Wednesday, 14 December 2011

Gejala Gagap (Pelita Bahasa, September 2009)


   Gejala Gagap

Oleh
Izani Hj Daud



Gagap ialah masalah pertuturan yang lumah dalam masyarakat. Mungkin disebabkan oleh hal itu juga maka masyarakat menganggap gagap sebagai satu takdir, lalu kurang memberikan perhatian terhadap punca gagap dan cara untuk mengatasi masalah gagap.

          Secara umumnya, gagap ialah keadaan yang dialami oleh seseorang yang mempunyai ciri-ciri seperti percakapan tersedu-sedu, terhenti-henti, ragu-ragu dan bercakap “melompat-lompat”. Gejala ini merupakan proses luar sedar yang membantut komunikasi biasa. Kerisauan atau kegelisahan yang dialami oleh pengidap akan meningkatkan lagi masalah tersebut.

          Menurut Van Riper (1971), gagap ialah perlakuan yang berkait dengan corak perkataan yang tidak disusun mengikut ayat yang sesuai dengan reaksi penutur. Kamus Dewan (1994) pula mendefinisikan gagap  sebagai tertahan-tahan atau terhenti-henti apabila bercakap.

          Walau apapun takrifan yang diberikan terhadap gagap, yang jelas, gagap melibatkan kecacatan seseorang itu apabila bercakap ataupun memproduksikan bahasa ketika bertutur.

          Gagap boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu gagap normal dan gagap penyakit.

          Gagap normal boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Pertama, gagap kerana gugup. Misalnya, apabila seseorang itu bercakap di khalayak ramai. individu yang tidak biasa bercakap di khalayak ramai, biasanya akan gemuruh. Kesannya, pertuturannya menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat. Punca gagap normal dijelaskan seperti yang berikut:



 GAGAP NORMAL             Gugup
                                            Kanak-kanak yang baru pandai
                                             bercakap
                                            Gaya disengajakan (bersifat
                                             Sementara)

          Selain gugup, gagap juga berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang sedang mengalami proses pembesaran, khususnya kanak-kanak yang mula menguasai bahasa. Gagap seperti ini lama-kelamaan akan hilang apabila apabila kanak-kanak itu meningkat dewasa. Ada juga gagap yang dibuat-buat. Gagap seperti ini diklasifikasikan sebagai gagap normal. Gagap yang dibuat-buat seperti menghentikan percakapan semasa berucap dengn tujuan untuk mencari idea atau fakta untuk diperkatakan ada kalanya merupakan gaya penuturan seseorang itu. Gagap yang dibuat-buat oleh seseorang seperti menghentikan percakapan semasa berucap dengan tujuan untuk mencari idea atau fakta untuk diperkatakan ada kalanya merupakan gaya penuturan seseorang itu. Gagap yang dibuat-buat oleh seseorang penutur itu juga merupakan salah satu cara untuk menarik minat pendengar.

Gagap normal tidak menimbulkan masalah kepada seseorang penutur kerana gagap jenis ini bersifat sementara. Yang menjadi masalah ialah gagap sebagai penyakit atau gagap yang bersifat patologi. Gagap yang merujuk kepada penyakit bersifat kekal dan pemulihannya memerlukan rawatan pakar. Pertuturan seseorang yang gagap mempunyaiciri-ciri sekatan. Antara ciri penyakit gagap termasuklah:

a)    Pengulangan
b)   Pemanjangan
c)    Selaan
d)   Jeda

          Pengulangan ialah pengucapan patah perkataan yang diulang secara tidak sengaja dan tidak ada kena-mengena dengan sistem sesuatu bahasa. Pengulangan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu pengulangan sebahagian kata, dua suku kata dan seluruh kata. Misalnya:
     1. Sebahagian kata
Contoh ; pa pan

2.    Dua suku kata
Contoh ; me ma memasukkan

3.    Seluruh kata
Contoh ; tak tak tak


          Ciri yang kedua ialah pemanjangan, iaitu pemanjangan bunyi yang dianggap berlebihan daripada kebiasaan apabila sesuatu perkataan diujarkan. Pemanjangan dibahagikan kepada dua, iaitu pemanjangan vokal. Misalnya:

1.      pemanjangan konsonan
          Contoh
          dddddia
          ssssemua
          mmmmkan      
2.       pemanjangan vokal ;
          Contoh
          aaaadik
          oooorang
          uuuubi
         
          Ciri yang ketiga ialah selaan. Selaan ialah gangguan semasa bertutur. Hal ini kerap terjadi apabila individu yang gagap berusaha untuk mengungkap sesuatu perkataan yang sesuai dalam sesuatu peristiwa bahasa, tetapi perkataan yang dicarinya itu tidak muncul. Oleh hal demikian, selitan yang berbentuk selaan dihadirkan supaya pendengar dapat membantunya. Misalnya:

Apa apa mmm ### mmm apa mmm di Kedah

          Dalam hal ini, dengan menggunakan kata ”apa”, dia mengharapkan pendengar (orang yang berkomunikasi dengannya) akan membantu, misalnya untuk menyebut ’Kedah’.

          Ciri yang keempat ialah adanya jeda, iaitu kesenyapan dalam satu urutan pertuturan yang melampaui batas kesenyapan biasa yang sepatutnya berlaku dalam satu pertuturan yang normal.
Anak##beranak saya##yang lain ber##setuju

 Gangguan bertutur atau gagap boleh diatasi, iaitu dengan berjumpa  doktor atau pakar gangguan bahasa pada peringkat awal. Sebahagian besar individu yang gagap sembuh melalui terapi. Melalui terapi, individu yang gagap dilatih tentang cara pernafasan, iatu menarikdan menghembuskan nafas dengan tenang dan teratur. Latihan mengendur juga dapat membantu melatih otot agar lebih santai ketika bercakap, selain membantu mengawal posisi badan.

Selain hal itu, merakamkan suara atau ucapan sendiri dan mendengarnya kembali juga dapat menolong individu yang gagap mengatasi masalah kegagapan. Motivasi yang kuat, kesabaran yang tinggi serta sokongan keluarga, teman dan  juga rakan boleh  menyembuhkan masalah gagap..  Hal ini demikian kerana hanya pendengar yang sabar akan memberikan perhatian yang penuh kepada apa-apa yang diungkapkan oleh individu yang gagap. Hal ini secara tidak langsung akan memberikan kesempatan dan dorongan (secara halus) kepada mereka. 

          Masalah gagap sebenarnya memberikan kesan yang serius, khususnya dari aspek psikologi kepada seseorang yang gagap. Hal ini demikian kerana ada individu di barat yang berkelulusan ijazah kejuruteraan yang tidak memilih bidang kejuruteraan sebagai kerjayanya, sebaliknya memilih untuk menjadi kakitangan biasa di sebuah perpustakaan disebabkan oleh masalah gagap yang dialaminya. Dia bertindak demikian kerana tidak mahu berdepan atau bercakap dengan orang ramai. Walaupun gagap dikaitkan dengan penyakit seperti masalah patologi, banyak juga tokoh terkenal dunia yang berjaya dalam bidang masing-masing terdiri daripada individu yang pernah mengalami masalah gagap. Antaranya termasuklah Aristotle, George Washington, Winston Churchill, Nicolae Ceausecsu, Thomas Jefferson, Isaac Newton,, Marilyn Monroe, Tom Cruise dan Alan Turing,
    

( Pelita Bahasa, September 2009 )

1 comment:

  1. salam... bahan di atas sangat menarik. Boleh saya tahu, sumber rujukan bagi pemanjangan vokal untuk tugasan saya :)

    ReplyDelete