Thursday 15 December 2011

Benarkah Puisi Menyimpang daripada Tatabahasa (Pelita Bahasa, Jun 2000)



BENARKAH PUISI MENYIMPANG DARIPADA TATABAHASA?

 Oleh
 Izani Hj Daud



Puisi dikatakan menyeleweng daripada tatabahasa, dan mungkin mengelirukan pembaca yang tidak dapat memahami maksud puisi. Walau bagaimanapun, puisi boleh difahami dengan syarat diketahui ciri-ciri utama linguistik.

          Ciri utama linguistik dalam puisi dapat dilihat dalam ”Bila Hujan Telah Reda” karya Zurinah Hassan akan dibuat analisis. Analisis puisi akan tertumpu pada aspek fonologi dan morfologi.

Bila Hujan Telah Reda
Ke mana telah pergi ribut yang menggila tadi
Hujan pun telah berhenti
Hanya pohon-pohon yang digondongnya
Tunduk mengingati
Dan daun-daun yang gugur ke bumi
Menyimpan dendam sendiri.

Hingga tibalah waktunya lewat petang
Hujan yang telah reda
Sesekali gugur dan daun-daun hijau
Bagai air mata si perindu
Mendapati kata-kata terlalu kecil ertinya
Bersama burung-burung yang mencari sarang istirahat
Ia mencari erti kewujudan
Dalam air yang perlahan-lahan
Menitis dari bumbungan
Sisa-sisa hujan pun menjadi bintik-bintik kenangan
Menikam mendalam pedih
Bertali memanjang kasih.


          Fonologi menyelidiki bunyi bahasa menurut fungsinya atau kajian sistem bunyi sesuatu bahasa. Fonologi puisi menjurus kepada asonansi dan aliterasi yang menumpukan bunyi. Asonansi ialah pengulang huruf-huruf vokal manakala aliterasi pula pengulangan huruf-huruf konsonan.

          Dalam puisi ”Bila Hujan Telah Reda” terdapat pengulangan bunyi vokal dalam penggunaan katanya. Bait pertama puisi ini menunjukkan fon [i] yang kerap digunakan.

          Ke mana telah pergi ribut yang menggila tadi

Perkataan-perkataan yang menggunakan fon [i] ialah pergi, ribut, menggila, tadi.

Begitu juga dengan fon [u] yang digunakan pada hampir setiap kata dalam bait kelima iatu daun-daun, gugur, bumi.

dan daun-daun yang gugur ke bumi

Bait pertama rangkap kedua pula, penggunaan fon [a] jelas kelihatan.

Hingga tibalah waktunya lewat petang

Pengulangan atau permainan bunyi [a]. [u], dan [i] disebut asonansi yang memperlihatkan wujudnya unsur fonetik dalam puisi. Unsur ini sama ada sengaja atau tidak disengajakan, dapat memberi suatu tenaga kepada puisi untuk menarik perhatian pembaca dan pendengar, di samping mengutarakan mesej yang tersirat.
   
Permainan konsonan dalam puisi, bermula pada stanza pertama bait keenam yang mengulang konsonan [m] dan [n] seperti petikan yang berikut:

          menyimpan dendam sendiri

Dalam bait menyimpan dendam sendiri, fonem /m/ digunakan sebanyak tiga kali, manakala fonem /n/ sebanyak empat kali.

Pada bait yang lain pula terdapat pengulangan konsonan, misalnya pengulangan fonem /l/ dalam bait yang di bawahnya. Selain menimbulkan kesekataan sebutan, permainan bunyi konsonan yang nyata, iaitu fonem /l/ dimanipulasikan untuk tujuan keseragaman bunyinya.

Aspek morfologi juga dapat dikesan daripada puisi ini. Salah satu cabang kajian morfologi ialah proses pembentukan kata. Pembentukan kata boleh terjadi melalui pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan.

Jika ditinjau puisi ”Bila Hujan Telah Reda’ dapat diperhatikan pengimbuhan dan penggandaan digunakan. Penyair tidak sewenang-wenangnya menggunakan kata. Penyair tidak mengabaikan penggunaan imbuhan dalam garapan puisinya. Imbuhan tertentu telah digunakan dalam puisi seperti men, ber, ter, i, ke-an, dan kan. Perkataan-perkataan yang dimaksudkan adalah seperti yang berikut;


menggila
menitis
menikam
berhenti
bertali
mengingati
terlalu
kewujudan
kenangan
mendalamkan



(awalam men)
(awalam men)
(awalam men)
(awalan ber)
(awalan ber)
(akhiran i)
(awalan ter)
(kurungan ke-an)
(akhiran an)
(akhiran kan)

         
Penggunaan kata ”menggila” dalam bait puisi yang di atas didapati sesuai mengikut konteksnya.

          Ke mana telah pergi ribut yang menggila tadi

          Penggunaan imbuhan 'men' dalam bait yang di atas menepati tatabahasa bahasa Melayu. Begitu juga imbuhan yang lain yang digunakan dalam bait puisi.

          menitis dari bumbung
          hujan pun telah berhenti
          tunduk mengingati
          ia mencari erti kewujudan

         
Selain pengimbuhan, penggunaan kata ganda dapat dikesan dalam puisi ini. Kata gandaan merupakan sejenis morfem yang digunakan untuk menunjukkan sesuatu benda yang lebih daripada satu. Dalam puisi ini banyak terdapat kata gandaan yang digunakan seperti ”daun-daun”,”pohon-pohon”, ”kata-kata”, ”sisa-sisa”, dan ”bintik-bintik”. Kesemua kata ganda yang digunakan ialah jenis gandaan penuh.


hanya pohon-pohon yang digondongnya
dan daun-daun yang gugur ke bumi
mendapati kata-kata terlalu kecil ertinya
bersama burung-burung yang mencari sarang istirahat
sisa-sisa hujan pun menjadi bintik-bintik kenangan.


Kata ganda yang digunakan dapat menyempurnakan binaan ayat dalam puisi yang memenuhi keperluan tatabahasa.

Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan puisi sebagai hasil kreatif tidak mengabaikan aspek tatabahasa kerana nahu bahasa masih terpelihara. Malahan melalui puisi, dapat dipelajari beberapa aspek bahasa. Yang penting, puisi sebagai suatu pengucapan ringkas dalam bentuk bertulis masih mampu menerapkan unsur-unsur linguistik terutamanya fonologi dan morfologi.

( Pelita Bahasa, Jun 2000 )

No comments:

Post a Comment