Sunday, 11 December 2011

Unsur Mencintai Alam Sekitar dalam Lestari Bukit Menghijau (Pelita Bahasa, Disember 2011)




Unsur Mencintai Alam Sekitar
dalam
Lestari Bukit Menghijau


Oleh
         Izani Hj. Daud        


Terdapat gesaan dibuat supaya Kementerian Pelajaran menggubal sukatan pelajaran mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan untuk memelihara alam sekitar. Walau pun setakat ini mata pelajaran tersebut belum lagi dimulakan di peringkat sekolah tetapi pemilihan novel Lestari Bukit Menghijau yang bertemakan tentang kecintaan terhadap alam semula jadi, yang dijadikan teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) tingkatan 2 bermula tahun 2011 adalah suatu permulaan kearah itu.

            Menyedari kesedaran alam sekitar perlu dimulakan pada peringkat sekolah lagi iaitu, sejak usia muda, murid-murid perlu didedahkan kepada kesedaran menjaga kelestarian alam semula jadi, kepentingan kebersihan, memelihara hutan dan sebagainya, maka novel Lestari Bukit Menghijau, karya Syed Mahadzir Syed Ibrahim yang wataknya terdiri daripada pelajar sekolah, guru dan orang-orang kampung dengan latar belakang di kawasan perkampungan, sekolah dan bukit yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan alam semulajadi dikira sangat sesuai untuk mendekatkan pelajar terhadap pemeliharaan alam sekitar.

            Pelbagai peristiwa yang dipaparkan dalam novel ini yang membawa mesej agar masyarakat mencintai alam sekitar dan khazanah alam, antaranya, peristiwa Zahiran dimarahi Pak Tua semasa Zahiran sedang menebang pokok bunga cempaka putih di hadapan rumahnya. Zahiran akur dengan larangan Pak Tua itu. Pak Tua kemudiannya memberitahu nama saintifik pokok tersebut ialah michelia alba dan menyatakan khasiatnya adalah untuk mengubat bisul, kudis dan bronkitis. Manakala bunganya boleh diramas buat mandian bagi mereka yang demam panas.

            Peristiwa yang sama berlaku ke atas Lebai Jusoh, Ketua Kampung Alor Rambai , apabila Pak Tua menghalang Lebai Jusoh daripada menebang pokok kacang kelor di sebelah kedai runcit Pak Long Hamad.

            “Eh, kenapakah pula pokok ni tak boleh ditebang?”
           tanya Lebai Jusoh dengan muka yang merah menahan marah.

            “Saya sayang pokok tu!” ujar Pak Tua, membuat
           yang lain mendengar tersenyum simpul.
           
(m.s. 8)

            Sebagai seorang yang pakar dalam bidang tumbuh-tumbuhan, Pak Tua menyatakan bahawa nama lain bagi pokok kacang kelor ialah Emungai, remunggai atau remunggai dan nama saintifiknya, moringga oleifera. Pak Tua menjelaskan daun pokok kacang kelor boleh digunakan untuk membersihkan darah, mengurangkan kandungan gula dan mengawal tekanan darah di dalam badan seseorang.

            Kesungguhan  Pak Tua atau Profesor Osman Yunus dalam penjagaan kelestarian alam semula jadi dapat dilihat daripada kekaguman Zahiran terhadap keadaan di bukit Bintangor yang tiada semak samun, dan seolah-olah berada di sebuah taman rekreasi yang dijaga rapi seperti berada di Taman Botani Putrajaya. Dengan setiap batang  pokok ditandakan dengan namanya seperti pokok surian baharu, merbau, melembu, terap nasi, meranti nemusu, kapur, pulai, rattan, sesenduk, mengkirai, ubah, tapak hantu dan sebagainya.

            Rahsia pokok bintangor yang banyak ditanam oleh Pak Tua terbongkar hasil pertemuan Zahiran dan Pak Tua. Hal ini mendapat penjelasan daripada Pak Tua apabila beliau memberitahu Zahiran bahawa uji kajinya  daripada sampel (+)-calanolide yang diekstrak daripada bintangor species calophyllum lanigerum yang diperoleh dari belantara hutan Sarawak telah berjaya menemui penawar AIDS. Tetapi Pak Tua sedih kerana isterinya, Kamariah yang menghidap virus HIV tidak dapat diselamatkan.

                          “Penawar yang kami usahakan tidak sempat
                           dinikmati oleh kamariah. Pak Tua berasa
                         sungguh kesal dan sebak apabila mengenang-
                         kan perkara ini”      

   (m.s.108)


                           
            Penjagaan alam sekitar juga dapat  dilihat dengan kehadiran pengetua baru Sekolah Menengah Alor Rambai, Cikgu Idham, yang telah berusaha mengubah landskap sekolah dan menyedarkan warga sekolah terhadap kepentingan alam sekitar dengan memperkenalkan `Kempen Amalan Hijau Sekolah’. Melalui kempen ini para pelajar tidak dibenarkan membawa tisu kertas ke sekolah sebaliknya dikehendaki menggunakan sapu tangan supaya dapat mengurangkan sampah, menjimatkan tenaga dan belanja. Selain itu tong-tong sampah yang berkarat ditukar dengan tong sampah kitar semula.

            Bagi menanamkan sikap kesedaran menjaga kelestarian alam semulajadi Cikgu Idham membuat persiapan menyertai Pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar. Untuk tujuan ini, sebelum cuti sekolah, Cikgu Idham membahagikan pelajar-pelajar tingkatan tiga, empat dan bekas pelajar yang tinggal berhampiran sekolah kepada empat kumpulan iaitu kumpulan 1 mencari pelbagai jenis pokok bunga, kumpulan 2 menanam, kumpulan 3 menangkap burung dan kumpulan 4 mengisi kolam dengan pelbagai jenis ikan.

            Aspek kebersihan juga di tekankan dalam novel ini. Hal ini dapat dilihat apabila keputusan mesyuarat sekolah menerima cadangan Pak Tua untuk bergotong royong membersihkan persekitaran kampung ekoran beberapa orang murid Sekolah Menengah Alor Rambai demam kuning. Tumpuan aktiviti gotong royong akan dijalankan di kawasan rumah Pak Hamid, bapa Hamzah yang menjadi mangsa pertama serangan demam kuning akibat nyamuk. 
           
Selain unsur mencintai alam sekitar yang digarapkan dalam novel, terdapat banyak lagi nilai yang ditemui seperti kesederhanaan dalam hidup. Pak Tua yang tidak mendedahkan latar belakang atau identitinya yang sebenar sehinggalah akhbar Berita Minggu menyiarkan tajuk besar berbunyi: “Profesor Osman Yunus - Pesara Penyelidik Sintesis Organik Telah Mewakafkan Tanahnya di Bukit Bintangor untuk Tujuan Pendidikan dan Penyelidikan”.

            Nilai berhemah mulia juga diterapkan dalam novel ini, apabila Pak Tua tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Seleman dan Kasa yang membuat khianat dengan melakukan pembakaran terbuka yang menyebabkan api itu merebak dan memusnahkan pokok-pokok Bintangor Pak Tua.

            Sesungguhnya novel ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan dalam kalangan murid-murid sekolah, bukan sahaja disebabkan di dalamnya mengandung unsur kependidikan alam sekitar tetapi banyak lagi nilai-nilai murni yang lain diketengahkan yang dapat membina dan menjana sahsiah dan keperibadian terpuji dalam kalangan pelajar.

(Pelita Bahasa, Disember 2011)

No comments:

Post a Comment