Thursday, 27 September 2012

Bahasa Istana

Petikan Sebahagian Bahasa Istana
Bil      Perkataan    Bahasa Istana            Bahasa Awam
1     Anak                Paduka anakanda      Pacal didik
2     Ayah/Bapa      Paduka ayahanda      Hamba Tua ayah
3     Adik                 Paduka adinda           Pacal didik
4     Abang/Kakak Paduka kekanda        Pacal kakak
5     Berlepas         Berangkat lepas                  -
6     Buang air        Ke sungai                    Ke bilik air
7     Beri                  Kurnia/anugerah                  -
8     Berjumpa        Bertemu                       Menghadap
9     Tinggal            Semayam                             -
10   Hendak tahu   Ingin mengetahui        Mohon periksa
11   Jemput/sila      Ajak                             Mempersilakan
1     Mandi               Bersiram                     Mandi
13   Makan              Santap                        Ayap
14   Marah               Murka                          Dukacita
15   Merasmikan    Menyempurnakan               -
16   Pergi                Berangkat                            -
17   Rumah             Istana                            Pondok
18   Sakit                Gering                          Sakit
19   Sampai            Berangkat tiba            Sampai
20   Saya                Beta/kita                       Patik
21   Sudi mengunjungi  Mencemar duli             -
22   Setuju              Berkenan                      Bersetuju
23   Tidur                Beradu                          Tidur
24   Terima kasih   Berima kasih               Junjung kasih/junjung kurnia
25   Tidak tahu      Tidak pasti/tidak tahu   Kurang periksa/kurang pasti
26   Suami             Tuanku Agong/Tuanku  Hamba tua suami
                                Sultan/Tuanku    

 http://www.istananegara.gov.my/istananegara2/index.php/protokol-diraja/bahasa-istana/156-petikan-sebahagian-dari-bahasa-istana.html

Sunday, 23 September 2012

Perbezaan antara `kami' dan `kita'

Perbezaan antara `kami' dan `kita'

 Kami

Kami biasanya diucapkan apabila kita bercakap kepada orang lain tetapi merujuk kepada kumpulan kita.

Contoh: "Kami hendak ke Kuala Lumpur pagi esok mak cik"

 Kita

Kita akan diucapkan apabila kita sedang merujuk atau bercakap dengan kumpulan kita sendiri.

Contoh: "Kita akan bertolak ke Kuala Lumpur pagi esok"

Thursday, 13 September 2012

Perihal "kerana" dan "sebab"

                       Perihal “kerana” dan “sebab”

Banyak orang keliru dengan penggunaan perkataan “kerana”. Sebagai contoh, banyak yang bertanya tentang ayat yang bermula begini: ”Ini kerana ...” seperti dalam ayat ”Ini kerana ibunya sakit.” Bolehkah ayat seperti ini digunakan? Jikalau tidak boleh, mengapa, dan bagaimanakah penggunaan yang betul?
   Sekali imbas binaan ayat yang berbentuk ”Ini kerana ...” jelas merupakan terjemahan literal bagi ayat dalam bahasa Inggeris yang berbunyi, ”This is because ...” Oleh itu, sebenarnya binaan ini bukan binaan bahasa Melayu sejati. Hanya dalam bahasa lisan, atau bahasa basahan, penggunaan bentuk ini digunakan dan memang hal ini kerap berlaku.
“Kerana” ialah kata hubung yang mencantumkan dua ayat. Misalnya ayat “Dia tidak datang kerana ibunya sakit.” Dalam ayat ini, “kerana” menghubungkan ayat induk (Dia tidak datang) dengan ayat kecil keterangan (ibunya sakit). Dalam ayat ini, “kerana” ialah kata hubung ke-terangan.
   Ayat yang bermula dengan “Ini kerana ...”, seperti dalam ayat: “Ini kerana ibunya sakit”, adalah tidak tepat, disebabkan perkataan “kerana” tidak boleh berfungsi sebagai predikat kepada subjek “ini”. Maka binaan ayat ini patut diubah supaya “kerana” benar-benar berfungsi sebagai kata hubung. Contohnya: “Hal ini demikian kerana ibu-nya sakit”. Dalam ayat ini, ayat induk ialah “Hal ini demikian”, dan “kerana” yang mengikutinya kini berfungsi sebagai kata hubung.
   Soal binaan ayat begini memang mengelirukan kerana banyak orang kurang faham tentang golongan kata sesuatu perkataan, lantas berlaku kesalahan dalam menggunakan perkataan tersebut. Dalam contoh di atas, “kerana” yang tergolong sebagai kata hubung telah digunakan sebagai predikat ayat. Hal ini berlaku kerana pengaruh binaan bahasa Inggeris.
Satu lagi persoalan yang berkait dengan perkataan “kera-na” ialah dalam konteks penggunaan “oleh kerana”. “Oleh kerana” kerap digunakan bertukar ganti dengan “oleh sebab” yang berfungsi sebagai frasa sendi nama.
   Dalam binaan frasa sendi nama, frasa yang bermula de-ngan kata sendi nama mesti diikuti oleh kata nama. Kata sendi nama dalam frasa “oleh kerana” dan “oleh sebab”, ialah “oleh”. Yang menjadi persoalan ialah, apakah golongan kata “kerana” dan “sebab”?
“Kerana” dan “sebab” tergolong sebagai kata hubung. Ayat “Dia tidak datang kerana ibu-nya sakit”, misalnya, boleh juga menjadi “Dia tidak datang sebab ibunya sakit”. Ini membuktikan bahawa kedua-dua perkataan “kerana” dan “sebab” ialah kata hubung.
   Dalam bahasa Melayu terdapat perkataan yang boleh menduduki lebih daripada satu golongan kata, bergantung pada penggunaannya dalam ayat. Perkataan “dalam”, misalnya, berfungsi sebagai kata adjektif dalam ayat “Perigi itu sangat dalam”, dan berfungsi sebagai kata arah dalam ayat “Bukunya tersimpan di dalam almari”.
   Demikian juga halnya dengan perkataan “sebab”. Dalam ayat “Dia tidak datang sebab ibunya sakit”, kata “sebab” berfungsi sebagai kata hubung. Tetapi dalam ayat “Nyatakan empat sebab mengapa kamu tidak datang”, kata “sebab” berfungsi sebagai kata nama dan bukannya kata hubung.
   Penggunaan frasa nama “oleh sebab” adalah lebih tepat dalam bahasa Melayu kerana “sebab” boleh berfungsi sebagai kata nama, sedangkan “kerana” tidak tergolong sebagai kata nama. Misalnya kita tidak pernah menyatakan: “Nyatakan empat kerana mengapa kamu tidak datang”; melainkan “Nyatakan empat sebab mengapa kamu tidak datang”. Jelas, penggunaan “oleh kerana” tidak mematuhi hukum nahu bahasa Melayu.

(Sumber: Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim,
  Berita Harian 16 Ogos 2006
)

Kreativiti Guru dalam Pengajaran Bahasa (Pelita Bahasa, September 2012)

                      Kreativiti Guru dalam Pengajaran Bahasa


                                                                           Oleh
                                                                    Izani Hj Daud


Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini tidak lagi dibelenggu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata.  Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti pembelajaran. Mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam pengajaran sebagai rempah hidup di bilik darjah akan dapat mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya keberkesanan pembelajaran kepada pelajar itu sendiri . 
      Dalam penulisan ini, pemfokusan akan diberi kepada usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dalam proses P & P di bilik darjah untuk menarik minat pelajar untuk belajar.
Pemikiran kreatif adalah kebolehan mengambil kira maklumat tanpa mengasingkan ke dalam kotak-kotak tertentu. Satu kaedah berfikir yang memaksa kita mengenal pasti kaitan-kaitan baru antara fakta-fakta yang dilihat yang dapat menerbitkan idea yang menyimpang jauh daripada idea sedia ada (Pellegrino dan Politis, 1999). Manakala pemikiran inovatif pula adalah kebolehan mengubah suai kepada benda yang sedia ada untuk menjadi lebih baik dan berguna iaitu, sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru (Kamus Dewan, Edisi Ketiga, 1994).
         Guru berperanan menyampaikan  pengajaran kepada muridnya. Sejauh mana tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian guru itu sendiri . Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam ilmu pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah dan  teknik pengajaran yang berkesan . Antara   kaedah  dan  teknik  pengajaran  bahasa Melayu yang dikenal pasti sesuai untuk menarik minat pelajar ialah penggunaan keratan akhbar dalam pengajaran,  kerja kumpulan membina soalan, kaedah hafalan sifir bahasa, aktiviti minda kreatif dan bimbingan khusus pelajar lemah.

Penggunaan Keratan Akhbar dalam Pengajaran
Satu daripada kaedah yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah melalui penggunaan bahan bantu mengajar. Penggunaaannya bertujuan menarik perhatian pelajar supaya meminati pelajaran yang diajarkan. Hal itu dikatakan demikian kerana pengajaran secara langsung yang berterusan akan membosankan pelajar dan mampu menghilangkan semangat untuk belajar.      
 
Rasional penggunaan keratan akhbar sebagai bahan bantu mengajar disandarkan kepada pendapat seorang pakar pendidikan, Edgar Dale (1978) yang menggariskan tujuh kepentingan penggunaan BBM:
i.    merangsang minat yang tinggi dalam kalangan pelajar.
ii.    menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman serta corak pemikiran dan oleh itu mengurangkan pelbagai gerak lisan daripada pelajar.
iii.    membekalkan satu dasar untuk perkembangan pemelajaran pelajar dan oleh itu menjadikan pelajaran mereka lebih kekal.
iv.    menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperoleh dengan mudahnya melalui cara-cara lain.
v.    Menolong pelajar dalam kefahaman dan oleh itu mempercepat perkembangan perbendaharaan kata.
vi.    menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan kegiatan seorang pelajar.
vii.    mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikian menambahkan bacaan sukarela.
                                                  
      Berdasarkan hal yang diperkatakan oleh Dale,  nyatalah bahawa bahan bantu mengajar berupaya menanam minat dan mengembangkan kreativiti pelajar. Selain itu, bahan bantu mengajar dapat juga memberikan keseronokan kepada pelajar kerana dengan penggunaannya,  pelajar akan mengalami  situasi 
yang terkeluar daripada suasana pemelajaran biasa dan seterusnya dapat menghindarkan mereka daripada berasa bosan untuk belajar.

 Penggunaan keratan akhbar boleh dijalankan dengan membuat perancangan pada awal tahun lagi. Setiap pelajar akan diberi tugas secara bergilir-gilir untuk membuat keratan akhbar, berupa keratan rencana pengarang akhbar. Tarikh giliran itu ditetapkan oleh guru untuk satu tahun iaitu, satu sesi pengajian. Keratan akhbar tersebut akan ditampal pada setiap hari di dalam buku khas yang akan disimpan oleh setiausaha kelas.


                              
             Keratan rencana pengarang akhbar dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pelajar dalam aspek pengucapan lisan, terutama pelajar tingkatan  3 untuk ujian Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Aktiviti tersebut dapat dijadikan sebagai latihan sebelum mereka diuji untuk PLBS.

            Untuk aktiviti lisan, guru hendaklah memastikan setiap pelajar sentiasa bersedia dengan keratan rencana pengarang akhbar masing-masing. Pada setiap  hari,  iaitu  pada  sepuluh  minit   pertama  masa  pengajaran,  guru  akan 
meminta pelajar tampil ke hadapan bagi memperkatakan topik atau fakta yang terkandung dalam keratan rencana pengarang akhbar yang dibacanya. Fakta tersebut hendaklah diucapkan secara lisan tanpa merujuk keratan tersebut.

              Dengan cara itu, pelajar dapat dilatih menggunakan kreativiti sendiri untuk berucap di khalayak atau  pengucapan awam yang juga dapat menolong pelajar dalam ujian lisan. Selain itu, cara ini juga dapat melahirkan pelajar yang petah bercakap.
                       
       Keratan rencana pengarang akhbar juga dapat membantu pelajar dalam penulisan  karangan.  Melaluinya,  guru hendaklah  meminta  pelajar  menyenaraikan isi-isi  penting yang terdapat dalam keratan tersebut di dalam buku latihan sebelum ditampal di dalam buku khas yang disediakan. Semasa pelajar membentangkan keratan rencana pengarang akhbar di kelas, pelajar yang lain hendaklah membuat catatan di dalam buku latihan. Kaedah tersebut tentunya menjimatkan masa kerana dalam setahun, setiap pelajar hanya dikehendaki membuat tujuh hingga lapan keratan sahaja. Hasil daripada perkongsian antara pelajar, mereka berjaya mengumpul semua tajuk keratan rencana pengarang akhbar untuk setahun (365 buah keratan akhbar).

         Sepanjang sesi pengajian berlangsung, guru akan memilih tajuk yang tertentu daripada keratan rencana pengarang akhbar yang dikira penting untuk perbincangan di kelas bagi aktiviti penulisan karangan. Aktiviti tersebut akan memberikan keseronokan kepada pelajar kerana mereka dapat berkongsi bahan dan idea, serta dapat berbincang bersama-sama.
           
         
Kerja Kumpulan Membina Soalan
         Kerja kumpulan membina soalan boleh dipraktikkan dalam pembelajaran  komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Aktiviti ini memerlukan kreativiti dan mencabar minda pelajar.        
Untuk aktiviti ini para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan dibekalkan sebuah karya sastera yang terdapat dalam teks KOMSAS. Setiap anggota dalam kumpulan akan menyumbangkan idea untuk membina soalan dan menyediakan jawapan bagi setiap soalan yang dibina. Rasional  aktiviti ini dijalankan adalah untuk memastikan pelajar-pelajar membaca karya berkenaan dengan teliti. Hal ini kerana untuk membina soalan memerlukan `penggubal soalan’ itu benar-benar memahami jalan cerita dan setiap aspek sastera yang terkandung di dalamnya. Soalan yang akan dibina pula sudah tentulah aspek yang penting yang terkandung dalam karya sastera berkenaan, yakni soalan yang mencabar minda.

Menelaah teks komsas untuk aktiviti membina soalan
         Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal  pasti bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan. Pengalaman di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil daripada perbincangan dalam kumpulan.
       
Selepas aktiviti membina soalan dijalankan, sesi kuiz pula  diadakan. Guru akan mengumpul soalan-soalan yang dibina oleh pelajar dan memilih soalan-soalan yang sesuai untuk dijadikan soalan kuiz dengan sedikit pengubahsuaian. Selain dapat mencungkil kreativiti pelajar melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar-pelajar juga akan berasa bangga apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih. Manakala bagi mereka yang soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada sesi pembelajaran lain supaya soalan yang dibina akan terpilih. Suasana pembelajaran seperti ini akan mewujudkan iklim pembelajaran yang sihat kerana masing-masing pelajar bersaing antara satu sama lain membina soalan yang berkualiti untuk dipilih sebagai soalan kuiz.

               
Kaedah Hafalan Sifir Bahasa 
         Dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, khususnya dalam  tatabahasa yang rata-ratanya pelajar lemah dalam aspek ini, kaedah hafalan boleh diperkenalkan.
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana hafalan sifir dalam matematik, mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam bahasa. Hal ini demikian kerana terdapat banyak pelajar yang tidak mampu menggunakan kata dengan tepat. Dalam penulisan, penggunaan kata sendi nama dan kata hubung banyak digunakan. Maka, pelajar mesti cekap dalam kedua-dua penggunaan kata itu bagi menghasilkan penulisan yang baik, terutamanya dari segi penggunaan kata dalam ayat. Kata sendi dan kata hubung biasa sangat digunakan dalam penulisan sebagai perangkai kata atau penanda wacana. Perangkai kata digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, ayat dengan ayat dan perenggan dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak menguasai perangkai-perangkai kata itu,  sukar untuk mereka menggunakannya dalam penulisan.          
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan kata yang terdapat dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, tetapi kerap kali pelajar lupa akan fungsi kata bagi setiap kata atau bertukar antara satu sama lain. Contohnya, antara sendi nama dari dan daripada. Berdasarkan pengalaman penulis, diperhatikan bahawa pelajar kerap bertukar antara kedua-duanyanya. Contohnya;
        1)    *Ahmad menerima surat dari kawannya.
        2)    *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.

    Kedua-dua perkataan sendi nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1) sepatutnya menggunakan kata sendi daripada  manakala bagi ayat (2), kata sendi yang betul ialah dari. Hal itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak benar-benar faham akan fungsi atau penggunaan kata sendi berkenaan. Kata sendi dari hanya boleh digunakan untuk arah datangnya sesuatu dan untuk menyatakan permulaan masa. Kata sendi daripada pula digunakan  untuk hal-hal lain, seperti orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak dan untuk menunjukkan keanggotaan.

     Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku inilah memerlukan suatu perkaedahan dalam pengajaran dijalankan di dalam bilik darjah, salah satunya melalui aktiviti sifir bahasa.

Operasi Aktiviti Sifir Bahasa

1)    Kaedah hafalan atau Sifir Bahasa ini  digunakan
    untuk  mengajarkan kesemua jenis golongan kata.
2)    Fokus  diberikan kepada kata sendi nama dan kata hubung terlebih
dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap digunakan dalam penulisan sebagai penanda wacana atau perangkai kata.  Kemudian diikuti dengan golongan kata yang lain pula.
3)        Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata hubung  berserta
           dengan fungsi atau cara penggunaannya untuk dihafal di rumah.         
4)    Semasa di  bilik darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan hingga 10 minit pertama sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir bahasa. Guru akan meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan soalan terbuka menanyakan fungsi kata sendi nama atau kata hubung. 
5)    Pelajar yang tidak berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu membuat  kerja  rumah.  Pelajar  dikehendaki  merujuk  kepada  lima  kata
sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan fungsi setiap kata tersebut.
6)    Pada hari-hari yang berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini di  bilik darjah hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama dan kata hubung.
7)    Pada hari-hari seterusnya aktiviti golongan kata yang     lain pula dijadikan sebagai aktiviti seperti sebelumnya.
8)        Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Setelah kesemua golongan   
kata telah dijalankan, guru akan membuat ulangan untuk memantapkan   lagi ingatan dan kefahaman pelajar. 

   Kaedah  ini sangat berfaedah kepada pelajar.  Suasana yang menyeronok di  bilik darjah dengan sedikit `tekanan’ (denda) dapat membantu pelajar menguasai tatabahasa,  terutama   golongan kata. Dengan  menggunakan  sifir bahasa   pelajar akan bersedia sebelum memulakan sesi pembelajaran. Lebih daripada itu, aktiviti ini akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka akan membuat hafalan sebagaimana mereka menghafal sifir (kalian) untuk matematik.


Aktiviti Minda Kreatif

Kreativiti pelajar dapat dicungkil seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang boleh merangsang minda pelajar. Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran secara biasa tidak mampu menajamkan kreativiti pelajar.

   Pelajar yang dikategorikan sebagai remaja merupakan golongan yang mempunyai tingkat sensitiviti yang tinggi. Sensitiviti yang ada pada para remaja membolehkan mereka mengungkapkan kata-kata yang menghasilkan pelahiran perasaan dan membangkitkan rasa keindahan bahasa.  Kalangan   pelajar   atau            
remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 15 tahun berupaya merumuskan kata yang berkesan sehingga terbentuk satu rangkai kata yang boleh memberikan maksud dan kesan mendalam berupa kata-kata hikmat. Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk penulisan karangan kerana markah bonus ada diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang mampu memasukkan kata hikmat dalam penulisan karangan.

   Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam bilik darjah. Para pelajar diminta secara spontan menghasilkan ungkapan penarik atau kata-kata hikmat secara spontan dalam sesi pembelajaran. Pelajar-pelajar diberikan masa selama lebih kurang 25 minit untuk berfikir dan mengungkapkan kata. Pengalaman penulis mendapati hasilnya sangat mengagumkan apabila majoriti pelajar dapat menghasilkan kata-kata hikmat sendiri. Diperturunkan beberapa contoh kata hikmat yang dihasilkan oleh pelajar.
         

i.    Jadikan hari ini sebagai permulaan
dan hari esok sebagai penentuan hidup
anda.                              


ii.    Orang yang berjaya dengan cemerlang
dalam hidupnya ialah orang yang tidak
pernah memikirkan tentang kegagalan.
                                             
iii.    Setitis air tidak boleh menjadi selautan
air, tetapi sedikit ilmu boleh menjadi
selautan ilmu.

iv.    Latihan berterusan telusnya kemahiran.

v.    Setiap langkah adalah permulaan yang
akan menyelesaikan permasalahan.

vi.    Menyeru manusia kepada kebaikan adalah
sukar berbanding mengajak manusia ke
arah keburukan.

vii.    Pengalaman lalu tidak boleh dijadikan
pengalaman yang abadi untuk dicontohi.

viii.    Semalam merupakan kenangan manakala
hari esok merupakan harapan dan pastikan
harapan itu akan menjadi kenyataan.
          

        Aktiviti ini menjelaskan bahawa, pelajar peringkat sekolah pun mampu berfalsafah jika mereka diberi peluang.     Pembaharuan dalam P & P dapat menggalakkan pelajar untuk menulis kata-kata hikmatnya sendiri yang sudah tentulah akan dapat membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.


Bimbingan Khusus Pelajar Lemah

    Guru juga tidak seharusnya melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas yang diajar. Mereka tidak boleh diabaikan dan usaha hendaklah diambil menangani kelemahan pelajar. Untuk aspek penulisan umpamanya, guru boleh meminta pelajar menulis karangan dengan bimbingan guru. Misalnya, dalam penulisan ringkasan karangan, guru boleh membimbing pelajar menulis ringkasan karangan dengan cara menulis karangan yang tidak lengkap pada papan kapur. Dua kaedah boleh dijalankan oleh guru seperti di bawah.

        1)  Mengosongkan bahagian isi dalam karangan
             yang perlu dilengkapkan oleh pelajar.

        2)  Mengosongkan bahagian pangkal ayat untuk
             pelajar memasukkan penanda wacana yang
             sesuai dalam ayat.

    Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh pelajar tanpa jemu-jemu oleh guru. Pengalaman penulis dalam pengajaran kaedah ini sangat menakjubkan apabila didapati pelajar mampu menulis karangan dengan baik setelah menjalani latihan buat beberapa ketika.
    
Kesimpulan
         Kepelbagaian perkaedahan dalam mengajar adalah penting. Kaedah-kaedah yang telah diutarakan semuanya adalah berpusat kepada pelajar dan guru sebagai fasilitator, yang lebih menjurus kepada pembudayaan pemikiran pelajar yang kreatif dan inovatif.
Para pelajar akan seronok belajar apabila guru menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran. Keseronokan dalam menjalankan aktiviti  akan  menyebabkan  mereka  minat  untuk  belajar dan guru dapat menerapkan input-input berkaitan dengan kreativiti dan inovasi dalam P & P,  supaya nanti institusi sekolah bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi seorang pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan dalam usaha membangun modal insan minda kelas pertama sejajar dengan teras kedua yang terdapat dalam PIPP. Seterusnya, memenuhi keperluan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. 
           

Bibliografi

Edgar Dale 1978. The Good Mind : Phi Delta Kappa Educational
    Foundation.

Izani Hj Daud 2010. “Belajar Bahasa dengan Keratan Akhbar”. dlm.
    Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 05: 5 Mei. hlm. 24-25.
   
__________  2009. “Sifir Bahasa”. dlm. Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 04:
     4 April, hlm. 38-39.

Kamus Dewan 1994(Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.   

Pellegrino,Richard & Politis,Michael 1999. Improving Your IQ..New York :
    A Simon & Schuster Macmillan Company.

Wednesday, 12 September 2012

Karangan Pelajar SMK Salor


                           Pemupukan Semangat Patriotik dalam Kalangan Remaja
                                                                            Oleh
                                                  Quistien bt. Muhammad Jauhari
                                                                Tingkatan 2 Alpha
                                                          SMK. Salor, Kota Bharu

Semangat patriotik bermaksud semangat cinta akan tanah air. Semangat ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Banyak pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memupuk semangat patriotik yang semakin menipis dalam kalangan remaja masa kini.

       Bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja, setiap remaja itu hendaklah mempunyai kesedaran diri. Remaja itu sendiri berperanan penting dalam memupuk semangat patriotik dalam diri mereka. Terdapat banyak cara bagi memupuk semangat patriotik ini.

       Antaranya ialah, mereka mestilah muhasabah diri mereka sendiri. Mereka hendaklah bersyukur dengan nikmat yang diberikan selama ini. Nikmat keharmonian dan keamanan adalah daripada titik peluh tokoh-tokoh yang telah berjaya mempertahankan kedaulatan dan martabat bangsa kita iaitu bangsa Melayu daripada terus dijajah oleh kuasa asing. Jika tiada pengorbanan dan perjuangan tokoh-tokoh pada zaman sebelum kemerdekaan, tidak mungkin kita akan hidup aman dan sentosa kerana kita berada di bawah kekuasaan penjajahan British.

       Selain itu, setiap remaja perlulah mengetahui peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah berlaku kepada tanah air mereka. Bagi mendapatkan maklumat serta informasi tentang peristiwa tersebut, remaja mestilah melayari internet, membaca buku-buku, mendengar pengalaman ahli keluarga yang sempat merasai kesusahan zaman sebelum kemerdekaan dan sebagainya. Hal demikian dapat memberi contoh dan gambaran kepada remaja bahawa mereka perlu mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa tersebut.

       Pihak seterusnya yang berperanan dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja ialah ibu bapa. Ibu bapa berperanan penting dalam memupuk semangat patriotik dalam diri anak mereka. Banyak langkah yang perlu dipraktikkan oleh setiap ibu bapa bagi memupuk semangat patriotik ini.

       Antara langkah tersebut ialah, ibu bapa mestilah kerap menyelitkan unsur-unsur patriotik dalam setiap nasihat yang diberikan kepada anak-anak yakni para remaja. Sebagai contoh, apabila anak-anak membazirkan makanan, ibu bapa hendaklah menasihatinya dengan menceritakan tentang kehidupan masyarakat pada zaman dahulu yang susah dan seringkali tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Dengan ini, anak-anak dapat menginsafi dan menjadikan pengalaman menyedihkan masyarakat terdahulu sebagai contoh dalam meneruskan kehidupan.
       Dalam pada itu, pembelian bahan bacaan haruslah turut dilakukan oleh setiap ibu bapa. Bahan bacaan itu mestilah berunsurkan patriotisme dan mengandungi pelbagai maklumat dan informasi tentang sejarah-sejarah terdahulu serta peristiwa yang pernah berlaku dalam negara kita. Kekerapan membeli bahan bacaan berunsurkan patriotisme kepada anak-anak dapat menambahkan ilmu pengetahuan serta minat membaca dan secara tidak langsung dapat menerapkan nila-nilai patriotik dalam diri mereka.

       Pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan remaja. Selain ibu bapa, pihak sekolah adalah pihak yang paling dekat dengan remaja. Pihak sekolah wajib menerapkan serta menyemai semangat patriotik dalam diri remaja.

       Cara-cara yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah ialah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat sekolah pada setiap tahun. Dalam pada itu, pihak sekolah hendaklah menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang menarik bagi menarik minat para pelajar untuk menyertainya. Dengan adanya penyertaan para pelajar ini, mereka dapat menghayati setiap pertandingan yang diadakan. Semakin banyak pertandingan yang berunsurkan patriotisme, semakin banyak input dan maklumat yang dapat diperolehi oleh setiap pelajar.Hal ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan para pelajar  khususnya ilmu yang berunsurkan patriotisme.

       Seterusnya, inisiatif lain yang perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik ialah, memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sejarah di sekolah. Dengan ini, setiap pelajar dapat memahami dan mengenal pasti sejarah negara, pelajar-pelajar dapat memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah. Maklumat yang diperolehi secara tidak langsung dapat menginsafi para pelajar.

       Sebagai kesimpulan, semangat patriotik adalah sangat penting bagi setiap remaja. Banyak langkah dan cara serta inisiatif yang perlu dilakukan oleh remaja, ibu bapa dan pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik ini. Mereka semua memainkan peranan yang penting dalam menyemai serta menanam semangat agar mencintai tanah air. 

Tuesday, 11 September 2012

Perbezaan Perkataan `banyak’ dan `ramai’


Banyak pengguna bahasa yang mengalami kekeliruan tentang penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai’ dalam ayat. Lihat penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai dalam ayat yang di bawah ini.



1. Ramai orang di stadium yang menonton perlawanan itu.

2. Banyak orang di stadium yang menonton perlawanan itu.



Persoalan yang hendak dikemukakan di sini ialah ayat manakah yang betul dan tepat. Oleh sebab kedua-dua perkataan ini kelihatan hampir sama, kedua-dua perkataan tersebut seakan-akan dapat bertukar ganti tanpa mengubah maksud. Namun demikian, kedua-dua perkataan itu membawa makna yang berbeza apabila menerima apitan ke-....-an. Perkataan yang terbentuk, iaitu keramaian dan kebanyakan sungguh berbeza makna dan penggunaannya dalam ayat. Sebagai contohnya, frasa `majlis keramaian’ tidak boleh digantikan dengan frasa `majlis kebanyakan’. Lihat ayat yang di bawah ini:



3(a). Penyanyi lagu asli itu sering diundang untuk membuat persembahan di majlis keramaian. [Betul]

3(b). Penyanyi lagu asli itu sering diundang untuk membuat persembahan di majlis kebanyakan. [Salah]



Dalam hal ini, frasa nama `majlis keramaian’ menunjukkan suasana sama ada rasmi atau tidak rasmi. Oleh itu, frasa nama `majlis kebanyakan' tidak tepat.

Frasa `orang kebanyakan’ pula tidak boleh bertukar ganti dengan frasa `orang keramaian’. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:



4(a). Putera raja negeri itu berkahwin dengan orang kebanyakan. [Betul]

4(b). Putera raja negeri itu berkahwin dengan orang keramaian. [Salah]



Selain itu, perkataan `kebanyakan’ dan `keramaian’ memperlihatkan perbezaan yang nyata seperti yang terdapat dalam ayat yang di bawah ini:



5(a). Kebanyakan murid sekolah ini berasal dari kawasan pedalaman. [ Betul]

5(b). Keramaian murid sekolah ini berasal dari kawasan pedalaman. [Salah]



Ayat (3) hingga (5) di atas membuktikan bahawa maksud dan pengunaan perkataa `ramai’ dengan `banyak’ berbeza. Sila lihat pantun dua kerat yang di bawah ini pula:



Banyak udang, banyak garam.

Banyak orang, banyak ragam.



Sila lihat pantun tersebut apabila menggunakan perkataan `ramai’:



Ramai udang, ramai garam.

Ramai orang, ramai ragam.



Hal ini juga menunjukkan bahawa perkataan `banyak’ dan `ramai’ berbeza maksud dan penggunaannya.



Hal ini membuktikan bahawa perkataan `ramai’ lebih sesuai digunakan untuk menggambarkan suasana. Jika suasana di stadium itu riuh rendah, perkataan atau frasa yang sesuai ialah `ramai orang’. Jika suasananya senyap sunyi (contohnya, semua orang di dalam stadium sedang bertafakur), perkataan atau frasa’ yang sesuai digunakan ialah `ramai orang’ juga.



Walaupun keadaannya sunyi, perkataan `ramai' juga digunakan. Penggunaan perkataan `banyak' memerlukan kita ingin mengetahui jumlahnya. Sebagai contohnya:



6. Banyak penyokong Kelantan yang akan menyaksikan perlawanan pada malam ini.

Namun demikian, Kamus Dewan Edisi Keempat pula tidak membezakan penggunaan perkataan `ramai’ dengan `banyak’. Semua pengguna bahasa perlulah memahami bahawa Kamus Dewan merakamkan apa-apa sahaja yang dituturkan oleh pengguna termasuk bahasa yang baku dengan bahasa yang tidak baku. Maksud yang baku bagi perkataan `banyak’ ialah jumlah yang merujuk bilangan yang melebihi satu atau seorang. Jumlahnya dapat diketahui jika dibilang atau dikira. Ayat contoh:



7. Banyak murid yang ponteng sekolah pada hari ini.

8. Saya telah menyemak banyak buku latihan murid pada hari ini.

9. Murid itu membeli pelbagai barang kerana banyak duit.

10.Guru bahasa Melayu itu bimbang kerana masih banyak murid di kelasnya yang lemah dalam penulisan karangan.

11. Kita mestilah banyak membaca buku atau majalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri.



Maksud yang baku bagi perkataan `ramai’ pula ialah jumlah yang melebihi seorang berdasarkan suasana. Jumlahnya pula tidak perlu diketahui. Ayat contoh:



12. Ramai penonton yang memenuihi stadium ketika Selangor menentang pasukan Kelantan pada malam tadi.

13. Pada pagi itu, ramai orang yang bersesak-sesak di stesen komuter itu untuk pergi ke tempat kerja.

14. Semasa perhimpunan itu, ramai orang yang bertempiaran lari apabila pihak polis menyemburkan gas pemedih mata.

15. Dalam kejohanan olahraga sekolah itu, ramai ibu bapa yang hadir untuk menyaksikan anak masing-masing mengambil bahagian.

16. Semasa pertunjukan akrobatik itu, ramai penonton yang hadir bersama-sama anak kecil mereka.



Sila teliti ayat yang di bawah ini:



17(a). Keramaian murid yang ponteng sekolah pada hari ini daripada kelas tingkatan 5.[Salah]

17(b). Kebanyakan murid yang ponteng sekolah pada hari ini daripada kelas tingkatan 5.[Betul]



18(a). Ramai kasut diletakkan di halaman rumah.[Salah]

18(b). Banyak kasut diletakkan di halaman rumah.[Betul]



Apakah perbezaan antara frasa `ramai orang' dengan `orang ramai'?

Frasa `ramai orang’ menunjukkan suasana, iaitu orang yang berada di sesuatu tempat kerana sesuatu aktiviti, program atau kejadian.



Ayat contoh:



19.Ramai orang yang menyaksikan kemalangan ngeri itu.

Frasa nama `orang ramai’ pula bermaksud masyarakat atau orang awam.



20. Perdana Menteri mempersilakan orang ramai untuk menghadiri majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Aidifitri.



Berkaitan dengan hal ini pula, banyak pelajar yang mengalami kekeliruan tentang ejaan perkataan `kebanyakan sama ada ditulis dengan satu `k’(kebanyakan) atau dua `k’ (kebanyakkan).



Oleh sebab perkataan `kebanyakan' kata nama, perkataan ini hendaklah ditulis dengan satu `k’. Bagi perkataan yang digolongkan sebagai kata kerja seperti `membanyakkan', dua `k’ diperlukan.



Persoalan lain yang timbul tentang isu ini ialah bolehkah kata bilangan tak tentu seperti banyak, sedikit, ramai, sebilangan, dan sebagainya digunakan untuk orang ramai?



Jika anda telah memahami penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai’, sila kenal pasti penggunaan perkataan `banyak’ dan `ramai’ yang tepat di bawah ini:



21. Banyak kasut yang hilang di masjid pada setiap hari Jumaat.

22. Ramai bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan sekolah kita.

23. Ramai orang yang menyaksikan pertunjukan itu.

24. Orang banyak dinasihati supaya menjimatkan penggunaan air.

25. Majlis keramaian itu diadakan bersempena dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Pelajaran.

26. Orang kebanyakan menjadi pilihan putera raja itu sebagai isteri.



Sila teliti ayat yang di bawah ini pula:

27. Tidak ramai orang yang hadir menyaksikan pertunjukan itu.(Berdasarkan majlis/aktiviti pada masa tersebut)

28. Tidak banyak orang yang akan hadir menyaksikan pertunjukan itu.(Berdasarkan senarai pengunjung)

29. Sedikit orang yang hadir menyaksikan pertunjukkan itu.(suasana)

30. Hanya sebilangan orang yang tidak makan makanan ini. (Bilangan yang kecil jumlahnya)



Sebagai kesimpulannya, perkataan `banyak’ dan `ramai’ memperlihatkan pelbagai penggunaan sama ada pembentukan frasa atau pengimbuhan seperti banyak orang, ramai orang, majlis keramaian dan juga keramaian dan kebanyakan. Perkataan `ramai' hanya digunakan untuk merujuk manusia dan menunjukkan suasana. Perkataan `banyak' pula digunakan untuk merujuk manusia dan bukan manusia dari segi bilangan atau jumlah.



(Sumber: Minda Berita Harian, 27 Mac 2012)
Perbezaan antara `boleh’ dengan `dapat’
 
Kata ‘boleh’ dan ‘dapat’ kedua-duanya tergolong sebagai kata bantu yang hadir sebelum frasa, yang bertugas membantu frasa kerja dan frasa sendi nama. Kata ‘boleh’ membawa unsur keizinan atau kebenaran dan tidak menyalahi peraturan. Manakala kata dapat membawa unsur upaya. Contoh penggunaan bagi kedua-dua kata tersebut adalah seperti yang berikut:

a. Kamu boleh menyertai rombongan itu kalau diizinkan ayah.
b. Permit yang diberi boleh ditarik balik.
c. Zainal begitu gembira dapat melakonkan watak Hang Tuah.
d. Saadiah masih belum dapat melelapkan matanya.

Kata ‘dapat’ sering disalahgunakan dengan ‘boleh’.
Contoh:
Puisi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis (salah).
Puisi dapat dibahagikan kepada beberapa jenis (betul).

Kadang-kadang kata ‘boleh’ itu sebenarnya bermaksud ‘mungkin’.
Contoh:
Perkara ini boleh berlaku apabila kita hilang tumpuan (salah).
Perkara ini mungkin berlaku apabila kita hilang tumpuan (betul).
 

Sumber:  http://cikguariff.blogspot.com/2008/09/perbezaan-antara-boleh-dengan-dapat.html

Puisi Selepas `Haji' (Majalah Jelita, Februari 2011)

Puisi

Selepas `Haji' 
( Buat Diri & Rakan )
   

Selepas Haji
murninya jiwa sanubari
sucinya hati nurani
ibadah dikerja seikhlas hati
bagaikan lahirnya anak kecil
belum dijamah noda


Selepas Haji
bulat tekad buah keimanan
berlilit takwa amalan
keberkatan dan kerahmatan
melimpahi laman


Selepas Haji
jauhi maksiat kemungkaran melingkari
hindari mazmumah bisa mencemari
moga terpelihara ibadah suci
Haji mabrur anugerah diidami.


IZANI   H . D .
Darul Naim.

Sunday, 9 September 2012

Penggunaan Kata `pun'



Penggunaan 'pun' yang ditulis bergabung dengan perkataan sebelumnya merupakan golongan kata pangkal ayat, kata hubung, dan sebagainya. 

Terdapat sejumlah perkataan yang berbentuk demikian seperti 'adapun', 'ataupun', 'andaipun', 'bagaimanapun', 'biarpun', 'kendatipun', 'kalaupun', 'lagipun', 'mahupun', 'meskipun', 'sekalipun', 'sungguhpun', dan 'walaupun'.

Penggunaan 'pun' yang ditulis terpisah pula membawa maksud 'juga', 'bahkan', serta 'biar' dan membentuk perkataan yang tergolong dalam kata penegas, atau disebut partikel.  Perkataan-perkataan lain ialah 'sudah pun', 'apa pun', 'apa-apa pun', 'dia pun', 'mereka pun' dan sebagainya.

Perhatikan dua ayat berikut :

1)  Adapun istana raja itu terletak di puncak Bukit Seguntang.
2)  Kedua-dua adik-beradik kembar itu ada pun di majlis itu. 

'Pun' dalam ayat (1) merupakan kata pangkal ayat dan 'pun' dalam ayat (2) ditulis terpisah kerana bermaksud 'juga'.

Sumber : Murninya Bahasaku