Sunday, 18 December 2011

Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan (Dewan Masyarakat, November 2011)


Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan
                                                                    Oleh
Izani Hj Daud

Pembangunan sesebuah negara berkait rapat dengan tahap pendidikan negara, justeru bidang pendidikan menjadi nadi penggerak ke arah menjana dan meningkatkan temadun sesuatu bangsa. Hal ini kerana maju mundur sesebuah negara itu berhubung rapat dengan tahap pencapaian rakyatnya dalam sektor pendidikan.

            Lazimnya, apabila berbicara tentang pendidikan, maka akan tergambarlah  kepada kita akan tuga dan tanggungjawab guru  dalam mendidik murid-murid untuk melahirkan warganegara yang berguna. Namun jarang diperkatakan tentang pihak lain dalam hubungan dengan pendidikan atau sekolah. Bertitik tolak dari sinilah maka dianjurkan supaya diadakan kerjasama atau permuafakatan dalam pendidikan. Salah satu pihak yang boleh memberikan kerjasama ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

            Peranan PIBG termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Menurut perkara 4 ceraian 1 (d), Kaedah-kaedah PIBG 1974, akta ini, penubuhan PIBG adalah “untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa di sekolah atau institui itu berunding antara satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pelajaran anak-anak mereka pada amnya”.

            Secara lebih khusus, penubuhan PIBG bertujuan menentukan supaya murid-murid di sekolah itu memperoleh faedah maksimum daripada kemudahan-kemudahan pelajaran mereka. Selain itu, untuk memastikan supaya murid-murid dibekali dengan sumber-sumber perlu untuk membuat kerja-kerja sekolah mereka, baik di rumah mahupun di sekolah, di samping mewujudkan suasana persekitaran yang sebaik mungkin bagi membolehkan murid-murid mencapai perkembangan kerohanian, keakhlakan, otak, dan jasmani.

            Objektif penubuhan PIBG ini menjelaskan kepada kita akan kepentingan PIBG. Masyarakat pula telah dapat menerimanya sebagai sebuah institusi yang boleh menyumbang kepada sistem pendidikan negara. PIBG membolehkan ibu bapa dan guru menjalin kerjasama dan permuafakatan dalam usaha meningkatkan mutu pelajaran di sekolah.

            Memandangkan PIBG telah diasaskan setengah abad yang lampau, maka persoalan yang timbul dan menjadi tanda tanya ialah sejauh manakah PIBG telah melaksanakan fungsinya? Isu ini telah lama diperkatakan kerana majoriti PIBG yang ditubuhkan di negara ini tidak menampilkan peranan atau fungsinya yang sebenar dalam usaha meningkatkan pencapaian sesebuah sekolah.

            Di pihak guru, yang merupakan sebahagian daripada anggota dalam PIBG, setakat ini menunjukkan keaktifan mereka. Mungkin ada yang mengatakan kerana mereka (guru) adalah sebahagian daripada agen pembelajaran atau terlibat secara langsung dengan sekolah, maka mereka aktif, tetapi perlu diingat bahawa kegiatan mereka dalam PIBG bukanlah merupakan suatu kewajipan sepertima kewajipan mereka di dalam bilik darjah.. Untuk kepentingan sekolah, para guru sanggup membuat kerja sukarela demi kebaikan murid-muridnya. Hal ini merupakan suatu keunikan yang terdapat dalam profesion perguruan jika dibandingkan dengan profesion lain.

            Sambutan ibu bapa terhadap kegiatan atau program-program yang dianjurkan oleh PIBG adalah menyedihkan. Berapa keratkan dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang menghadirkan diri dalam Mesyuarat Agung PIBG yang diadakan pada setiap tahun? Tidak banyak yang sanggup meluangkan masa untuk menghidiri perhimpunan tersebut, sedangkan perhimpunan inilah yang akan menemukan ibu bapa dan guru. Ibu bapa juga dapat berbincang atau bertukar-tukar fikiran sesama mereka tentang cara-cara meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pembelajaran.

            Seandainya, perhimpunan atau mesyuarat yang diadakan setahun sekali tidak mendapat sambutan, apa lagi untuk menyertai program-program yang dijalankan dari semasa ke semasa oleh PIBG. Adalah suatu yang amat malang bagi anak-anak yang mempunyai ibu bapa atau penjaga yang bersikap acuh tidak acuh terhadap soal pelajaran anak-anak dan menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada guru atau pihak sekolah untuk bertungkus-lumus memastikan kejayaan anak-anak.

            Sekiranya ibu bapa yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat peka atau prihatin terhadap perkembangan pendidikan di sekolah, mereka akan dapat menyumbangkan kepakaran yang ada pada diri mereka sepertimana yang diamalkan di negara-negara Barat. Kerjasama semua pihak adalah penting dalam usaha memantapkan peranan untuk menyampaikan ilmu, maklumat, kemahiran, pengalaman dan nilai kepada murid-murid. Sekiranya masyarakat, khususnya para ibu bapa dapat memberi sumbangan, maka sudah tentulah akan dapat memberi manfaat yang besar kepada sistem pendidikan negara.

            Isu ketidakcaknaan ibu bapa bersangkutan dengan PIBG ini telah banyak diperkatakan. Walaupun PIBG merupakan sebahagian daripada sekolah atau jambatan antara sekolah dan ibu bapa, tetapi tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan pelajaran anak-anak. Banyak ibu bapa yang lebih mementingkan kerja-kerja lain daripada membincangkan soal pelajaran dan masa depan anak-anak mereka. Sekalipun ada usaha yang dijalankan oleh pihak PIBG untuk kemajuan sekolah tetapi dipandang sepi dan tiada sokongan yang bersungguh-sungguh diberikan kepada projek atau program yang digerakkan oleh PIBG.

            Antara faktor yang dikenal pasti sebagai penghalang kerjasama tersebut ialah sikap ibu bapa, faktor masa, jarak di antara rumah dan sekolah, halangan bahasa dan lain-lain. Kebanyakan ibu bapa yang berpendapatan rendah pula menyerahkan segala-galanya yang berhubung dengan pelajaran anak-anak mereka kepada guru dan sekolah.

            Tegasnya, PIBG tidak akan dapat menjalankan fungsinya secara berkesan seandainya tidak mendapat sokongan, terutamanya dalam kalangan ibu bapa. Demi kepentingan kejayaan anak-anak, maka sudah sampailah masanya seluruh ibu bapa mengorak langkah untuk sama-sama menggemblengkan tenaga dalam usaha mempertingkatkan taraf pencapaian akademik anak-anak, dan bukan hanya menyerahkan bulat-bulat tugas yang berat ini kepada pihak guru dan sekolah sahaja.

(Dewan Masyarakat, November 2011)

No comments:

Post a Comment