Friday, 17 August 2012

Masyarakat Membaca (Pelita Bahasa, Ogos 2012)

                     Masyarakat Membaca
                Aset yang Tidak Dapat dinilai dengan Harga

                                                             oleh
                                                                      Izani Hj Daud

Atan Long (1984), menyatakan bahawa 74 peratus daripada rakyat Malaysia sudah boleh membaca, tetapi hanya 0.028 peratus atau 28 daripada setiap 100,000 orang menjadi ahli mana-mana perpustakaan. 27 peratus daripada mereka tidak mempunyai sebarang buku di rumah, 30 peratus daripada mereka tidak memiliki majalah, 10 peratus tidak memiliki surat khabar dalam  tempoh enam bulan. Dilaporkan juga pada setiap tahun, purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat dalam masa setahun.

Data terkini yang dibuat oleh Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula mendapati kadar literasi rakyat Malaysia masih berada di belakang negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Jerman yang kadar literasi di negara-negara tersebut adalah amat tinggi sehingga 99 peratus. Kenyataan ini menjelaskan betapa masyarakat Malaysia tidak berminat untuk membaca.

    Mengapakah pentingnya membaca? Bagi para pelajar membaca penting untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bagi orang dewasa atau orang awam juga penting kerana daripada membaca pelbagai maklumat, pengalaman akan diperoleh. Manakala bagi negara, memiliki rakyat yang suka membaca adalah suatu aset yang tidak dapat dinilai dengan harga.

    Amalam membaca dalam kalangan masyarakat akan menentukan maju atau mundurnya sesebuah negara. Negara yang maju dan bertamadun tinggi adalah negara yang didiami oleh anggota masyarakat yang berpengetahuan dan sentiasa meneroka pelbagai ilmu. Dengan ilmu, manusia akan menemui sesuatu yang baru dinamakan sebagai pembaharuan atau kemajuan. Sebaliknya, bangsa yang tidak membaca atau tidak meneroka ilmu akan menjadi terkebelakang dan mundur.

    Dengan kata lain, kurangnya minat membaca dalam kalangan anggota masyarakat menjadi faktor penghalang sesebuah negara untuk mencapai kemajuan atau pembangunan. Negara-negara yang maju seperti Amerika, Britain, dan Jepun memiliki rakyat yang rajin membaca. Ke mana sahaja mereka pergi, bahan bacaan sentiasa dibawa bersama, dan apabila mempunyai ruang masa, mereka akan membaca. Mereka sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Inilah yang dikatakan ciri-ciri bangsa yang maju.

    Apa yang mendukacitakan di negara kita pula dewasa ini didapati generasi muda, terutamanya golongan pelajar yang masih di bangku sekolah juga liat untuk membaca. Jika mereka membaca pun hanyalah sekadar untuk lulus dalam peperiksaan. Pelajar-pelajar juga lebih suka membaca topik-topik penting yang terdapat dalam sukatan peperiksaan. Tidak ramai pelajar yang membuat rujukan lebih lanjut untuk mendalami sesuatu topik. Mereka lebih selesa membaca buku teks atau nota-nota dan ‘handout’ yang diberikan oleh guru. Sindrom ini menyebabkan pelajar tidak mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan yang diduduki.

    Sikap tidak suka membaca ini sangat merugikan, baik kepada individu mahupun negara, kerana tentunya sikap seperti ini tidak dapt melahirkan golongan cendekiawan negara. Pelajar-pelajar aliran sastera misalnya, sangat memerlukan bacaan yang luas, bukan setakat membaca buku teks kerana dengan banyak membaca  buku-buku tambahan (rujukan lain) akan menambahkan lagi fakta untuk dianalisis bagi membolehkan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

    Sebagai contoh, tinjauan yang dibuat terhadap pelajar tingkatan lima yang mengambil mata pelajaran Sastera, menunjukkan tidak sampai separuh daripada pelajar yang membaca habis kesemua teks karya sastera yang akan diuji dalam peperiksaan SPM. Jadi, jika teks tidak dibaca, maka sudah tentulah pelajar-pelajar tidak mempunyai fakta untuk dikemukan dalam peperiksaan. Apatah lagi untuk mendapat markah yang baik, kerana dalam menjawab soalan peperiksaan seperti mata pelajaran Sastera bukan  saja fakta (cerita) yang perlu diketahui, tetapi juga jawapan yang diberikan hendaklah matang dan menunjukkan pemahaman yang tinggi terhadap sesuatu persoalan yang dikemukakan.

    Selain  itu, jawapan juga hendaklah kritis, iaitu dapat memberi komentar dan ulasan yang mendalam, agar jawapan yang dipaparkan dapat menunjukkan keupayaan intelektual yang tinggi. Justeru, untuk mencapai kecemerlangan, maka sudah tentulah para pelajar memerlukan pembacaan yang luas, iaitu bukan sahaja membaca teks sastera itu sahaja tetapi dengan membaca bahan-bahan rujukan lain yang berkaitan bagi mendapat fakta yang lebih banyak. Pelajar-pelajar seharusnya menyedari tidak ada jalan pintas  untuk berjaya melainkan dengan bertungkus-lumus menelaah pelajaran.

    Sebenarnya minat membaca hendaklah dipupuk semenjak anak masih kecil lagi atau pun sebelum mereka masuk alam persekolahan. Ini bermakna, menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa untuk menyemai tabiat membaca.

    Ibu bapa hendaklah memberi galakan, dengan membeli buku-buku kepada anak-anak. Malah, anak-anak yang baru setahun jagung iaitu dalam lingkungan usia satu hingga dua tahun pun boleh diperkenalkan dengan buku-buku. Walaupun mereka masih lagi mentah, tetapi dengan cara ini konsep membaca dapat ditanam lebih awal lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebung, supaya apabila mereka meningkat usia dan memasuki alam persekolahan nanti, tabiat membaca sudah pun menyubur dalam diri anak-anak.

    Sekiranya semua ibu bapa dapat mengambil inisiatif dan menjadi suri teladan untuk turut sama membudayakan amalan membaca, maka negara akan dapat melahirkan generasi yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

    Kerajaan boleh memainkan peranan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan minat dalam kalangan masyarakat, salah satunya dengan cara  membangunkan perpustakaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi. Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu diperbanyak supaya bahan bacaan dapat sampai ke seluruh ceruk rantau.

    Program membaca buku secara besar-besaran juga hendaklah dijalankan supaya rakyat mengamalkan budaya membaca. Malaysia boleh mengambil contoh negara Britain, yang pada tahun 2004 telah mengadakan program Bigread, iaitu suatu program untuk mencari 100 buah buku paling popular di United Kingdom. Untuk tujuan itu televisyen United Kingdom menyiarkan program mengulas 100 buah buku pada setiap minggu dan orang ramai akan mengundi buku-buku kegemaran mereka menerusi internet, manakala toko-toko buku pula akan menjual buku yang tersenarai itu dengan melabelkannya pada rak-rak khas yang tercetak Bigread pada muka depannya. Adalah diyakini cara yang telah dibuat di United Kingdom boleh dilakasanakan di negara ini dan akan mendapat sokongan dan sambutan daripada semua lapisan masyarakat.

   

Selain kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian juga boleh membangunkan perpustakaan. Di Amerika Syarikat, lending library atau circulating library  dibangunkan dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar. Usaha yang di pelopori oleh William Rind sejak tahun 1762 ini telah mendatangkan impak yang amat besar terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan rakyat Amerika selepas itu.


Isu berkaitan dengan sindrom kurang minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia sudah lama diperkatakan, justeru masyarakat hendaklah mengubah sikap bermula dari sekarang. Seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, When I have money, I buy books. If any is left, I buy food, maknanya, Erasmus mengutamakan buku sedangkan kepentingan makanan dikemudiankan. Hal ini menunjukkan Eramus dan majoriti masyarkat maju yang lain menjadikan membaca sebagai keutamaan sebagai santapan minda.

Sudah sampai masanya masyarakat Malaysia mengorak langkah, jaga daripada mimpi yang memanjang untuk turut serta bersama-sama bangsa lain membudayakan diri dengan  mencintai ilmu melalui budaya membaca. Kalaulah selama ini kita sanggup memperuntukkan wang untuk membeli pelbagai keperluan diri, mengapa tidaknya sebahagian kecil wang yang ada disediakan untuk membeli buku baik untuk diri mahu pun keluarga, supaya dengan cara ini akan menjadi tapak mula melahirkan modal insan minda kelas pertama, seterusnya memacu negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020.





No comments:

Post a Comment