Wednesday, 14 December 2011

Jantina dan Pengaruhnya dalam Penggunaan Bahasa (Pelita Bahasa, Januari 1997)


JANTINA DAN PENGARUHNYA DALAM PENGGUNAAN BAHASA

Oleh
Izani Hj Daud


Bahasa sebagai organisme yang hidup telah membawa kepada suatu kajian yang meluas tentangnya. Penyelidikan atau pengkajian tentangmya dibuat dalam pelbagai aspek. Salah satunya, bahasa dapat diselidiki dalam bidang sosiolinguistik, iaitu satu lapangan yang melihat pengaruh antara perilaku bahasa dan perilaku sosial. Hal ini kerana semasa berhubung atau berinteraksi, faktor sosial banyak mempengaruhi penggunaan bahasa atau variasi bahasa.

          Penggunaan bahasa sebenarnya dipengaruhi oleh berbagai- bagai unsur seperti jantina ,kelas sosial, kumpulan etnik, pendidikan dan lain-lain  lagi .Variasi bahasa berdasarkan unsur jantina adalah yang paling hampir dengan kita dan sama ada disedari atau tidak disedari perkara ini memang berlaku.


          
 Seorang sarjana , W.A.Wolfram (1969) menyatakan bahawa kebanyakan kajian sosialinguistik yang dilakukan membuktikan faktor jantina merupakan faktor sosial yang kuat mempengaruhi penggunaan bahasa sesuatu komuniti di samping faktor-faktor lain.
Hal Ini kerana terdapatnya perbezaan  bahasa  dalam penggunaan bahasa  antara lelaki dan wanita .
            
  Menurut Trudgill (1984), penggunaan bahasa ada kaitan dengan identiti seseorang. Wanita menggunakan jenis bahasa yang khusus bagi wanita adalah satu cara mengidentifikasikan diri seseorang itu sebagai wanita dan ‘berkelakuan sebagai wanita ‘.
Berbanding dengan lelaki, perlakuan wanita adalah lebih lembut. Sesuai dengan sifat lemah-lembut seorang wanita itu, maka ujarannya juga adalah lembut .

                   Misalnya, dalam mendapat kepastian kepada sesuatu  persoalan, wanita akan membuat maklum balas dengan  menggunakan frasa ‘Ya kah?’. Berbanding dengan lelaki akan


 berkata, ‘macam mana boleh jadi macam itu’. Kedua frasa ini  memberi implikasi yang berbeza. Sifat wanita yang lembut lebih  mengakur kepada apa yang diperkatakan, berbeza daripada lelaki  yang lebih agresif yang memerlukan seolah-olah penjelasan yang  lebih lanjut dalam sesuatu perkara.

                  Dalam kajian yang lain pula, didapati bahasa yang  digunakan oleh lelaki itu adalah kepada meminta perhatian, berdominasi, berwibawa, agresif dan lebih berterus-terang sedangkan wanita dirumuskan sebagai lebih mesra, berlemah-lembut dan bersemangat serta lebih agresif (Kramer,1978). Contohnya, lelaki akan berkata ‘Thank you’, manakala wanita akan berkata ‘Thank you so much’. Daripada  kata ini menunjukkan wanita lebih mesra atau menyanjung seseorang berbanding dengan lelaki yang bersahaja.
                
                 Seperti yang disebut oleh Trudgill, penggunaan bahasa  berkait rapat dengan identiti seseorang. Dengan perkataan lain 


adalah bersangkutan dengan sikap dan sifat jantina itu sendiri, iaitu lelaki lebih kasar dan wanita lebih lembut. Hal  ini sebenarnya berlaku dalam keadaan biasa.

                Sifat biasa atau yang menjadi kelaziman dalam pertuturan boleh berubah dalam keadaan tertentu, Umpamanya, wanita yang bekerja di pejabat terutamanya yang berjawatan tinggi, akan memberi arahan yang lebih ‘imperative’. Walaupun beliau seorang wanita tetapi persekitaran tempat kerja menghendaki beliau berperilaku (pertuturannya) sedemikian dalam berkomunikasi. Keadaan ini bukanlah sifat semulajadi wanita tetapi hanyalah buat seketika sahaja, kerana apabila beliau keluar dari pejabat atau kembali ke rumah, beliau akan ‘pulih’ semula sebagai seorang wanita yang penuh dengan sifat lemah-lembut iaitu kepada ciri-ciri kewanitaannya .

                 Begitu juga dengan lelaki, dalam situasi tertentu ujarannya akan menjadi lebih lembut, misalnya mereka yang berkecimpung
dalam bidang pendidikan. Sebagai pendidik atau guru, dalam pertuturannya dalam bilik darjah akan menampakkan perbezaan iaitu lebih mesra dan lemah-lembut .Tetapi dalam situasi biasa penggunaan  bahasanya adalah lebih keras.

                    Selain apa yang telah dibincangkan, penggunaan bahasa antara lelaki dan wanita juga boleh dilihat daripada sudut sebutan seperti wanita adalah lebih cenderung menggunakan bahasa baku atau bentuk-bentuk prestij berbanding lelaki. Manakala dari segi keyakinan semasa bertutur, lelaki lebih menunjukan keyakinan berbanding dengan wanita yang kerap kali mengakhiri kenyataan-kenyataan dengan tanda tanya kerana tidak yakin terhadap dirinya sendiri.

               Oleh itu adalah jelas, bahasa dengan jantina mempunyai perkaitan yang rapat. Bahasa yang digunakan oleh lelaki dan bahasa yang dituturkan oleh wanita adalah berbeza seperti yang telah dijelaskan dan unsur jantina telah menghasilkan variasi dalam bahasa atau mempengaruhi penggunaan bahasa.



( Pelita Bahasa, Januari 1997 )

1 comment: