Friday, 16 December 2011

Cuti Persekolahan


CUTI PERSEKOLAHAN
ISIKAN DENGAN AKTIVITI BERFAEDAH


Oleh
 Izani Haji Daud


            Cuti akhir tahun persekolahan telah pun bermula. Pada hari terakhir persekolahan jelas tergambar kegembiraan pelajar-pelajar menyambut cuti penghujung tahun.

            Dalam tempoh ini mereka tidak terikat dengan sekolah. Dengan perkataan lain mereka tidak dibebankan dengan kerja-kerja sekolah (akademik), peraturan persekolahan dan lain-lain yang berkaitan dengan sekolah. Mereka seolah-olah ‘terputus’ hubungan dengan sekolah.
          
 Sebagai seorang pelajar, cuti selama hampir enam minggu ini tidak seharusnya dipersiakan.  Aktiviti-aktiviti yang bermanfaat sewajarnya diatur supaya masa yang banyak ini tidak akan terlepas begitu sahaja.
         
   Bagi pelajar-pelajar yang mempunyai kesedaran yang tinggi, mereka   sudah   pun   mula   membuka   buku-buku    yang    bakal
dipelajari pada tahun hadapan. Langkah proaktif ini seharusnya diamalkan oleh semua pelajar, terutamanya mereka yang akan menduduki peperiksaan PMR, SPM, dan STPM pada tahun  hadapan. Melaui cara ini pelajar-pelajar akan dapat memahami isi pelajaran lebih awal atau mempunyai sedikit pengetahuan dan tidak menimbulkan masalah dalam pembelajaran yang akan ditempoh nanti.
  
kemampuan dan kebolehan pelajar terhadap subjek-subjek yang terdapat dalam pakej yang ditawarkan. Sekiranya pelajar silap membuat keputusan impaknya akan dirasai oleh pelajar sendiri.

            Untuk menghidupkan suasana pembelajaran dalam cuti ini, para pelajar bolehlah juga membentuk kumpulan belajar atau “study group” dalam kalangan mereka mulai sekarang. Pertemuan boleh
diadakan satu atau dua kali seminggu.  Cara ini membolehkan
anggota kumpulan berkongsi pendapat atau sekurang-kurangnya menyedarkan mereka terhadap tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Belajar secara kumpulan juga akan memudahkan pelajar mengenal pasti kelemahan diri berbanding belajar sendirian. Hal ini kerana melalui perbincangan pelajar akan senang mengesan kekurangan diri. Input pembelajaran pula mudah diperoleh hasil daripada perbincangan yang dibuat.

             Selain itu terdapat juga pelajar yang mengikuti kelas-kelas tuisyen di pusat-pusat tuisyen. Walaupun tuisyen lebih merupakan
pembelajaran secara latih tubi dengan bimbingan guru tetapi langkah
ini juga adalah baik untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pelajaran yang bakal dipelajari apabila sekolah bermula pada tahun hadapan.

            Dalam pada itu pelajar adalah digalakkan supaya memberikan tumpuan  kepada mata pelajaran bahasa Inggeris.  Hal ini mustahak memandangkan dewasa ini institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) mensyaratkan kelulusan bahasa Inggeris untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan.  Menguasai bahasa Inggeris bukan setakat untuk melayakkan seseorang pelajar itu memasuki pusat-pusat pengajian tetapi penting untuk kerjaya masa depan, kerana urusan kerja ada ketikanya memerlukan penggunaan bahasa Inggeris terutama dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, perniagaan dan lain-lain lagi.
       
 Satu lagi aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada pelajar semasa cuti panjang ini ialah kemahiran menggunakan komputer. Dalam menuju alaf baru ini komputer  memainkan peranan yang
penting dalam kehidupan kerana dalam menempuh era pemodenan abad ke-21, kita tidak dapat lari daripada penggunaan alat canggih ini.

            Penguasaan kemahiran menggunakan komputer ini sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar apabila mereka melanjutkan pelajaran di IPT seperti mengerjakan tugasan, tesis dan sebagainya lagi.

           Pada musim cuti ini juga pelajar boleh mengambil kesempatan untuk bekerja.  Selain dapat membantu keluarga untuk mendapat sedikit pendapatan , mereka juga dapat menimba pengalaman dalam
kehidupan bermasyarakat. Pergaulan dengan masyarakat luar akan
mendedahkan pelajar dengan dunia realiti dan mematangkan pemikiran.   Kematangan berfikir penting kerana kita inginkan pelajar yang cemerlang dalam segala aspek iaitu menjadi modal insan yang serba boleh yang dapat memberi sumbangan kepada negara.
         
           Tegasnya, pada musim cuti panjang ini pelbagai aktiviti  berfaedah boleh dilakukan pelajar.  Peluang keemasan seperti ini tidak seharusnya dipersiakan dan hendaklah dipergunakan sebaik mungkin supaya pelajar mendapat manfaat yang besar daripadanya.









No comments:

Post a Comment