ASPEK KAJIAN SASTERA UNTUK TEKS KOMSAS
Oleh
Izani Hj Daud
Komponan sastera dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu diperkenalkan dengan tujuan untuk mendedahkan
bidang sastera kepada semua pelajar, baik pelajar aliran sastera mahupun
pelajar aliran sains. Langkah tersebut membolehkan mereka yang berada dalam
aliran bukan sastera turut mengetahui perkembangan sastera tanah air.
Ada tujuh aspek yang perlu dikaji untuk teks KOMSAS, iaitu sinopsis, tema, persoalan, watak dan perwatakan, latar, nilai, gaya bahasa dan pengajaran.
Sinopsis merupakan ringkasan tentang
cerita yang dibuat lebih kurang 100 hingga 150 perkataan. Sinopsis meliputi
perkara penting dalam cerita yang mengandungi huraian cerita mengikut urutan
masa berdasarkan plot. Melalui sinopsis, tema, persoalan, mesej, nilai, latar
masyarakat dan lain-lain dapat dikenal pasti.
Dalam sesebuah cerita, terdapat tema dan persoalan. Banyak pelajar yang tidak dapat membezakan
antara tema daripada persoalan, baik dalam novel, cerpen, drama, prosa
tradisional mahupun puisi.
Tema ialah persoalan
utama dalam sesebuah karya yang ingin disampaikan oleh penulis. Tema
disampaikan sama ada secara langsung (eksplisit) atau secara tidak langsung
(implisit). Antara contoh tema termasuklah semangat patriotik, keagamaan, kasih
sayang dan pengorbanan.
Tema juga dapat
diistilahkan sebagai isu pokok atau persoalan besar yang dipaparkan dalam karya. Dalam sebuah cerita, hanya terdapat
satu tema sahaja.
Persoalan pula
merupakan hal atau perkara kecil yang lain
yang menjuruskan tema. Contohnya, jika sesebuah karya itu bertemakan tentang
keagamaan, semua persoalan atau isu kecil yang terdpat di dalamnya akan
berkisar pada keagamaan. Misalnya, dosa, pahala, ibadah, kepercayaan, tawakal,
syurga, neraka dan lain-lain lagi yang bersangkutan dengan perkara kerohanian
Gamba rajah yang
berikut memperlihatkan pertalian antara tema dengan persoalan.
TEMA
P – Persoalan / isu-isu kecil
Satu lagi aspek kajian
KOMSAS ialah watak dan perwatakan. Watak merupakan pelakon atau pelaku atau
tokoh yang menggerakkan sesebuah cerita dengan cara berhubungan sesama watak. Lazimnya terdapat lapan jenis watak iaitu,
watak utama, watak sampingan, watak bundar, watak pipih, watak dinamik, watak
statik, watak protagonis dan watak antagonis. Watak juga boleh terdiri daripada
bukan manusia.
Perwatakan pula
merupakan pelukisan atau gambaran tentang watak dari aspek luaran dan dalaman
yang ditonjolkan dalam sesebuah cerita. Perwatakan dapat dianalisis dan
diperhatikan melalui dialog, gerak-geri, tindak-tanduk, cara berfikir, cara
bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya, ideologi, gambaran perasaan
seseorang atau watak, dan komen watak lain.
Aspek latar juga dikaji dalam KOMSAS.
Latar terbahagi kepada tiga, iaitu,
latar masa, latar tempat dan latar masyarakat.
Latar masa meliputi
waktu atau masa. Contohnya, pagi, tengahari, petang, malam, musim, tahun, abad,
era atau zaman.
Latar tempat merupakan
ruang atau tempat peristiwa berlakunya peristiwa yang berkaitan dengan lokasi
geografi, topografi dan sebagainya.
Latar masyarakat pula merujuk kumpulan manusia yang terlibat dalam sesuatu
karya, seperti masyarakat pelajar, masyarakat petani atau masyarakat kampung.
Latar masyarakat juga merangkum bangsa atau etnik, kehidupan sosial, ekonomi
dan sebagainya yang bersesuaian dengan watak.
Aspek nilai turut dikaji dalam teks KOMSAS.
Nilai merupakan sesuatu perbuatan atau tingkah laku yang disukai yang
diterapkan dalam sesebuah karya. Antara contoh nilai termasuklah baik hati,
berdikari, hemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan,
keberanaian, kebersihan mental dan fizikal, kejujuran, kerajinan, kerjasama,
kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan semangat bermasyarakat. Nilai dapat
diperoleh terutama melalui watak. Hal itu dikatakan demikian kerana melalui
akasi watak seperti gerak geri dan tutur kata akan terserlah perilaku baik yang
ada pada watak.
Yang juga menjadi
kajian ialah gaya bahasa. Melalui kajian dibuat akan diketahui corak, bentuk
atau rupa sesuatu bahasa yang meliputi penggunaan kata, frasa dan ayat tertentu
dalam situasai tertentu. Antara jenis gaya bahasa, termasuklah penggunaan
diksi, personifikasi, simile, metafora, hiperbola, sinkof dan perlambangan. Kajian yang teliti terhadap sesebuah karya
akan menemukan gaya bahasa yang disebut itu, walaupun tidak semua jenis gaya
bahasa digunakan bergantung kepada kecenderungan penulisnya.
Aspek pengajaran merupakan perkara penting
dalam sesebuah karya. Hal itu dikatakan
demikian kerana setiap penulis mempunyai pesanan tertentu yang hendak
disampaikan kepada pembaca melalui karyanya. Semua penulis menggunakan pena
mereka untuk menyampaikan pengajaran yang baik kepada orang ramai melalui
penulisannya. Pengajaran dikenali sebagai amanat atau mesej yang berbentuk pandangan moral yang berupa nasihat atau
pesanan yang hendak disampaikan oleh pengarang kepada pembaca atau penonton.
( Pelita Bahasa,
November 2009 )
No comments:
Post a Comment