Friday 14 June 2013

Remaja dan Kesantunan Berbahasa



Remaja dan Kesantunan Berbahasa

Oleh
Izani Haji Daud

Remaja ditakrifkan sebagai sudah mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin (Kamus Dewan, Edisi Empat, 2010). Zaman remaja dikatakan bermula daripada akil baligh dan berakhir apabila memasuki alam dewasa, yang merupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan yang berlaku sama ada daripada segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif iaitu mula berminat mengadakan hubungan dengan rakan sebaya (Azizi Haji Yahya, 2011).
            Manakala kesantunan berbahasa pula ialah kehalusan budi bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan bahasa. supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa. Menurut Hafizah Salleh (2005), menyatakan kesantunan berbahasa sebagai kehalusan bahasa yang digunakan untuk menunjukkan kesopanan seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain, iaitu sama ada secara lisan atau dalam bentuk tulisan. Hanya kosa kata yang halus dan sopan digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej tertentu.

            Apakah remaja dewasa ini menggunakan bahasa yang sopan? Isu ini banyak diperkatakan dalam masyarakat hari ini. Penggunaan bahasa dalam kalangan  remaja masa kini menimbulkan keresahan banyak pihak. Baik dalam bentuk lisan (percakapan) mahupun tulisan terutamanya dalam khidmat pesanan ringkasan (SMS), e-mel dan di laman-laman sosial, para remaja menggunakan bahasa atau istilah-istilah yang memeningkan kepala, apatah lagi dari segi hukum tatabahasa bahasa Melayu, mereka langsung tidak mempedulikannya.
            Bahasa merupakan medium untuk mengungkapkan pemikiran dan menyampaikan perasaan penuturnya. Lebih daripada itu, bahasa juga akan menggambarkan keperibadian, latar belakang dan tahap pendidikan seseorang itu. Dalam Islam sentiasa dianjurkan agar seseorang itu berlemah lembut dalam berbicara. Hal ini disebabkan pertuturan yang baik adalah cerminan hati yang bersih, tulus dan tenang yang memancarkan ketinggian akhlak yang dimiliki.
            Bahasa kesat yang lazim digunakan seperti giler kau, binatang ni, tolol, bingung,  jahanam kau,  dan seumpamanya lagi.

Keluarga mempunyai pengaruh yang besar ke atas  penggunaan bahasa seharian  dalam kalangan anak-anak. Penggunaan bahasa kesat, maki hamun atau bacar mulut yang menjadi kebiasaan dalam keluarga akan menyebabkan anak-anak membesar dengan penggunaan bahasa yang sedemikian dan nantinya anak-anak akan menggunakannya dalam pengucapan harian di luar rumah. Latar belakang keluarga yang tidak stabil seperti ibu bapa yang sering bertelagah di hadapan anak-anak selalunya menggunakan bahasa dan nada kurang baik sehingga meninggalkan kesan dalam diri anak-anak mereka. Akhirnya menyebabkan gangguan emosi anak-anak sehingga menyebabkan komunikasi mereka juga sentiasa disulami kata-kata kurang sopan, mencarut dan sebagainya yang menggambarkan situasi jiwanya yang kusut dan memberontak (Baharum Ali, 2011)

            Penggunaan bahasa yang tidak sopan dalam kalangan remaja juga berpunca daripada pengaruh media massa. Bahasa yang digunakan dalam majalah terutamanya, sering kali ditemukan bahasa yang tidak elok seperti “kau dah gila?”, “kau dah mentedarah”?, “bodoh betullah kau ni”, bengap betul budak ni” dan seumpamnya lagi.

            Laras bahasa SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) dan laras bahasa internet yang digunakan dalam laman sosial yang menjadi kesukaan para remaja iaitu Facebook, Twitter, Yahoo Messenger dan sebagainya banyak mempengaruhi para remaja masa kini. Begitu juga pembacaan daripada blog dalam internet banyak memberi kesan kepada para remaja.

Dalam laman sosial banyak perkataan yang tidak sopan, dan mencarut,  digunakan seperti,
usha  
giler
sekodeng  
rembat
poyo
sengkek
tibai
sengal
selebet
piang
palat
mencapub
kia
 kerek
cikaroo, dan banyak lagi.


Perkataan-perkataan ini banyak digunakan oleh remaja hari ini yang sukar untuk diterjemahkan maksudnya dengan tepat,, dan kelompok mereka sahajalah yang lebih mengetahuinya. Remaja akan hidup dalam dunia keseronokan  yang boleh menjadikan mereka leka dan menyebabkan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri. Nilai berbudi bahasa dan pengamalan adat resam yang sopan tidak lagi menjadi pegangan lantaran dipengaruhi unsur-unsur negatif seperti individualistik dan kebebasan tanpa batasan.
Ketidaksopanan dalam pertuturan inilah juga menyebabkan tindakan fizikal yang dilakukan oleh para remaja menjadi tidak bermoral dan mudah terlibat dengan usur-unsur negatif dan budaya daripada acuan Barat dijadikan sandaran maju dan moden. Sikap berpoya-poya, rasa hilang malu dan adab, melanggar tertib, dan peraturan, menjadi sebahagian yang melatari watak remaja.

 Sekiranya remaja masa kini terus alpa dengan gaya hidup mereka, tentunya akan memberi kesan kepada negara pada masa depan, kerana remaja hari ini  pastinya suatu hari nanti akan berada di barisan hadapan untuk mengambil alih tampuk pimpinan keluarga, masyarakat dan negara.
 Kebimbangan isu ini bukan sahaja di negara kita, malah di Amerika Syarikat pun isu ini diberi perhatian yang berat. Misalnya,  di Middleborough, Amerika Syarikat, peraturan baharu dilaksanakan dengan mengenakan  denda sebanyak AS$20 (RM64) ke atas mereka yang bermulut celupar jika didapati menyumpah seranah di tempat awam. Peraturan baharu yang dilaksanakan mendapat persetujuan yang majoriti daripada penduduk bandar tersebut.
Dalam menangani permasalahan ini, institusi keluarga yang paling utama hendaklah memainkan peranan untuk membimbing anak-anak mereka dalam membentuk gaya pertuturan yang sopan dan teratur. Ibu bapa hendaklah bertegas supaya anak-anak terbiasa dengan disiplin dan pertuturan yang sopan walau di mana mereka berada.
Pihak sekolah juga hendaklah mengambil berat dalam perkara ini. Pelajar hendaklah tidak sahaja dipantau dari segi tingkah lakunya, tetapi juga adab sopan terutamanya berkaitan dengan pertuturan yang diucapkan semasa berada di sekolah.
Sudah sampai masanya para remaja menjalani transformasi dalam pengamalan nilai murni melalui kesantunan berbahasa. Nilai kesantunan ini perlu diterapkan kerana nilai ini akan menggambarkan hati budi, akal budi dan sahsiah penuturnya. Kita sesungguhnya ingin melihat remaja hari muka bukan sahaja mempunyai personaliti yang berketrampilan tetapi juga memiliki sahsiah yang berkeperibadian mulia yang akan menjadi kebanggaan semua.