SIFIR BAHASA
Oleh
Izani Hj Daud
Sifir mengikut Kamus Dewan, merupakan daftar bilangan yang dipergandakan berturut-turut atau daftar kalian. Dengan adanya daftar ini para pelajar Matematik akan membuat hafalan. Kalian merupakan konsep asas dalam matematik dan sekiranya pelajar tidak menghafal atau mengingatinya, maka akan menjadi kesukaran yang berpanjangan bagi menguasai matematik
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana hafaalan sifir dalam matematik, mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam bahasa. Hal ini demikian kerana terdapat banyak pelajar yang tidak mampu menggunakan kata dengan tepat. Dalam penulisan, penggunaan kata sendi nama dan kata hubung banyak digunakan. Maka, pelajar mesti cekap dalam kedua-dua penggunaan kata itu bagi menghasilkan penulisan yang baik, terutamanya dari segi penggunaan kata dalam ayat.
Kata sendi dan kata hubung biasa sangat digunakan dalam penulisan sebagai perangkai kata atau penanda wacana. Perangkai kata digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, ayat dengan ayat dan perenggan dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak menguasai perangkai-perangkai kata itu, sukar untuk mereka menggunakannya dalam penulisan.
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan kata yang terdapat dalam sukatan pelajaranBbahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, tetapi kerap kali pelajar lupa akan fungsi kata bagi setiap kata atau bertukar antara satu sama lain. Contohnya antara sendi nama dari dan daripada. Berdasarkan pengalaman penulis, diperhatikan bahawa pelajar kerap bertukar antara kedua-duanyanya. Contohnya;
1) *Ahmad menerima surat dari kawannya.
2) *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.
Kedua-dua perkataan sendi nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1) sepatutnya menggunakan kata sendi daripad,a manakala bagi ayat (2), kata sendi yang betul ialah dari. Hal itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak benar-benar faham akan fungsi atau penggunaan kata sendi berkenaan. Kata sendi dari hanya boleh digunakan untuk arah datangnya sesuatu dan untuk menyatakan permulaan masa. Kata sendi daripada pula digunakan untuk hal-hal lain, seperti orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak dan untuk menunjukkan keanggotaan
Begitu juga dalam penggunaan kata hubung, pelajar kerap membuat kesilapan. Contohnya :
3) *Abang mengambil buku itu serta membacanya
4) *Bila adik merajuk, kakak segera memujuknya
Berlaku kesilapan penggunaan kata hubung bagi kedua-dua ayat (3) dan (4). Dalam ayat (3), sepatutnya kata hubung lalu digunakan manakala ayat (4) kata hubung yang betul ialah apabila. Kata hubung serta hanya boleh digunakan untuk turut, bersama, ikut atau mengikut. Dalam ayat (4).kata hubung yang betul ialah apabila. Kata hubung apabila sering ditulis sebagai bila dalam ayat, padahal kata bila itu sebenarnya kata tanya.
Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku inilah memerlukan suatu perkaedahan dalam pengajaran dijalankan di dalam bilik darjah.
Operasi Aktiviti Sifir Bahasa
1) Kaedah hafalan atau Sifir Bahasa ini boleh digunakan
sekolah guru mengajarkan kesemua jenis golongan kata.
2) Fokus bolehlah diberikan kepada kata sendi nama dan kata
hubung terlebih dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap digunakan dalam penulisan sebagai penanda wacana atau perangkai kata. Kemudian diikuti dengan golongan kata yang lain pula.
3) Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata
hubung berserta dengan fungsi atau cara penggunaannya
untuk dihafal di rumah.
4) Semasa di bilik darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan hingga 10 minit pertama sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir bahasa. Guru akan meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan soalan terbuka menanyakan fungsi kata sendi nama atau kata hubung.
5) Pelajar yang tidak berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu membuat kerja rumah. Pelajar dikehendaki merujuk kepada lima kata sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan fungsi setiap kata tersebut.
6) Pada hari-hari yang berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini di bilik darjah hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama dan kata hubung.
7) Pada hari-hari seterusnya aktiviti golongan kata yang
lain pula dijadikan sebagai aktiviti seperti sebelumnya.
8) Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Jika
Kesemua golongan kata telah dijalankan, guru boleh membuat ulangan untuk memantapkan lagi ingatan dan kefahaman pelajar lagi
.
Aktiviti ini sangat berfaedah dijalankan kerana mempelajari tatabahasa bukanlah sesuatu yang mudah. Suasana yang menyeronok di bilik darjah dengan sedikit `tekanan’ (denda) dapat membantu pelajar menguasai tatabahasa, terutama golongan kata. Hal ini demikian kerana semua pelajar akan bersedia sebelum memulakan pembelajaran Bahasa Melayu. Lebih daripada itu aktiviti ini akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka akan membuat hafalan sebagaimana mereka menghafal sifir (kalian) untuk matematik.
Sudah sampai masanya pengajaran dan pemelajaran Bahasa Melayu mengambil pakai konsep sifir atau hafalan, iaitu dengan menggunakan kaedah pengajaran `Sifir Bahasa’.
No comments:
Post a Comment