Thursday, 15 December 2011

Catatan Renungan Pagi Jumaat, 16 Disember 2011


Jauhi Menderhaka Terhadap Ibu Bapa


Dalam mengharungi kehidupan pencarian yang tiada penghujung ini, kita kekadang banyak membuat kesilapan dan kesalahan sama ada disedari atau tidak disedari. Hal ini disebabkan oleh kelemahan diri sendiri atau ketidakcaknaan kita dalam sesuatu urusan. Kesilapan atau kesalahan yang dilakukan terhadap seseorang yang bernama ibu adalah yang amat ditakuti oleh mereka yang beriman. Hal ini kerana terluka hati ibu maka bahana yang amat berat menimpa seseorang itu. Sabda Rasulullah s.a.w.,

                        “Siapa yang menjadikan hati ibunya sedih,
                          itu bermaksud dia menderhaka kepada ibunya.”
              
                        (Hadis riwayat Bukhari daripada Ali bin Abu Talib)

           
                        “Siapa yang menjadikan orang tuanya menangis, bererti
                       dia menderhaka kepada orang tuanya”

                          (Hadis Riwayat Bukhari daripada Abdillah bin Umar)


Menderhakai kedua ibu bapa merupakan dosa besar dalam Islam, malah antara dosa paling besar. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda;

Dosa-dosa paling besar ada empat;

1. Mensyirikkan Allah
2. Membunuh manusia
3. Menderhakai kedua ibu bapa
4. Memberi kesaksian palsu

(Hadis Riwayat Bukhari dari Anas)

           
Imam Ibnu as-Solah menyatakan penderhakaan terhadap ibu bapa yang diharamkan ialah semua jenis perbuatan yang menyebabkan kedua ibu bapa berasa sakit hati (perasaan kecewa) yang tidak sedikit terhadap anaknya, sedangkan perbuatan itu bukanlah dari perkara-perkara wajib (yang terpaksa dilakukan).

Sama-samalah kita muhasabah diri agar tidak terjebak dengan dosa besar menderhaka ibu bapa. Sekalipun seseorang itu rajin mengerjakan ibadah dan beramal soleh tetapi semua amalannya itu akan terhapus jika dia menderhaka kepada orang tuanya, wanauzubillahhiminanzalik.


Sekadar catatan buat diri untuk renungan bersama.


Wallahualam.

No comments:

Post a Comment