MEMPELBAGAIKAN KAEDAH DALAM PENGAJARAN KOMSAS
Oleh
Izani Hj Daud
Mempelajari komsas kadang-kadang membosankan para pelajar terutama bagi mereka yang kurang meminati bidang sastera, sedangkan dalam kertas 2 peperiksaan Bahasa Melayu PMR terdapat sekurang-kurangnya 15 soalan yang berkaitan dengan komsas iaitu, berdasarkan Antologi Sehijau Warna Daun, Antologi Seuntai Kata untuk Dirasa dan Antologi Anak Bumi Tercinta.
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk menarik minat pelajar mempelajari komsas. Guru-guru biasanya akan mengadakan sesi perbincangan di dalam kelas untuk membuat kajian dalam pelbagai aspek terhadap sesebuah karya sastera yang terdapat dalam antologi yang dikaji. Kaedah stereotaip inilah yang menimbulkan kebosanan kepada pelajar.
Bagi menggelakkan pelajar jemu mempelajari komsas, maka pelbagai kaedah boleh digunakan oleh guru bagi mengaktifkan pelajar dalam mempelajari komsas.
Alternatif atau kaedah lain yang boleh dijalankan oleh guru salah satunya, dengan cara menjadikan karya sastera yang
terdapat dalam komsas sebagai bahan ujian untuk Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) dalam mana pelajar menggunakan bahan komsas untuk bercakap di depan kelas.
Untuk tujuan ini pada peringkat awal guru bolehlah membuat pembahagian tugas kepada para pelajar iaitu setiap pelajar diberi tugasan untuk membaca sebuah karya yang ditetapkan.
Bagi pelajar yang dikehendaki bertutur berkaitan dengan puisi sama ada puisi tradisonal atau sajak, akan diuji di depan kelas berhubung dengan aspek-aspek berikut;
1) memberi maksud setiap rangkap puisi
2) menyatakan tema
3) menyatakan persoalan
4) menyatakan nilai dan pengajaran
5) menyatakan unsur-unsur bahasa
Manakala bagi pelajar yang diberi tugasan berkaitan dengan prosa, sama ada prosa tradisional, cerpen atau drama, pelajar dikehendaki bercakap di khalayak pelajar lain berhubung dengan aspek-aspek di bawah.
1) sinopsis cerita
2) menyatakan tema
3) menyatakan persoalan
4) menyatakan nilai dan pengajaran
5) menyatakan gaya bahasa
Kaedah pengajaran ini menarik perhatian para pelajar kerana setiap orang diberi tanggungjawab untuk membuat persembahan di dalam kelas. Pelajar-pelajar lain juga akan
diberi peluang untuk mengajukan soalan kepada rakan mereka yang berucap di depan kelas. Oleh itu setiap pelajar akan menyiapkan diri masing-masing untuk aktiviti yang akan dijalankan. Pelajar-pelajar yang akan membuat persembahan sudah tentu akan membuat persediaan yang rapi. Begitu juga pelajar-pelajar lain akan bersedia dengan soalan-soalan yang bakal ditanya. Pengalaman penulis yang mengendalikan aktiviti ini di dalam bilik darjah melihat pelajar-pelajar seronok menjalani aktiviti kerana setiap orang ada peranan.
Guru juga mendapat manfaat kerana dapat menjalankan dua kerja dalam satu masa. Hal ini kerana guru dapat menilai markah pelajar untuk PLBS, dan dalam masa yang sama juga pengajaran komsas dapat dijalankan.
Satu lagi kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran komsas adalah aktiviti membina soalan berdasarkan karya sastera yang terdapat dalam antologi.
Melalui aktiviti ini pelajar dikumpulkan dalam kumpulan masing-masing, dan setiap kumpulan dikehendaki membina soalan berdasarkan karya sastera yang dipelajari dalam teks komsas. Pelajar-pelajar juga dikehendaki menyediakan jawapan bagi setiap soalan yang dibina.
Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk memastikan pelajar-pelajar membaca karya berkenaan dengan teliti. Hal ini kerana untuk membina soalan memerlukan seorang `penggubal soalan’ itu benar-benar memahami jalan cerita dan setiap aspek sastera yang terkandung di dalamnya.
Soalan yang akan dibina pula sudah tentulah aspek yang penting yang terkandung dalam karya sastera, yakni soalan yang mencabar minda. Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal pasti bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan.
Pengalaman penulis di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil daripada perbincangan dalam kumpulan. Antara contoh soalan yang dihasilkan pelajar tingkatan tiga berdasaran prosa tradisional teks komsas yang dipelajari iaitu, Antologi Anak Bumi Tercinta adalah seperti di bawah.
Cerita Pak Belalang
Soalan yang dibina
1) Apakah ganjaran yang diminta oleh juragan sekiranya Raja Indera Maya gagal meneka jantina anak itik?
2) Mengapakah Pak Belalang pergi ke kapal Juragan?
3) Bagaimanakah Pak Belalang meneka jantina anak itik?
Cerita Hang Tuah Mengalah Taming Sari
Soalan yang dibina
1) Mengapakah Taming Sari gagal dikalahkan oleh Tun Tuah?
2) Apakah cara yang dilakukan oleh Tun Tuah untuk memiliki
Keris Taming Sari?
3) Apakah yang dilakukan oleh Seri Betara Majapahit sebagai
membalas jasa Tun Tuah?
Cerita Patung Kencana dari Kuripan
Soalan yang dibina
1) Apakah yang menjadi penyebab kepada kematian
permaisuri dari negeri Daha?
2) Apakah bunyi-bunyian yang mengiringi orang yang
membawa bingkisan daripada Kuripan?
3) Apakah kandungan bungkusan yang diterima oleh
Galuh Ajeng dari Kuripan?
Cerita Raja Bersiung
Soalan yang dibina
1) Apakah gelaran yang diberikan kepada tukang masak
istana?
2) Apakah perististiwa yang menggambarkan klimaks
Raja Bersiung?
3) Perkataan sebermula menggunakan gaya bahasa?
Daripada soalan di atas yang dibina oleh pelajar, menunjukkan pelajar-pelajar mampu membina soalan daripada cerita yang dibaca. Sekali gus menunjukkan mereka berminat dengan aktiviti yang dijalankan.
Selepas aktiviti membina soalan dijalankan, aktiviti kuiz pula boleh diadakan. Guru-guru boleh mengumpul soalan-soalan yang dibina oleh pelajar dan memilih soalan-soalan yang sesuai untuk dijadikan soalan kuiz dengan sedikit pengubahsuaian. Pelajar-pelajar akan berasa bangga apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih manakala bagi mereka yang soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada sesi pembelajaran lain supaya soalan yang dibina akan terpilih. Suasana pembelajaran seperti ini akan mewujudkan iklim pembelajaran yang sihat kerana masing-masing pelajar bersaing antara satu sama lain membina soalan yang berkualiti untuk dipilih sebagai soalan kuiz.
Sebenarnya banyak lagi cara yang boleh dijalankan oleh guru untuk menarik minat pelajar mempelajari komsas. Apa yang perlu adalah kesungguhan dan kreativiti guru dalam mengusahakan aktiviti yang boleh merangsang naluri belajar dalam kalangan pelajar.
(Pelita Bahasa, November 2011)
No comments:
Post a Comment