Thursday, 15 December 2011

Bahasa Mempengaruhi Kejayaan Pelajar (Pelita Bahasa, Februari 1998)

BAHASA MEMPENGARUHI KEJAYAAN PELAJAR

Oleh
Izani Hj Daud



Peperiksaan adalah suatu peristiwa yang besar dalam kehidupan seorang individu pelajar. Hal ini demikian kerana peperiksaanlah yang akan menentukan sama ada cerah atau sebaliknya masa depan pelajar.

          Peperiksaan merupakan suatu penilaian yang dijalankan untuk menguji sejauh manakah kecekapan calon dalam menjawab soalan. Soalan yang diajukan akan menguji ingatan pelajar terhadap suatu fakta atau teori. Oleh itu ingatan dan kecekapn calon adalah penting dalam menjawab soalan. Secara mudahnya, ada fakta maka markah akan diperoleh dan begitulah sebaliknya.

          Walau bagaimanapun, sekadar mengingat fakta kadangkala tidak menjamin seseorang calon itu lulus atau cemerlang, pelajar harus menyampaikan atau mengaplikasikan fakta yang ada agar menepati kehendak soalan. Di sinilah bahasa memainkan peranan yang sangat penting. Seseorang yang lemah dalam penggunaan bahasa tidak akan berupaya untuk memaparkan idea dengan baik kerana bahasa merupakan media untuk menyampaikan sesuatu dalam bentuk tulisan. Fakta yang ada akan menjadi sia-sia sekiranya tidak dapat disampaikan mengikut kehendak soalan. Contohnya, ayat tergantung atau ayat yang tidak mempunyai penerangan dan penjelasan yang lanjut sudah tentulah tidak akan mendapat markah yang baik. Ayat yang tergantung akan memberikan gambaran bahawa pelajar tidak dapat memperkembang sesuatu idea dengan baik. Pelajar itu mungkin tahu semua fakta, tetapi disebabkan penguasaan bahasanya lemah, dia gagal menjawab soalan dengan baik.

          Kelemahan dalam penguasaan bahasa juga akan menyebabkan seseorang pelajar membuat tanggapan yang salah atau tidak tepat terhadap sesuatu istilah yang digunakan dalam soalan peperiksaan. Misalnya, soalan yang berbunyi:


                   Huraikan dengan jelas pelbagai bentuk
                   kepercayaan keagamaan dan amalan adat
                   masyarakat Arab Pra-Islam.
                   (Soalan Sejarah STPM)


          Soalan ini mudah difahami. Soalan meminta calon menghuraikan sesuatu. Istilah “huraikan” bermaksud, calon diminta memberikan keterangan untuk menjelaskan sesuatu. Dalam konteks soalan ini, calon diminta menerangkan:
a)    bentuk-bentuk kepercayaan keagamaan masyarakat
Arab pra-Islam DAN
b)   amalan adat masyarakat Arab pra-Islam.

Calon-calon hanya dikehendaki menyenaraikan perkara- perkara di atas dalam bentuk esei. Jika calon boleh berbuat demikian, maka calon akan mendapat markah yang baik.

Ada juga soalan yang meminta calon membuat penilaian terhadap sesuatu seperti:

Nilaikan secara kritikal tentang gerakan antikerajaan
Islam yang dikenali sebagai riddah setelah wafatnya
Rasulullah s.a.w.
(Soalan Sejarah STPM)


Istilah yang digunakan dalam soalan ialah “nilaikan secara kritikal”. Bentuk soalan ini berbeza daripada soalan ”huraikan”. Dalam soalan berbentuk huraian, calon hanya perlu menghuraikan sesuatu dengan membuat huraian terus yakni memaparkan segala fakta yang berkaitan. Tetapi bagi soalan bentuk penilaian, selain calon dikehendaki mengemukakan fakta, calon juga hendaklah menyatakan pandangan atau pendapat sendiri yakni memberikan komen atau ulasan supaya jawapan yang diberi kelihatan kritis dan analitis.

Terdapat banyak lagi istilah yang digunakan dalam soalan; seperti “jelaskan”, “sejauh manakah”, “bincangkan”, dan lain-lain lagi. Pelajar hendaklah dapat membezakan istilah-istilah ini dengan berbincang dengan guru.

Selain itu, pelajar hendaklah memahami frasa-frasa yang digunakan dalam soalan. Frasa-frasa yang dimaksudkan berupa kata-kata kunci yang digunakan dalam soalan. Frasa yang digunakan sangat mustahak untuk diberi perhatian kerana melaluinya calon akan mengetahui kehendak soalan. Dengan kata kunci ini calon juga akan dapat mengetahui bahagian atau pecahan soalan.

Contohnya:

   Bincangkan tujuan penaklukan negeri Mesir
   oleh Khalifah Umar Al-Khattab dan analisiskan       
   faktor yang membawa kejayaan operasi itu.
   (Soalan Sejarah STPM)


          Soalan di atas mengandungi dua bahagian. Pertama, tujuan penaklukan dan kedua, factor kejayaan. Calon tidak teliti atau tidak memahami soalan berkemungkinan hanya menjawab bahagian pertama sahaja. Walaupun calon menjawab (bahagian pertama) dengan panjang lebar tetapi markah yang akan diperoleh hanyalah sebahagian daripada markah penuh yang diperuntukkan.

          Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian dalam menjawab soalan peperiksaan ialah ejaan. Dalam menjawab soalan peperiksaan mata pelajaran bahasa Melayu, kesalahan ejaan sudah tentulah akan menyebabkan markah dipotong. Walaupun dalam mata pelajaran lain seperti Sejarah atau Geografi aspek ejaan tidak diambil kira tetapi kesalahan ejaan yang banyak akan menyukarkan pembacaan, lebih-lebih lagi jika tulisan calon sukar dibaca. Apabila keadaan ini berlaku sudah tentulah akan menjejaskan pemarkahan.

          Di samping itu, struktur ayat yang tidak betul juga akan memberi kesan kepada jawapan yang disampaikan oleh calon. Struktur ayat yang tunggang langgang menyebabkan fakta yang hendak dikemukakan tidak kesampaian. Biasanya calon kategori ini akan menulis jawapan dengan menggunakan ayat panjang yang berbelit-belit yang akhirnya menyebabkan jawapan terpesong.

          Tegasnya, selain fakta yang diperlukan dalam jawapan peperiksaan, tahap penguasaan bahasa juga adalah penting untuk menjamin kejayaan seseorang pelajar. Sebab itulah dikatakan bahawa pelajar yang mahir dalam penguasaan bahasa mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.

 ( Pelita Bahasa, Februari 1998 )

No comments:

Post a Comment