Remaja dan Kesantunan Berbahasa
Oleh
Izani Haji Daud
Remaja
ditakrifkan sebagai sudah mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur
untuk berkahwin (Kamus Dewan, Edisi Empat, 2010). Zaman remaja dikatakan
bermula daripada akil baligh dan berakhir apabila memasuki alam dewasa, yang
merupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak
perubahan yang berlaku sama ada daripada segi perkembangan fizikal, emosi dan
kognitif iaitu mula berminat mengadakan hubungan dengan rakan sebaya (Azizi
Haji Yahya, 2011).
Manakala kesantunan berbahasa pula
ialah kehalusan budi bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau
kesopanan ketika menggunakan bahasa. supaya tidak dianggap sebagai biadab atau
tidak berbudi bahasa. Menurut Hafizah Salleh (2005), menyatakan
kesantunan berbahasa sebagai kehalusan bahasa yang digunakan untuk menunjukkan
kesopanan seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain, iaitu sama ada
secara lisan atau dalam bentuk tulisan. Hanya kosa kata yang halus dan sopan
digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej tertentu.
Apakah remaja dewasa ini menggunakan
bahasa yang sopan? Isu ini banyak diperkatakan dalam masyarakat hari ini.
Penggunaan bahasa dalam kalangan remaja
masa kini menimbulkan keresahan banyak pihak. Baik dalam bentuk lisan
(percakapan) mahupun tulisan terutamanya dalam khidmat pesanan ringkasan (SMS),
e-mel dan di laman-laman sosial, para remaja menggunakan bahasa atau
istilah-istilah yang memeningkan kepala, apatah lagi dari segi hukum tatabahasa
bahasa Melayu, mereka langsung tidak mempedulikannya.
Bahasa merupakan medium untuk
mengungkapkan pemikiran dan menyampaikan perasaan penuturnya. Lebih daripada
itu, bahasa juga akan menggambarkan keperibadian, latar belakang dan tahap
pendidikan seseorang itu. Dalam Islam sentiasa dianjurkan agar seseorang itu
berlemah lembut dalam berbicara. Hal ini disebabkan pertuturan yang baik adalah
cerminan hati yang bersih, tulus dan tenang yang memancarkan ketinggian akhlak
yang dimiliki.
Bahasa kesat yang lazim digunakan
seperti giler kau, binatang ni, tolol, bingung, jahanam kau, dan seumpamanya lagi.
Keluarga mempunyai pengaruh yang besar ke atas penggunaan bahasa seharian dalam kalangan anak-anak. Penggunaan bahasa
kesat, maki hamun atau bacar mulut yang menjadi kebiasaan dalam keluarga akan
menyebabkan anak-anak membesar dengan penggunaan bahasa yang sedemikian dan
nantinya anak-anak akan menggunakannya dalam pengucapan harian di luar rumah.
Latar belakang keluarga yang tidak stabil seperti ibu bapa yang sering
bertelagah di hadapan anak-anak selalunya menggunakan bahasa dan nada kurang
baik sehingga meninggalkan kesan dalam diri anak-anak mereka. Akhirnya
menyebabkan gangguan emosi anak-anak sehingga menyebabkan komunikasi mereka
juga sentiasa disulami kata-kata kurang sopan, mencarut dan sebagainya yang
menggambarkan situasi jiwanya yang kusut dan memberontak (Baharum Ali, 2011)
Penggunaan bahasa
yang tidak sopan dalam kalangan remaja juga berpunca daripada pengaruh media
massa. Bahasa yang digunakan dalam majalah terutamanya, sering kali ditemukan
bahasa yang tidak elok seperti “kau dah gila?”, “kau dah mentedarah”?, “bodoh
betullah kau ni”, bengap betul budak ni” dan seumpamnya lagi.
Laras bahasa SMS
(Khidmat Pesanan Ringkas) dan laras bahasa internet yang digunakan dalam laman
sosial yang menjadi kesukaan para remaja iaitu Facebook, Twitter, Yahoo
Messenger dan sebagainya banyak mempengaruhi para remaja masa kini. Begitu
juga pembacaan daripada blog dalam internet banyak memberi kesan kepada para
remaja.
Dalam laman sosial banyak perkataan yang tidak sopan, dan mencarut,
digunakan seperti,
usha
giler
sekodeng
rembat
poyo
sengkek
tibai
sengal
selebet
piang
palat
mencapub
kia
kerek
cikaroo,
dan banyak lagi.
Perkataan-perkataan
ini banyak digunakan oleh remaja hari ini yang sukar untuk diterjemahkan
maksudnya dengan tepat,, dan kelompok mereka sahajalah yang lebih
mengetahuinya. Remaja akan hidup dalam dunia keseronokan yang boleh menjadikan mereka leka dan
menyebabkan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri. Nilai berbudi bahasa dan
pengamalan adat resam yang sopan tidak lagi menjadi pegangan lantaran
dipengaruhi unsur-unsur negatif seperti individualistik dan kebebasan tanpa
batasan.
Ketidaksopanan
dalam pertuturan inilah juga menyebabkan tindakan fizikal yang dilakukan oleh
para remaja menjadi tidak bermoral dan mudah terlibat dengan usur-unsur negatif
dan budaya daripada acuan Barat
dijadikan sandaran maju dan moden. Sikap berpoya-poya, rasa hilang malu dan
adab, melanggar tertib, dan peraturan, menjadi sebahagian yang melatari watak
remaja.
Sekiranya
remaja masa kini terus alpa dengan gaya hidup mereka, tentunya akan memberi
kesan kepada negara pada masa depan, kerana remaja hari ini pastinya suatu hari nanti akan berada di
barisan hadapan untuk mengambil alih tampuk pimpinan keluarga, masyarakat dan
negara.
Kebimbangan isu ini bukan sahaja di negara kita, malah di Amerika
Syarikat pun isu ini diberi perhatian yang berat. Misalnya, di Middleborough, Amerika Syarikat, peraturan
baharu dilaksanakan dengan mengenakan
denda sebanyak AS$20 (RM64) ke atas mereka yang bermulut celupar jika
didapati menyumpah seranah di tempat awam. Peraturan baharu yang dilaksanakan
mendapat persetujuan yang majoriti daripada penduduk bandar tersebut.
Dalam menangani permasalahan ini, institusi keluarga yang paling
utama hendaklah memainkan peranan untuk membimbing anak-anak mereka dalam
membentuk gaya pertuturan yang sopan dan teratur. Ibu bapa hendaklah bertegas
supaya anak-anak terbiasa dengan disiplin dan pertuturan yang sopan walau di
mana mereka berada.
Pihak sekolah juga hendaklah mengambil berat dalam perkara ini.
Pelajar hendaklah tidak sahaja dipantau dari segi tingkah lakunya, tetapi juga
adab sopan terutamanya berkaitan dengan pertuturan yang diucapkan semasa berada
di sekolah.
Sudah sampai masanya para remaja menjalani transformasi dalam
pengamalan nilai murni melalui kesantunan berbahasa. Nilai kesantunan ini perlu
diterapkan kerana nilai ini akan menggambarkan hati budi, akal budi dan sahsiah
penuturnya. Kita sesungguhnya ingin melihat remaja hari muka bukan sahaja
mempunyai personaliti yang berketrampilan tetapi juga memiliki sahsiah yang
berkeperibadian mulia yang akan menjadi kebanggaan semua.