Tuesday, 13 December 2011

Semangat Kejiranan Asas Keutuhan Negara (Berita Harian, 5 Disember 2011)

Semangat Kejiranan Asas Keutuhan Negara
 
Oleh  
Izani Daud


Berita Harian 2011/12/05

KEHIDUPAN manusia kini mencapai tahap ketamadunan yang tinggi tetapi pada masa sama manusia tergelincir daripada hakikat kehidupan sebenar.

Punca kerosakan dalam kehidupan ini disebabkan sikap individualistik yang sebati dalam diri manusia. Kongkongan sifat ini menyebabkan manusia menjadi sombong, bongkak dan angkuh sehingga terpaku kukuh sifat ego dalam diri.

Sifat ini juga menyebabkan generasi dewasa ini mencemari budaya murni yang diamalkan sejak turun temurun antaranya budaya hidup berjiran. Menjadi tanggungjawab kita memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian kehidupan.
Hubungan intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Penghidupan berjiran dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan.

Amalan hidup berjiran dulu dan kini, amat berbeza. Budaya hidup berjiran tidak lagi diamalkan. Masyarakat hari ini mengabaikan hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan.

Allah berfirman bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan buatlah kebaikan untuk ibu bapa, anak yatim, orang miskin, jiran yang ada hubungan kekeluargaan, jiran tiada hubungan kekeluargaan, orang dalam perjalanan dan hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak suka orang sombong dan bangga diri.” (Surah An-Nisa, ayat 36)

Hubungan kemasyarakatan kian renggang ada kaitan dengan sikap suka hidup tanpa gangguan. Kemewahan dikecapi menyebabkan individu merasakan tidak perlu bergantung kepada orang lain.
Aktiviti mem budayakan semangat kejiranan kian berkurangan akibat peredaran zaman. Aktiviti bergotong-royong jarang diamalkan.

Apakah arus pemodenan menuntut masyarakat berkelakuan sedemikian, sedangkan dalam agama hidup berjiran adalah kewajipan perlu dipenuhi bagi menjamin kerukunan dan keharmonian hidup.

Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran penting untuk negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju.

Justeru, sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara.

No comments:

Post a Comment