Faedah Mengkritik Diri
Oleh
Izani Hj Daud
Setiap orang mengidamkan kejayaan dalam setiap usaha yang dilakukan. Walau bagaimanapun tidak semua orang boleh mencapai kejayaan yang dicita-citakan. Hal ini disebabkan, untuk berjaya seseorang itu perlu mempunyai sikap yang boleh membawanya ke puncak jaya.
Dengan perkataan lain, personaliti yang berjaya biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri-ciri yang positif. Antara ciri tersebut seperti rajin, dedikasi, tidak mudah kecewa, proaktif, dan berkeyakinan dalam apa jua usaha yang dilakukan.
Satu lagi ciri yang perlu ialah sikap suka mengkritik diri sendiri. Mengkritik diri sendiri bermaksud menegur dan kemudian memperbaiki kelemahan yang ada pada diri sendiri. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada kelemahan dan melakukan kesilapan. Hal ini disebabkan, sifat manusia itu sendiri lemah dan tidak sempurna.
Secara zahirnya, seseorang itu merasakan dirinya sempurna tetapi sebenarnya dalam dirinya terdapat kekurangan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau oleh orang ramai, tetapi empunya diri mengetahuinya. Justeru setiap kita perlu mencari kekurangan atau kelemahan yang ada. Perlu diingatkan, mengkritik diri bukanlah untuk mengutuk diri atas kelemahan yang ada. Tetapi untuk mengatasi atau membanteras kelemahan yang ada.
Tidak ramai individu yang sanggup mengkritik diri sendiri. Seorang yang boleh berbuat demikian akan mendapat keuntungan yang besar daripadanya kerana individu seperti ini akan mengetahui daerah-daerah kelemahan dalam diri.
Pemeriksaan yang dibuat ke atas diri sendiri tentu lebih mudah berbanding dengan orang lain yang mencarinya. Dengan mengetahui kelemahan diri, maka seseorang itu boleh memperbaiki kelemahan yang dilakukan selama ini. Misalnya, dengan mempelajari daripada kesilapan yang pernah dilakukan, seterusnya mengatasi kesilapan tersebut supaya tidak berulang lagi buat kali keduanya.
Mengkritik diri sendiri dengan menegur diri sendiri tentang kelemahan yang ada akan membolehkan seseorang itu mengawal diri supaya tidak menjadi manusia yang riak. Ramai dalam kalangan kita apabila sudah berjaya dalam hidup seperti menjadi orang kaya atau berpangkat tinggi berubah menjadi angkuh dan takbur lantaran apa yang diidam dan dicitakan sudah dimiliki. Lalu mereka menjadi manusia yang lupa daratan.
(Dewan Siswa, November 2011)
No comments:
Post a Comment