Tuesday, 10 January 2012

Dewan Siswa, Januari 2012


Yakin Diri Membawa Jaya
Oleh:Izani Hj Daud
                                                                                                                  
Tidak semua orang mempunyai keyakinan dalam diri  sendiri, yakni tidak percaya kebolehan yang ada pada diri sendiri. Keadaan inilah yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk berjaya dalam hidup atau dalam sesuatu perkara yang diceburinya.

          Terdapat banyak faktor yang menyumbangkan kejayaan seseorang seperti faktor usaha, kebolehan, sokongan, kewangan dan sebagainya. Tetapi yang menjadi tonggak kepada kejayaan adalah keyakinan yang ada pada diri seseorang itu.

          Apakah yang dimaksudkan dengan keyakinan ? Secara lebih khusus, keyakinan bermaksud betul-betul percaya akan sesuatu. Contohnya, seorang yang berhasrat untuk menjadi jutawan. Jika seorang itu yakin pada dirinya, maka beliau benar-benar percaya suatu masa nanti dia akan mendapat apa yang dicitakannya. Adakah dengan mempunyai keyakinan atau kepercayaan penuh untuk memiliki sesuatu perkara itu sudah cukup untuk menjamin bahawa seorang itu akan berjaya ?

          Sebenarnya seorang yang berkeyakinan adalah memiliki amalan atau ciri-ciri tertentu dalam dirinya seperti bercita-cita tinggi, berazam, tidak mudah putus asa, sentiasa mengejar peluang, bertindak cepat dan kreatif.

          Bercita-cita tinggi merupakan ciri yang paling utama yang seharusnya ada pada seorang yang berkeyakinan. Hal ini kerana cita-cita yang menggunung tinggi itu akan menyebabkan keinginan dan hasratnya sentiasa berkobar-kobar untuk mendapatkan apa yang dicitakannya. Selagi apa yang dikehendakinya tidak tercapai maka selagi itulah dia akan berusaha. Mempunyai cita-cita adalah penting dalam kehidupan seseorang. Misalnya, seorang pelajar seharusnya mempunyai cita-cita yang jelas apabila tamat pengajian nanti. Dengan adanya cita-cita membolehkan seseorang individu itu merancang masa depannya.

          Cita-cita mempunyai pengaruh yang besar pada diri seorang pelajar tidak kira sama ada pelajar itu seorang yang cerdas atau seorang yang lemah. Bagi seorang pelajar yang lemah sekalipun jika dia mempunyai cita-cita dia boleh berjaya. Hal ini disebabkan walaupun dia seorang yang lemah tetapi dengan sikap yakin diri, sekali gagal tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus belajar dan menduduki peperiksaan. Buktinya jelas, ramai pelajar yang lemah semasa di bangku sekolah berjaya dalam pelajaran mereka kerana berkat cita-cita yang tidak pernah padam dalam dirinya sehingga dia terus berusaha mencapai kejayaan.

          Keazaman yang tinggi juga merupakan ciri seorang yang yakin pada diri. Keazaman yang tinggi atau yang sangat kuat akan menjadi penggerak bagi seseorang itu untuk melakukan sesuatu pekarjaan. Unsur-unsur keazaman akan dapat dilihat melalui kesungguhan seseorang itu bekerja dan percakapannya sentiasa bersemangat. Walaupun ada pendapat mengatakan keazaman tidak boleh diukur menerusi percakapan tetapi bagi seorang yang bermaruah atau yang mempunyai harga diri, dia akan mengotakan apa yang dikatakannya.  
          Seorang yang berkeyakinan juga tidak pernah kecewa atau putus asa. Perasaan kecewa tidak pernah ada dalam kamus kehidupan orang yang yakin akan dirinya. Misalnya, kita biasa mendengar orang yang berjaya dalam bidang perniagaan sehingga menjadi jutawan. Adakah semudah itu mereka berjaya ke puncak kegemilangan yang diidamkan semua ? Sebenarnya mereka ini mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran sebelum berjaya. Mereka pernah jatuh dan bangun sebelum berjaya. Ramai yang kecundang apabila mengalami kerugian, tetapi bagi mereka yang berkeyakinan tidak akan mudah kecewa, malah mereka akan bangun semula dan mengambil pengalaman dan iktibar daripada apa yang telah berlaku ke atas dirinya untuk dijadikan panduan pada masa hadapan. Hal ini menunjukkan bahawa seorang yang mempunyai keyakinan akan selamanya tidak putus asa.

           Selain itu seorang yang berkeyakinan sentiasa mencari peluang untuk mencuba. Mereka berani menceburkan diri mereka dalam sesuatu perkara yang baru. Contohnya, dalam bidang perniagaan seperti memasarkan produk baru, sudah tentu banyak cabaran yang akan dihadapi. Tetapi jika usahanya itu berjaya maka dia akan mendapat pulangan yang besar. Jadi keyakinan yang ada membolehkan seseorang itu merebut peluang keemasan dengan mudah.

          Amalan lain bagi orang yang mempunyai keyakinan diri ialah bertindak segera dalam sesuatu pekerjaaan atau urusan yang dilakukannya. Keyakinan yang ada pada dirinya menyebabkan dia tidak ragu-ragu dan tidak syak untuk bertindak atau membuat sesuatu keputusan. Dia percaya apa yang dilakukannya itu betul dan akan mendatangkan hasil yang baik. Bagi mereka yang tidak mempunyai keyakinan tentunya tidak akan cepat bertindak, teragak-agak dan lebih mengambil sikap tunggu dan lihat. Akhirnya pekerjaan yang hendak dilakukannya terbengkalai.

          Akhir sekali orang yang berkeyakinan diri adalah seorang yang kreatif. Kekreatifan yang ada pada dirinya menyebabkan dia sentiasa mempunyai pilihan atau alternatif dalam hidupnya. Umpamanya dalam melakukan sesuatu dia mempunyai banyak alternatif atau pilihan dalam usaha menuju ke destinasi jayanya. Dengan perkataan lain dia akan mencari atau menggunakan pelbagai cara dan pendekatan untuk mencapai hasratnya.

          Tegasnya, orang yang berkeyakinan diri mempunyai amalan atau ciri-ciri positif dalam dirinya. Kesepaduan komponen ciri-ciri positif inilah menyebabkan ia menjadi seorang yang yakin akan dirinya seterusnya berjaya dalam hidup.       

(Dewan Siswa, Januari 2012)

No comments:

Post a Comment