SENDI NAMA DI
Oleh
Izani Hj
Daud
Masih banyak pelajar yang lemah dalam penggunaan kata sendi nama. Banyak
pelajar yang terkeliru dengan
penggunaannya, justeru kerap kali sendi nama digunakan secara yang tidak tepat.
Hal ini berlaku kerana rata-rata pelajar
tidak memahami atau menguasai
fungsi sendi nama itu. Antara sendi nama yang selalu menimbulkan masalah kepada
pelajar termasuklah penggunaan sendi
nama di.
Secara lebih khusus, sendi
nama
di dapat dibahagikan kepada tiga yang utama.
1)
Digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama
yang
menunjukkan tempat yang tetap. Dengan kata lain, sendi
nama ini digunakan untuk menunjukkan hubungan tempat
dan ditulis terpisah daripada kata atau frasa nama yang mengikutinya.
2)
Digunakan untuk
menunjukkan semacam lingkungan mujarad,melalui kiasan dengan penggunaan maksud
tempat. Dalam penggunaan ini, perkara yang dimaksudkan itu dikaitkan dengan
sesuatu yang mempunyai lingkungan mujarad bagi perkara yang menyatakan tempat.
3)
Digunakan
bersama-sama kata nama arah, seperti dalam, antara, atas dan luar. Bentuk sendi nama di
dengan kata nama arah lazimnya digunakan untuk menunjukkan hubungan tempat atau
ruang maujud (fizikal).
Berdasarkan pemerhatian, banyak kesilapan
penggunaan sendi nama di dilakukan dalam penulisan bahasa
Melayu. Mereka menggunakan di secara sewenang-wenanangnya atau
tidak menepati fungsi sendi nama tersebut. Kesilapan penggunaan di dapat dikaitkan dengan
beberapa faktor, iaitu:
a)
Kejahilan tentang fungsi di
itu sendiri;
b)
Tidak memahami
sepenuhnya fungsi di;
c)
Sikap acuh
tidak acuh terhadap penggunaan di; dan
d)
Pengabaian penggunaan di.
Kejahilan tentang fungsi sendi nama di berkemungkinan besar
berlaku kerana pelajar tidak
didedahkan kepada fungsi penggunaan yang betul dalam penulisan. Mereka hanya
berpandukan bahan penulisan yang pernah dibaca. Lalu, mereka menulis berasaskan
pengalaman tersebut. Dengan kata lain, penulisan di tidak didasarkan pada
pemahaman tentang fungsinya, tetapi hanya secara agak-agak atau ingatan
daripada sumber yang tidak sahih. Maka , yang berlaku ialah “sebahagian betul,
sebahagian salah.”
Ada juga pelajar yang
tidak sepenuhnya memahami fungsi di. Mereka mungkin menggunakan di
yang betul untuk menunjukkan hubungan tempat atau arah. Akan tetapi, mereka
masih menggunakan di untuk menunjukkan masa atau waktu. Contohnya:
1)
Buku itu
diletakkan di atas almari.
2)
*Di zaman dahulu, hanya mereka yang berada
dapat menyekolahkan anak.
Ayat (1) betul, manakala
ayat (2) salah kerana fungsi di tidak boleh merujuk kepada masa
(iaitu zaman). Sendi nama yang sepatutnya digunakan dalam ayat tersebut ialah pada.
Selain itu, sikap acuh
tidak acuh terhadap penggunaan di pun menyebabkan berlakunya
kesilapan dalam penggunaannya. Hal ini berlaku kerana pelajar tidak
menitikberatkan penggunaan di. Misalnya, di bahagian awal penulisan,
di
digunakan mengikut fungsi yang betul, manakala di bahagian yang lain, di diselewengkan
penggunaannya. Contohnya:
….. di sini (bahagian awal)
….. *disini (bahagian lain)
Hal ini menunjukkan ketidaktelitian
pelajar dalam penggunaan
di. Bukan mereka tidak memahami fungsi di,
tetapi sengaja tidak mengambil kisah tentang kesilapan yang dilakukan.
Pengabaian penggunaan di
merupakan gejala yang lebih serius daripada sikap acuh tidak acuh. Hal ini
demikian kerana pengabaian yang dimaksudkan ialah pengguguran terus di
dalam binaan ayat. Contohnya:
3. *Barang itu disimpan dalam almari.
Sepatutnya di ditulis sebelum perkataan dalam. Ayat (3a) ialah ayat yang betul.
3a. Barang itu disimpan di dalam almari
Untuk mengatasi masalah
ini, peranan guru amat penting. Guru hendaklah sentiasa memberikan tunjuk ajar
kepada pelajar tentang penggunaan di yang betul. Guru hendaklah
memberikan kefahaman tentang fungsi di dengan cara menerapkan ke dalam
ayat. Bukan sahaja contoh penggunaan di yang betul sahaja ditunjukkan,
tetapi contoh penggunaan yang salah pun hendaklah diberikan supaya para pelajar
benar-benar memahami fungsi di.
Oleh sebab itu, guru
seharusnya tidak jemu untuk memberikan penjelasan tentang fungsi di
walaupun berulang kali. Hal ini demikian kerana inilah satu-satunya usaha
yang paling berkesan untuk membolehkan pelajar memahami fungsi di.
Di samping itu, guru seharusnya juga
mempelbagaikan kaedah pengajaran. Guru hendaklah tidak sekadar menggunakan buku
teks dalam pengajaran. Guru boleh menggunakan bahan lain, seperti akhbar dan
majalah, untuk menarik perhatian pelajar. Dalam
pengajaran tatabahasa, kaedah gabung jalin boleh digunakan. Misalnya,
semasa guru mengajarkan pemahaman, aspek tatabahasa pun boleh diselitkan,
seperti meminta pelajar meneliti penggunaan di dalam petikan akhbar
dan membetulkan kesilapan tersebut.
Sikap pelajar itu sendiri
pun mustahak. Seseorang pelajar itu hendaklah menanamkan rasa
tanggungjawab ketika menulis supaya
tidak berlaku kesilapan. Jika dia mengambil sikap sambil lewa, maka selama
itulah dia akan melakukan kesilapan demi kesilapan. Hal ini begitu kerana
kesilapan dapat dielakkan seandainya pelajar prihatin terhadap fungsi di
yang sebenarnya.
( Pelita
Bahasa, Jun 2003 )
No comments:
Post a Comment