Wednesday 14 December 2011

Mengumpul Rencana Pengarang Akhbar: Cara Mudah Menulis Karangan (Pelita Bahasa, November 2006)



Mengumpul Rencana Pengarang Akhbar
Cara Mudah Menulis Karangan

Oleh
Izani Hj Daud



Terdapat banyak jenis karangan dalam sukatan peperiksaan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bahasa Melayu Kertas. Salah satu  karangan yang kerap kali disoal dalam peperiksaan ialah karangan jenis perbincangan. Karangan jenis perbincangan  membawa atau menghasilkan markah yang baik jika dipenuhi siri-ciri karangan tersebut.

          Antara ciri karangan jenis perbincangan termasuklah:
·        Isi yang logik.
·        Fakta yang tepat.
·        Hujahan yang matang.
·        Fakta yang berkaitan antara satu sama lain.
·        Setiap perenggan mempunyai satu fakta dengan huraian dan contoh yang sesuai.
·        Bahasa yang mudah.
·        Kesimpulan berdasarkan hujah yang dikemukakan.

Soalan jenis ini biasanya mempunyai hubung kait dengan isu-isu semasa atau topik-topik hangat.  Oleh itu, dalam penulisan karangan jenis perbincangan isi-isi  yang dikemukakan mestilah logik atau munasabah yang disokong oleh bukti-bukti sahih  atau contoh-contoh yang sesuai. Untuk mendapatkan fakta, pelajar hendaklah sentiasa membaca akhbar atau majalah. Selain mencatat fakta penting daripada media massa, pelajar-pelajar  juga bolehlah mencatatkan perangkaan yang terdapat dalam isu yang diperkatakan.

          Contohnya, tentang isu kemalangan jalan raya yang hangat diperkatakan masa kini.  Pelajar-pelajara bolehlah membuat catatan perangkaan tentang jumlah yang terkorban, cedera parah atau peringkat umur yang banyak terlibat dalam kemalangan jalan raya. Perangkaan kemalangan jalan raya dapat menyokong huraian dan isi penting dalam sesebuah karangan jenis perbincangan.


Isi pokok / fakta utama

Isi sampingan / huraian lanjut

Contoh / bukti / statistik
yang boleh menyokong


Dalam penulisan karangan jenis perbincangan, perbincangan hendaklah meluas dan lebih terperinci . Fakta yang dikemukakan bukan setakat pernyataan umum, tetapi hendaklah diperbincangkan secara mendalam dan memberikan cadangan untuk mengatasinya.
         
          Misalnya, tentang kemalangan jalan raya. Pelajar-pelajar tidak seharusnya hanya mengemukakan punca-punca yang menyebabkan beralakunya kemalangan jalan raya. tetapi memberikan syor bagaimana cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini.
         
Memandangkan soalan karangan jenis perbincangan ini popular, maka pelajar haruslah  bersedia lebih awal. Satu cara paraktikal yang dapat dilakukan adalah dengan mengumpul keratan akhbar harian. Keratan akhbar yang sesuai dikumpul ialah rencana pengarang akhbar.

Keratan akhbar
Tampal di dalam buku khas

Pelajar membentang isu / fakta di depan kelas


Perbincangan terbuka (komen / pandangan)

Mengumpul semua fakta hasil perbincangan
Menulis karangan

          Untuk mengurangkan beban pelajar, aktiviti mengumpul keratan akhbar boleh dibuat secara kumpulan. Guru sendiri mengambil inisiatif mewajibkan setiap pelajar membuat keratan rencana pengarang akhbar secara bergilir-gilir(mengikut giliran).  Keratan-keratan akhbar tersebut hendaklah ditampalakan di di dalam buku khas untuk memudahkan rujukan dibuat. Pelajar-pelajar juga bolehlah diminta tampil ke hadapan untuk menerangkan isu atau fakta berdasarkan keratan akhbar yang diperoleh. Setelah itu guru membuka peluang kepada pelajar untuk membuat komen atau memberi pandanganberdasarkan isu tersebut. Sambil itu pelajar-pelajar lain catatan daripada idea yang disampaikan. lain membuat catatan daripada idea yang disampaikan.
         
Pengalaman penulis sebagai guru Bahasa melayu menunjukkan cara ini menyeronokkan dan merangsang minat pelajar. Kaedah ini juga akan menjimatkan masa kerana hasil daripada kerjasama pelajar fakta yang diperoleh dapat dikongsi bersama antara pelajar dalam kelas. Selain itu, guru juga boleh membina soalan karangan berdasarkan isu-isu yang terdapat  dalam keratan akhbar tersebut.

          Tegasnya, karangan jenis perbincangan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan jika langkah awal diambil. Di samping itu juga karangan jenis ini akan mendorong pelajar berfikir dan memberi pandangan yang logik dan kritis. Selain itu pelajar-pelajar juga akan menjadi prihatin kepada isu-isu semasa yang akan mempercepat lagi tahap kematangan para pelajar. 

( Pelita Bahasa, November 2006 )

No comments:

Post a Comment