkemampuan  menggunakan ilmu secara kreatif dan berimaginasi untuk  menghasilkan inovasi dan ciptaan bernilai tinggi dengan memiliki kemahiran yang mudah dilentur dan mudah diubahsuai serta mampu meningkatkan pengetahuan dan menambah baik kemahiran.
Sebagai seorang muda belia yang bakal mengambil alih teraju pimpinan negara pada masa hadapan, para pelajar hendaklah mempunyai jati diri yang utuh. Pelajar-pelajar yang berada di bangku sekolah sekarang ini mestilah mempunyai keazaman yang kuat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dengan berusaha bersungguh-sungguh dan berstrategik, yakni membuat perancangan yang rapi bagi merealisasikan apa yang dicitakan.

   Pelajar-pelajar hendaklah tahan diuji dalam segala cabaran yang dihadapi. Mereka hendaklah tidak mudah mengalah dan putus harapan apabila berhadapan dengan kepayahan dan kesusahan. Sikap negatif yang ada dalam diri seperti tidak yakin diri, malu bertanya dan perasaan rendah diri hendaklah dihindari. Sebaliknya, pelajar hendaklah menanam sikap sentiasa tidak puas hati akan kejayaan sedikit atau sederhana, justeru hendaklah berusaha habis-habisan dengan menggunakan segala kemampuan diri yang ada untuk mencapai kecemerlangan. Ungkapan `kecemerlangan milik semua’ hendaklah terpahat di jiwa pelajar. Ungkapan ini penting kerana terdapat dalam kalangan pelajar yang merasakan kejayaan atau kecemerlangan itu milik mereka (pelajar) tertentu sahaja, menyebabkan mereka hanya berpuas hati setakat yang ada sahaja.

    Selain mempunyai jati diri yang kukuh,  dalam berdepan dengan cabaran alaf baru ini, para pelajar hendaklah berpegang teguh kepada agama. Setiap agama menyeru kepada kebaikan. Seseorang yang mempunyai pegangan agama akan sedaya upaya mentaati apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang oleh agama. Penghayatan terhadap agama akan memudahkan seseorang itu mengamalkan sikap, perbuatan, tutur kata yang baik sebagaimana yang dianjurkan oleh agama mereka. Justeru, dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang mempunyai pegangan agama yang teguh, maka mulai dari sekarang lagi para pelajar seharusnya membiasakan diri dengan sikap, percakapan dan tingkah laku yang baik dan menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang agama agar para pelajar mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara.

    Jelaslah, Transformasi Pendidikan Negara merupakan salah satu usaha  untuk mencapai misi nasional negara. Usaha ini memerlukan pengemblenggan tenaga yang bersungguh-sungguh bukan sahaja daripada organisasi pendidikan dan para guru tetapi yang lebih utama daripada pelajar itu sendiri supaya mereka mempunyai hala tuju yang jelas. Pelajar-pelajar hendaklah diberi kesedaran akan peranan yang harus dimainkan di peringkat sekolah untuk bersama-sama mencapai aspirasi negara seterusnya mencapai misi nasional negara menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.