Kasih Sayang Tidak Berbelah Bahagi dalam Cerpen Dendam
Oleh
Izani Hj Daud
Cerpen Dendam karya Shariza A. Rahman merupakan salah sebuah cerpen yang dimuatkan dalam antologi `Gema Sepi Gadis Genius’, teks komsas untuk pelajar tingkatan 2.
Dendam memaparkan tentang hubungan yang tidak harmonis antara seorang kakak dengan adiknya. Along (kakak) sentiasa bermusuhan dengan Angah (adik) kerana perilaku adik yang suka mengusik barang kepunyaannya. Melalui cerpen ini pelbagai persoalan telah ditonjolkan, antaranya berkaitan dengan perasaan cemburu.
Perasaan cemburu menyelubungi jiwa Along apabila setiap kali Angah melakukan kesalahan akan mendapat pembelaan daripada ibu dan ayah yang sentiasa membela Angah, dan Along dipersalahkan. Contohnya apabila Along menampar dan menolak Angah sehingga jatuh di atas sofa kerana kesalahan adiknya mengoyak surat khabar dan majalahnya, ibunya memarahi Along kerana membiarkan Angah bersendirian kerana dibimbangi keselamatan Angah. Perasaan cemburu Along dapat dilihat daripada petikan monolog di bawah.
Angah saja yang difikirkan, aku? Aku bagaimana pula?
ibu memang tidak adil! Berat sebelah! (m.s.86)
Pengarang menggunakan teknik monolog untuk memperlihatkan persoalan cemburu dalam cerpen ini. Melalui cara ini juga sekali gus pembaca dapat memahami persoalan dan juga aspek teknik dalam penceritaan.
Persoalan tentang keadilan banyak diperkatakan dalam cerpen ini. Sebagai anak remaja, perasaan tidak puas hati Along terhadap layanan ibu dan ayahnya yang berlebihan terhadap adiknya menyebabkan perasaannya memberontak menuntut keadilan. Hal ini dapat diperhatikan melalui dialog seperti di bawah.
“Ayah tak adil memarahi Along saja. Angah yang buat
silap, mengapa Along yang ayah marah?”
“Bukankah engkau kakaknya?”
“Kalau Along kakaknya, tak semestinya kesalahan Angah
ditanggung oleh Along.alasan yang tidak munasabah” (m.s.89)
Penggunaan teknik dialog ini membolehkan khalayak pembaca benar-benar menghayati persoalan berkaitan dengan keadilan. Melalui teknik ini pengarang berjaya membawa pembaca menyelami konflik jiwa yang dialami oleh watak utama iaitu Along.
Persoalan tentang sikap membalas dendam yang tidak dapat dibendung jelas dipaparkan dalam cerpen ini. Along sanggup mengkhianati adik sendiri untuk melepaskan geram terhadap adiknya. Hal ini dapat dilihat daripada peristiwa Along menuduh Angah memutuskan rantai mutiara pusaka turun-temurun ibu. Along telah mendorong (menghasut) ayahnya dengan kata-kata yang berbisa sebagaimana dialog yang dipaparkan di bawah.
“Engkau mahu ayah menghukum Angah?”
“Terserah, kalau ada banyak bukti yang menunjukkan
Angah bersalah. Kalau ayah boleh menghukum
Along tanpa sebarang bukti,mengapa Angah tidak?
Keadilan harus wujud di dalam rumah ini,” (m.s.93)
Kata-kata di ataslah menyebabkan Angah dibelasah teruk oleh ayah dengan tali pinggang kulit.
Persoalan simpati turut digarap dalam cerpen ini apabila kesalan yang amat dirasai oleh Along mengenangkan tubuh kecil adiknya itu lebam apabila dihinggapi tali pinggang kulit kepunyaan ayahnya. Semua itu terjadi gara-gara perancangan rapi Along untuk membalas dendam terhadap adiknya, Angah itu,
Daripada banyak persoalan yang diutarakan dalam cerpen ini, persoalan yang paling menyentuh perasaan pembaca ialah berkaitan dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara dua insan adik beradik. Angah yang mengetahui tentang perancangan yang dibuat oleh kakaknya untuk membalas dendam terhadapnya berjanji tidak akan membongkar rahsia itu demi kasihnya kepada kakaknya, Along. Petikan dialog di bawah dapat menggambarkan kasih sayang antara mereka berdua.
“Angah maafkan Along!”
“Janganlah Along menangis. Angah tak
cakap pun pada ibu yang Along masuk
bilik ibu.”
“Angah boleh simpan rahsia. Angah tak bohong.
Angah tak susahkan Along. Along sayang Angah tak?”
Begitulah beberapa persoalan yang terdapat dalam cerpen Dendam. Terdapat beberapa lagi persoalan yang menarik di dalamnya seperti persoalan tentang kebencian seorang kakak terhadap adik, kepercayaan khurafat dan kerenah seorang adik yang memerlukan perhatian seorang kakak.