Wednesday, 12 September 2012

Karangan Pelajar SMK Salor


                           Pemupukan Semangat Patriotik dalam Kalangan Remaja
                                                                            Oleh
                                                  Quistien bt. Muhammad Jauhari
                                                                Tingkatan 2 Alpha
                                                          SMK. Salor, Kota Bharu

Semangat patriotik bermaksud semangat cinta akan tanah air. Semangat ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Banyak pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memupuk semangat patriotik yang semakin menipis dalam kalangan remaja masa kini.

       Bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja, setiap remaja itu hendaklah mempunyai kesedaran diri. Remaja itu sendiri berperanan penting dalam memupuk semangat patriotik dalam diri mereka. Terdapat banyak cara bagi memupuk semangat patriotik ini.

       Antaranya ialah, mereka mestilah muhasabah diri mereka sendiri. Mereka hendaklah bersyukur dengan nikmat yang diberikan selama ini. Nikmat keharmonian dan keamanan adalah daripada titik peluh tokoh-tokoh yang telah berjaya mempertahankan kedaulatan dan martabat bangsa kita iaitu bangsa Melayu daripada terus dijajah oleh kuasa asing. Jika tiada pengorbanan dan perjuangan tokoh-tokoh pada zaman sebelum kemerdekaan, tidak mungkin kita akan hidup aman dan sentosa kerana kita berada di bawah kekuasaan penjajahan British.

       Selain itu, setiap remaja perlulah mengetahui peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah berlaku kepada tanah air mereka. Bagi mendapatkan maklumat serta informasi tentang peristiwa tersebut, remaja mestilah melayari internet, membaca buku-buku, mendengar pengalaman ahli keluarga yang sempat merasai kesusahan zaman sebelum kemerdekaan dan sebagainya. Hal demikian dapat memberi contoh dan gambaran kepada remaja bahawa mereka perlu mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa tersebut.

       Pihak seterusnya yang berperanan dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja ialah ibu bapa. Ibu bapa berperanan penting dalam memupuk semangat patriotik dalam diri anak mereka. Banyak langkah yang perlu dipraktikkan oleh setiap ibu bapa bagi memupuk semangat patriotik ini.

       Antara langkah tersebut ialah, ibu bapa mestilah kerap menyelitkan unsur-unsur patriotik dalam setiap nasihat yang diberikan kepada anak-anak yakni para remaja. Sebagai contoh, apabila anak-anak membazirkan makanan, ibu bapa hendaklah menasihatinya dengan menceritakan tentang kehidupan masyarakat pada zaman dahulu yang susah dan seringkali tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Dengan ini, anak-anak dapat menginsafi dan menjadikan pengalaman menyedihkan masyarakat terdahulu sebagai contoh dalam meneruskan kehidupan.
       Dalam pada itu, pembelian bahan bacaan haruslah turut dilakukan oleh setiap ibu bapa. Bahan bacaan itu mestilah berunsurkan patriotisme dan mengandungi pelbagai maklumat dan informasi tentang sejarah-sejarah terdahulu serta peristiwa yang pernah berlaku dalam negara kita. Kekerapan membeli bahan bacaan berunsurkan patriotisme kepada anak-anak dapat menambahkan ilmu pengetahuan serta minat membaca dan secara tidak langsung dapat menerapkan nila-nilai patriotik dalam diri mereka.

       Pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan remaja. Selain ibu bapa, pihak sekolah adalah pihak yang paling dekat dengan remaja. Pihak sekolah wajib menerapkan serta menyemai semangat patriotik dalam diri remaja.

       Cara-cara yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah ialah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat sekolah pada setiap tahun. Dalam pada itu, pihak sekolah hendaklah menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang menarik bagi menarik minat para pelajar untuk menyertainya. Dengan adanya penyertaan para pelajar ini, mereka dapat menghayati setiap pertandingan yang diadakan. Semakin banyak pertandingan yang berunsurkan patriotisme, semakin banyak input dan maklumat yang dapat diperolehi oleh setiap pelajar.Hal ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan para pelajar  khususnya ilmu yang berunsurkan patriotisme.

       Seterusnya, inisiatif lain yang perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik ialah, memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sejarah di sekolah. Dengan ini, setiap pelajar dapat memahami dan mengenal pasti sejarah negara, pelajar-pelajar dapat memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah. Maklumat yang diperolehi secara tidak langsung dapat menginsafi para pelajar.

       Sebagai kesimpulan, semangat patriotik adalah sangat penting bagi setiap remaja. Banyak langkah dan cara serta inisiatif yang perlu dilakukan oleh remaja, ibu bapa dan pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik ini. Mereka semua memainkan peranan yang penting dalam menyemai serta menanam semangat agar mencintai tanah air. 

No comments:

Post a Comment