Thursday, 15 December 2011

Pantun Menyerlah Keperibadian Unggul (Dewan Budaya, Oktober 2011)


Pantun Menyerlah Keperibadian Unggul
                                                                        
Oleh
Izani Hj Daud


Budaya kehidupan orang Melayu yang dikaitkan dengan aspek kesantunan tiada siapa yang dapat menidakkannya, malah memang sudah menjadi identiti bangsa bernama Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui cara hidup orang Melayu yang penuh dengan penghormatan, tutur kata lembut, berbudi bahasa, dan bersopan santun. Ciri-ciri terpuji atau pengamalan nilai murni ini sudah menyebati dalam diri orang-orang Melayu.

            Salah satu cara untuk kita mengenali keperibadian orang Melayu iaitu, melalui pantun yang sentiasa diucapkan oleh orang-orang Melayu. Pantun merupakan salah satu bentuk puisi Melayu lama yang mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat Melayu tradisional. Malahan banyak aspek kehidupan masyarakat Melayu zaman silam dapat dilihat melalui pantun. Hal ini kerana pantun dijadikan sebagai media lisan untuk berinteraksi. Oleh hal yang demikian, tidak keterlaluan jika dikatakan pantun itu sebagai pancaran kehidupan orang Melayu.

            Penggunaan pantun dalam kehidupan harian masyarakat tradisional orang Melayu dapat dilihat melalui hubungan sosial, agama, adat resam, unsur jenaka, pendidikan, nasihat, kias dan ibarat, dan pelbagai lagi.

            Sifat-sifat terpuji yang ada pada orang Melayu dalam kehidupannya menyebabkan mereka begitu menyanjung seseorang yang disayangi dan dihormati. Mereka tidak mudah melupakan jasa atau bakti yang diberikan kepada mereka. Melalui sifat-sifat ini, mereka sangat memuliakan seseorang, sehingga terhasil pantun;

                        Pisang emas dibawa belayar,
                                    Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
            Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
            Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
            Budi yang baik dikenang jua.


Pantun di atas bukan sahaja indah didengar, tetapi memberi maksud begitu mengesankan kepada mereka yang mendengar. Hal ini menunjukkan orang Melayu sebagai satu bangsa yang mempunyai sifat murni, iaitu tidak mudah melupakan jasa yang pernah ditabur oleh seseorang. Pengungkapan pantun itu juga menampakkan pantun tidak dicipta secara sembarangan tetapi berkait rapat dengan alam persekitaran Melayu ketika itu. Misalnya, penggunaan perkataan `belayar’ sangat berkait rapat dengan kehidupan orang Melayu dahulu yang tinggal di persisiran pantai.

Unsur-unsur keislaman juga terungkap dalam pantun. Orang Melayu yang juga orang Islam banyak menggunakan pantun untuk menyampaikan dakwah, juga memberi peringatan dan pesanan kepada orang ramai agar tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik atau yang dilarang supaya dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

                                    Todak menyerang Singapura,
                                                Habis dikerat dicincang lumat,
                                    Bila khianat pada manusia,
                                                Dunia akhirat tidak selamat.

                                    Bukan tanah menjadi padi,
                                                Kalau jadi hampa melayang,
                                    Bukan bang menjadi haji,
                                                Jadi Haji tak pernah sembahyang.

Pantun yang diungkap jelas membawa unsur keagamaan, iaitu mengajak manusia membuat kebaikan  dan menjauhkan perbuatan yang boleh memudaratkan atau pun ditegahkan.


Dalam masyarakat Melayu silam, penggunaan pantun begitu terserlah dalam upacara adat terutama dalam majlis perkahwinan. Tidak akan menjadi lengkap sebuah upacara perkahwinan atau peminangan jika tidak disulami dengan pantun. Selain sebagai adat, pantun dijadikan sebagai alat komunikasi dalam upacara sedemikian. Kehadiran pantun akan dapat mencerminkan kesantunan dan juga ketertiban upacara yang dijalankan. Justeru, pantun menjadi sebagai alat upacara adat yang dilafazkan oleh orang-orang tertentu yang mengendalikan upacara berkenaan. Misalnya, dalam peminangan, pantun-pantun di bawah biasa diucapkan;

                        Terjun ke air lalu berenang,
                                    Jatuh ke lubuk lalulah mati,
                        Persembahan tanda sirih pinang,
                                    Tetapi tiada dengan sepertinya.         

                        Sepinang dua pinang,
                                    Habis pinang dalam raga,
                        Sudah dimakan sirih pinang,
                                    Apa cerita mahu dibuka?


Oleh kerana perkahwinan dalam masyarakat Melayu adalah satu perkara penting, sementelahan pula agama Islam yang menjadi anutan orang-orang Melayu itu sendiri begitu mengambil berat tentang perkahwinan dan kehidupan berumah tangga, maka orang Melayu begitu sensitif. Justeru, hal tersebut perlu diuruskan sebaik mungkin, lalu digunakan pantun demi menjaga kesantunan dalam berbahasa supaya upacara yang dijalankan itu berjalan dengan harmonis. Hal ini penting kerana bahasa pantun lebih kepada bahasa berkias, iaitu tidak memperkatakan sesuatu itu secara langsung tetapi mesejnya dapat disampaikan seperti yang diinginkan.

Sifat orang Melayu juga suka berjenaka. Bahan jenaka dijadikan sebagai hiburan bagi mereka. Tidak kira di mana saja bahan jenaka biasa diperkatakan baik dalam keadaan tidak formal mahu pun dalam situasi formal. Unsur-unsur jenaka biasanya disisipkan melalui pantun. Hal ini kerana selain bahan jenaka itu dapat disampaikan, pantun juga sedap dan enak didengar, kerana pantun merupakan jenis bahasa berirama yang mempunyai intonasi sekata antara pembayang dan maksudnya.

            Pinggan tak retak, nasi tak dingin,
                        Engkau tak hendak, aku tak ingin,

            Ngak, ngak si,
                        Gigi rongak tinggal gusi.


Pantun-pantun ini menggambarkan kehidupan orang Melayu yang sentiasa berada dalam keadaan harmonis dan menggembirakan. Unsur-unsur jenaka yang terdapat dalam pantun memperlihatkan bahawa orang Melayu mencintai kedamaian dan seboleh mungkin untuk menghindarkan ketegangan. Misalnya pantun di atas, mungkin dilafazkan oleh teruna yang menghadapi putus cinta dengan kekasihnya. Kata-kata sedemikian dituturkan bertujuan membujuk diri sendiri agar perkara-perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku, seperti melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan akibat ditinggalkan kekasih.

Selain itu, pantun juga dapat  menggambarkan kepada kita bahawa masyarakat Melayu tradisional mengutarakan mesej nasihat dan pendidikan. Pantun dilihat sebagai satu media atau alat untuk menjalankan usaha memberi tunjuk ajar atau berunsurkan pendidikan. Hal ini dapat dilihat melalui pantun-pantun yang berkaitan dengannya. Contohnya;

                        Tukul takal balik bukit,
                                    Siapa nakal boleh sakit.


                        Tak tumbuh tak melata,
                                    Tak sungguh orang tak kata.


                        Bintang tujuh sinar berseri,
                                    Bulan purnama datang menerpa,
                        Ajaran guru hendak dicari,
                                    Mana yang dapat janganlah lupa.


            Ketiga-tiga pantun di atas berunsurkan nasihat dan pendidikan. Biasanya ditujukan kepada kanak-kanak, iaitu salah satu cara orang-orang Melayu tradisional mengajar dan mendidik anak-anak mereka. Hal ini menunjukkan keprihatinan orang Melayu terhadap pendidikan anak-anak mereka supaya menjadi orang berguna.

            Selain pantun nasihat terdapat juga pantun yang berunsurkan kias dan ibarat. Pantun jenis ini menggambarkan juga tentang kesantunan orang Melayu yang membuat kiasan atau sindiran secara tidak langsung tetapi menggunakan media pantun supaya apa yang hendak diperkatakan atau ditegur itu tidak mendatangkan kemarahan. Contoh-contoh pantun yang dapat  dikutip seperti berikut;

                        Satu dua tiga enam,
                                    Satu enam jadi tujuh,
                        Buah delima yang ditanam,
                                    Buah berangan hanya tumbuh.


                        Lebat sungguh padi sahaya,
                                    Kayu tumbang dari pangkalan,
                        Hairan sungguh di hati sahaya,
                                    Burung terbang disambar ikan.



Perkara tersirat daripada penggunaan kata dalam pantun menunjukkan ketajaman sindiran yang ditujukan  kepada sasaran tertentu. Pantun ini juga memperlihatkan ketajaman fikiran orang-orang Melayu yang berupaya mengungkap kata yang mempunyai maksud begitu mendalam.

Sesungguhnya daripada pantun, kita dapat melihat kehidupan orang-orang Melayu zaman silam dalam semua aspek. Mereka mempunyai  nilai kehidupan yang tinggi dan murni serta penuh kesantunan dalam setiap gerak laku atau tindakan. Mereka menjalani kehidupan dengan penuh keharmonian dan begitu menitikberatkan aspek nilai murni dalam penghidupan. Adakah masyarakat Melayu moden hari ini mampu mempertahankan dan mengekalkan nilai-nilai mulia dan terpuji ini?


(Dewan Budaya, Oktober 2011)


No comments:

Post a Comment