Monday, 9 April 2012
Isu Semasa Membantu Pelajar Menghasilkan Karangan Jenis Perbincangan(Pelita Bahasa April 2012)
Oleh
Izani Hj. Daud
Karangan jenis perbincangan merupakan salah satu jenis karangan yang kerap ditanya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Karangan jenis ini boleh membawa markah yang baik jika calon dapat memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.
Antara ciri karangan jenis perbincangan termasuklah:
• Isi yang logik.
• Fakta yang tepat.
• Hujahan yang matang.
• Fakta yang berkaitan antara satu sama lain.
• Setiap perenggan mempunyai satu fakta dengan huraian dan contoh yang sesuai.
• Bahasa yang mudah.
• Kesimpulan berdasarkan hujah yang dikemukakan.
Soalan karangan jenis ini biasanya mempunyai hubung kait dengan isu semasa atau topik hangat yang diperkatakan dalam media massa. Oleh itu, dalam penulisan karangan jenis perbincangan, isu yang dikemukakan mestilah logik atau munasabah yang disokong oleh bukti atau contoh yang sesuai. Untuk mendapatkan fakta, pelajar hendaklah sentiasa membaca akhbar atau majalah. Selain mencatat fakta penting daripada media massa, pelajar dapat juga mencatat perangkaan atau statistik yang terdapat dalam isu yang diperkatakan.
Contohnya, untuk membincangkan isu berkaitan dengan kerosakan akhlak dalam kalangan remaja masa kini, pelajar perlu membuat catatan perangkaan atau statistik tentang jumlah yang terlibat dengan salah laku pelajar, seperti ponteng sekolah, lari dari rumah, lumba haram, kes-kes jenayah, dan lain-lain. Perangkaan tentang keterlibatan remaja dalam gejala sosial ini dapat menyokong huraian dan isi penting dalam sesebuah karangan jenis perbincangan.
Isi pokok / fakta utama
Isi sampingan / huraian lanjut
Contoh / bukti / statistik
yang boleh menyokong
Perbincangan hendaklah meluas dan lebih terperinci . Fakta yang dikemukakan bukan setakat pernyataan umum, tetapi hendaklah dibincangkan secara mendalam, di samping memberikan cadangan untuk mengatasinya.
Misalnya, ketika menulis perihal gejala sosial dalam kalangan remaja, pelajar tidak seharusnya hanya mengemukakan punca keruntuhan akhlak sahaja. Pelajar perlu juga memberikan syor tentang cara-cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini.
Memandangkan soalan karangan jenis perbincangan ini popular, pelajar perlu bersedia lebih awal. Satu cara paraktikal yang dapat dilakukan adalah dengan membuat keratan akhbar. Misalnya, mengumpul rencana pengarang akhbar pada setiap hari.
Keratan akhbar
Tampal di dalam buku khas
Pelajar membentang isu / fakta di depan kelas
Perbincangan terbuka (komen / pandangan)
Mengumpul semua fakta hasil perbincangan
Menulis karangan
Untuk mengurangkan beban pelajar, aktiviti ini dapat dilakukan secara kumpulan. Guru mengambil inisiatif mewajibkan setiap pelajar membuat keratan rencana pengarang akhbar secara bergilir-gilir. Keratan tersebut hendaklah ditampalkan di dalam buku khas untuk memudahkan rujukan. Kemudian pelajar diminta untuk tampil ke hadapan bagi menerangkan isu atau fakta berdasarkan keratan akhbar yang diperoleh. Setelah itu, guru membuka peluang kepada pelajar untuk memberikan komen atau pandangan berdasarkan isu tersebut. Sambil itu, pelajar lain membuat catatan daripada idea yang disampaikan.
Kaedah ini dapat merangsang minat pelajar dan menjimatkan masa kerana dengan adanya kerjasama membolehkan fakta yang diperoleh dikongsi bersama-sama. Guru-guru dapat membina soalan karangan berdasarkan isu yang terdapat dalam keratan akhbar tersebut untuk mengalakkan perbincangan di dalam kelas atau sebagai latihan bertulis.
Tegasnya, karangan jenis perbincangan dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Di samping itu juga, karangan jenis ini akan mendorong pelajar untuk berfikir dan memberikan pandangan yang logik dan kritis. Selain itu, pelajar akan menjadi prihatin terhadap isu semasa yang akan mempercepat tahap kematangan pelajar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Maksaih infonya. Salam kenal
ReplyDelete